" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 3 April 2011

Gempa Bumi, PABM 2011, Hik. Merong Mahawangsa dan K. Lumpur Bandaraya Selamat

          Suatu hari pada 11.3.2011, seperti biasa antara aktiviti penulis adalah membaca surat khabar. Surat khabar wajib yang dibaca adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. Sebelum ini cuma Berta Harian sahaja yang dilanggani penulis. Kemudian dek kerana perkembangan semasa yang semakin keliru, akhbar Utusan Malaysia turut dilanggani. Hal ini demikian kerana kempen 'jangan membaca Utusan Malaysia' yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Utusan Malaysia menyebabkan penulis turut melanggan Utusan Malaysia.
       Utusan Malaysia ada sejarahnya terutama kepada bangsa. Sebagai tanda protes terhadap kempen berkenaan, penulis melanggan surat khabar berkenaan.Harapan penulis agar bilangan naskah akhbar Utusan terus meningkat sekali gus aspirasi akhbar Utusan untuk melihat bangsanya berjaya tercapai.Teruskan perjuanganmu dan penulis akan terus menyokong di belakang tabir.
      Berbalik kepada aktiviti mambaca tadi, penulis tertarik dengan 4 perkara yang disentuh oleh dua akhbar berkenaan iaitu, Gempa Bumi dan Tsunami di Jepun, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011  (PABM 2011), Hikayat Merong Mahawangsa dan Kuala Lumpur Bandaraya Selamat.
      Tergamam juga penulis dibuatnya apabila berita gempa bumi 8.9 skala richter dan tsunami melanda Jepun. Dikuatiri beribu-ribu orang akan menemui maut. Penulis turut bersimpati akan peristiwa tersebut dan berharap rakyat negara Jepun tabah menghadapi peristiwa ini.Apatah lagi rakyat Jepun dikatakan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam apa jua keadaan yang melanda.Walau secanggih mana teknologi yang dimiliki, apabila alam bersuara, tiada kudrat yang boleh menghalangnya melainkan Yang Maha Esa.
      Perkara lain yang menarik perhatian penulis adalah kebolehan peserta-peserta dari luar Nusantara berpidato dalam Bahasa Melayu. Penulis amat berbangga kerana Bahasa Melayu sedang mekar berkembang ke persada antarabangsa. Siapa kata Bahasa Melayu tidak boleh dijadikan bahasa pengetahuan. Sejarah telah membuktikannya dan sejarah jugalah yang akan menentukan untung nasibnya. Penulis tidak akan rendah diri terutama kepada pihak yang mengagung-agungkan penggunaan Bahasa Inggeris. Penulis merupakan produk sistem pendidikan yang mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
      Jati diri sebagai bangsa Melayu perlu dipertahankan. Filem Hikayat Merong Maha Wangsa boleh dijadikan  contoh dan renungan . Penulis amat berbangga dengan hasil karya tiga adik-beradik ini. Difahamkan rekod telah dicipta dengan hasil kutipan sebanyak RM 500 ribu pada hari pertama tayangan. Tahniah diucapkan. Kebanggaan ini penulis ingin kongsi kerana filem ini menceritakan tentang asal usul sebuah kerajaan Melayu. Keperwiraan yang ditonjolkan akan membuatkan dunia mengambil tahu akan Dunia Melayu dan  siapa orang Melayu sebenarnya.
     Akhirnya, Kuala Lumpur Bandaraya Selamat menarik perhatian penulis. Hal ini kerana esok, penulis bersama keluarga akan pergi sekali lagi ke Kuala Lumpur untuk melawat adik ipar penulis yang berada di Hospital Kuala Lumpur.Penulis membaca temuramah bersama PDRM yang menjelaskan bahawa Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya selamat. Hal ini dibuktikan dengan kadar jenayah yang menurun. Penulis yakin seperti apa yang dituliskan dan esok  penulis akan saksikan sendiri.
     Kesimpulannya, kisah gempa bumi dan tsunami, PABM, Filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Kuala Lumpur bandaraya selamat telah menjadi fokus penulis Hal ini demikian kerana untuk menjadi wangsa perkasa, hubungan dengan alam perlulah seimbang.Perkara yang alam ingin suarakan jika diabaikan nescaya musibah yang mendatang. Bahawa "sesuatu kepastian itu, tidak akan terjadi bencana tanpa adanya dosa manusia.Selain itu, Bangsa Perkasa menjadikan bahasanya sebagai bahasa ilmu yang mampu diterjemahkan sebagai bahasa persuratan antarabangsa yang berkarisma dan berkaliber.Sejarah telah membuktikan suatu ketika dahulu telah wujud sebuah negara bangsa yang disegani di mata dunia.Selamanya negara ini memang selamat untuk dihuni kerana bangsa yang menghuninya adalah Wangsa Perkasa. Sekian. Penulis akan menulis lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan