" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 12 Oktober 2013

Kek Coklat - sumber inspirasi

Kek coklat, ramai yang suka
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

      Susah juga untuk menjadi penulis. Kekadang fikiran menjadi buntu untuk menulis. Tak tahu apa yang hendak ditulis. Penulis tabik spring kepada penulis-penulis yang sentiasa mempunyai bahan untuk menulis. Terfikir juga mungkin sebab sibuk membantu dalam pengendalian peperiksaan PMR, fikiran menjadi buntu. Apapun, Alhamdulillah peperiksaan PMR terakhir ini berjalan dengan lancar. Walaupun terpaksa ke sana dan ke mari terutama ke hospital awam mahupun swasta tetapi hati puas apabila calon mampu mengambil peperiksaan. Tahniah untuk diri sendiri.

     Apa yang hendak ditulis. Kalau sudah jadi begitu, eloklah keluar berjalan-jalan melihat ragam manusia. Manalah tahu idea untuk menulis terlintas di fikiran.Untung juga anak perempuan mahu membeli buku cerita baru. Macam biasa  destinasi kedai buku Popular di Parkson menjadi pilihan. Kalau mengikut kajian 70 peratus rakyat Malaysia menghabiskan masa terluang di pusat membeli belah. Mana tidaknya, bermacam ragam manusia boleh kita lihat.

      Akhirnya, si anak perempuan memilih novel karya Hayati Hanif bertajuk Cef Pastri Senior manakala si anak lelaki memilih novel karya Nazry Salam bertajuk Misi Cikgu Baru. Novel Cef Pastri Senior menceritakan tentang pertandingan membuat kek coklat. Novel Misi Cikgu Baru berkisar semangat atau kesungguhan guru baru mengajar dan berharap kejayaan anak muridnya. Yang menariknya, antara ungkapan yang menarik perhatian penulis adalah ' mengajar umpama membuat kek coklat. Tersilap cara, pahit jadinya.' Ungkapan ini ada benarnya sebab penulis antara pendidik yang selalu makan kek coklat.

Wangsa Perkasa: Bila selalu berjalan dan selalu melihat ragam manusia, kisah dan teladan boleh dijadikan panduan.

Selasa, 1 Oktober 2013

Rajin dan Bersungguh-sungguh



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      Kini, musim peperiksaan telah kembali. Tentu sekali petugas-petugas peperiksaan telah bersedia menjalankan peperiksaan agar lancar tanpa sebarang masalah. Kalau diperhatikan, petugas-petugas yang terpilih begitu rajin dan bersungguh-sungguh menjalaankan tanggungjawab mereka.Harap begitulah.

     UPSR telah berlalu, esok PMR mengambil tempat. Tentu sekali calon PMR sukar tidur malam menanti hari esok. Ibu bapa turut berasa tempias peperiksaan malah mereka yang paling ngelabah. Tentu sekali ada pelajar yang menjadi pendiam dan menundukkan kepala dek penuhnya minda dengan ilmu-ilmu menanti untuk diluahkan semula. Itulah antara senario asam garam musim peperiksaan. Oleh itu, calon-calon PMR bersungguh-sungguhlah menjawab peperiksaan.

     Penulis ada terbaca, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud " Sesungguyhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang itu bekerja dan melakukan dengan bersungguh-sungguh" Hadis riwayat Abu Daud.

     Jika kita hendak berjaya, kita mestilah lakukan kerja dengan rajin dan bersungguh-sungguh. Kenapa perlu rajin dan bersungguh-sungguh? Rajin dan bersungguh-sungguh adalah formula atau rahsia untuk berjaya. Semua orang mahu berjaya.

     Seperkara lagi, apa yang penting, kita mestilah ikhlas dan seronok lakukan kerja. Barulah hati akan gembira.

Wangsa Perkasa ; bersungguh-sungguh melakukan kebaikan