" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 18 April 2011

Jalan-jalan di Kuala Lumpur 7 - Remaja Kita

      Kami beredar dari gerai Sup Pak Abu pada jam 7.30 malam. Melalui Jalan Tunku Abdul Rahman waktu sebegini mungkin akan meresahkan, kata Zam. Beliau merujuk kepada aktiviti kumpulan penunggang motorsikal yang bergelendangan di sekitar jalan ini. Ketika kami berhenti di lampu isyarat, kedengaran bunyi bingit dari arah belakang. Hampir berpuluh motorsikal di hadapan, kiri dan kanan kereta. Keadaan ini merisaukan penulis kerana tingkah laku mereka mendatangkan bahaya kepada kereta-kereta yang terdapat di situ. Di sebelah kanan kereta kelihatan seorang remaja perempuan Melayu yang bertindik di hidung dan lidah, manakala ' rider ' seorang remaja berketurunan India. Benarlah kata orang,  masalah ' mat rempit ' di Kuala Lumpur ini memang sukar dibendung.
      Melalui Jalan Raja Laut menampakkan lagi gejala ' mat rempik ' yang sukar dikawal. Di tepi-tepi jalan sepanjang Jalan Raja Laut ini dipenuhi dengan kumpulan-kumpulan motorsikal sedang melepak sakan. Kelihatan beberapa kumpulan motorsikal yang menunggang laju sambil mendapat sorakan kumpulan yang lain.
      Pasukan polis sentiasa mengadakan operasi membanteras kegiatan 'mat rempit' ini. Namun kegiatan ini masih tiada kesudahannya. Yang menjuarai kegiatan ini kebanyakannya remaja Melayu dan perkara inilah yang menggusarkan penulis dan masyarakat. Penulis menyokong sebarang usaha yang dilakukan untuk mengatasi gejala ini walaupun adakalanya kelihatan pihak polis yang dipersalahkan.Itulah minda orang kita!
Akhirnya, sampai juga kami ke HKL.

      Sebelum pulang ke Ipoh, penulis sempat singgah ke Taman Tasek Titiwangsa. Walaupun pada waktu petang sebegini keadaan amat temteram dan mendamaikan, namun kurang kelihatan pengunjung di sini. Sesuatu perlu dilakukan supaya Taman Tasik Titiwangsa ini kembali menjadi tarikan pengunjung dan pelancong. Perkara kurang sopan yang dilakukan oleh remaja terutamanya pada waktu malam perlulah ditangani oleh pihak berwajib. Hal ini demikian kerana remaja inilah pewaris kepimpinan negara masa hadapan. Aktiviti yang sihat seperti aktiviti kereta kawalan di bawah haruslah diterapkan dalam kalangan remaja kita.

        Aktiviti kereta kawalan dapat mengelakkan remaja daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak bermoral.




Ahad, 17 April 2011

Jalan- jalan di Kuala Lumpur 6 - Sup Istimewa dan Up Town Selayang.

                                                             Gerai Sup Haji Abu

      Apabila ditanya ke mana nak minum, Zam kata " kita pekena sup istimewa Haji Abu ". Penulis hanya ikut saja. Kami dibawa melalui Kampung Baru yang akan dibangunkan oleh kerajaan. Terlihat menara tinggi yang baru dibina di masjid Kampung Baru. Zam turut bercerita tentang pengalamannya yang berada sekitar Masjid Kampung Baru sekitar tahun 1998, semasa 'reformasi dahulu'. Penulis khusyuk mendengar ceritanya.
      Kami dibawa ke Jalan Doraisamy untuk menikmati sup Haji Abu. Sup Haji Abu memang terkenal dalam kalangan warga kota dan pelancong. Setiap malam gerai ini dipenuhi dengan pelanggan hingga ke larut malam.Pelbagai jenis sup dihidangkan seperti sup kambing, daging, sup ayam dan lain-lain. Dengan RM 22.00 kami dihidangkan dengan 3 mangkuk sup ayam dan 2 buku roti. Memang menyelerakan. Sekali rasa macam nak lagi dan habis licin.
      Perbualan dengan Zam membawa kami kepada persoalan mengapa tidak ada pengusaha Melayu yang boleh menghasilkan sup sebegini hingga menjadi bualan orang sehingga boleh datang dari jauh untuk menikmatinya? Restoran Sup Anis Utara boleh dijadikan perbandingan.

      Apabila bercerita bab makan, penulis teringatkan peristiwa semalam. Kami dijemput oleh sepupu isteri makan malam di rumahnya di Selayang. Oleh kerana berasal dari Melaka, hidangan yang disajikan sudah tentulah masakan asam pedas. Memang sedap dan menyelerakan. Pujian ikhlas penulis berikan kepada mereka. Man, suami sepupu isteri penulis menambah, asam pedas ini belum cukup 'power' jika dibandingkan asam pedas di sebuah restoran di Melaka. Beliau menambah jika dicuba pasti terangkat kopiah. Ha ha ha ha  ha, kami ketawa beramai-ramai.
      Sebelum pulang ke Rawang,  kami singgah di 'Up Town' di Selayang. Pemandangan macam biasa seperti pasar malam di tempat lain juga.Barangan yang dijual tiada yang istimewa. Penulis meninjau-ninjau barangan  di setiap gerai. Jika tiada disediakan tempat berjual, dimanalah lagi mereka ini akan berniaga untuk meningkatkan taraf ekonomi. Di Jalan Chow Kit, peniaga kita telah pupus. Harapan penulis agar 'Up Town Selayang' ini dapat bertahan lama demi kelangsungan ekonomi kaum kita. Yang menjadi kerunsingan penulis hanyalah penggunaan 'Up Town' ? Penulis teringat antara lirik lagu berikut:-

                                                    Indahnya bumi kita ini,
                                                    Warisan berkurun lamanya,
                                                    Hasil mengalir ke tangan yang lain,
                                                    Pribumi merintih sendiri.

Gerai Sup Haji Abu terletak di tepi jalan Doraisamy 

Up Town Selayang





Jalan-jalan di Kuala Lumpur 5 - Kisah di Surau HKL

      Dari Istana Budaya penulis terus menuju ke Surau HKL. Setelah selesai solat, penulis melunjurkan kaki di ruangan hadapan surau. Penulis didatangi sekumpulan tabligh dan seorang daripada mereka duduk menyapa penulis. Mohd Toha namanya. Berasal dari Jawa Timur dan sekarang tinggal di Kampung Baru. Perbualan kami agak rancak. Penulis menceritakan tujuan datang ke HKL adalah untuk melawat adik ipar dan penyakit yang dialaminya.
Mohd Toha

     Mohd Toha meminta penulis banyakkan bersabar dan  minta kesabaran dipanjangkan kepada Wan. InsaAllah akan saya sampaikan.Sambil berbual Mohd Toha sempat memberitahu tentang 4 malaikat yang datang semasa sakit iaitu :-
           1. Malaikat yang menjaga kesihatan.
           2. Malaikat yang menjaga selera.
           3. Malaikat yang menjaga ceria.
           4. Malaikat yang menjaga dosa.
Beliau menjelaskan lagi, apabila seseorang itu sakit, akan dihapuskan sebahagian dosa pesakit tersebut. Perbualan kami terhenti apabila penulis menerima panggilan telefon daripada Zam yang mengajak penulis  keluar minum untuk menyegarkan badan. Banyak ilmu yang penulis dapat walaupun perbualan kami hanya sebentar. Semoga suatu hari nanti penulis diketemukan semula dengan Mohd Toha.
     
      Sebagai tambahan penulis ada terbaca  maksud Hadis riwayat Bukhari dan Muslim " Tidak ada musibah yang menimpa seperti keletihan, kelesuan, sakit, duka, susah atau gangguan walau hanya tusukan duri sekalipun melainkan dihapuskan Allah sebahagian daripada dosanya."

Sabtu, 16 April 2011

Jalan-jalan Kuala Lumpur 4 - Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya.

      Sambungan.....
      Dari Jalan Sultan Abdul Aziz, penulius menyeberang jejantas ke Balai Seni Lukis Negara. Inilah pertama kali penulis sampai ke sini. Kebetulan di lobi sedang diadakan ' The Lions Charity Art & Craft Carnival. Penulis mengambil kesempatan melihat bahan-bahan yang dipamerkan. Penulis lebih tertarik untuk masuk ke ruang pameran Balai Seni Negara kerana terdapat Pameran Bakat Muda 2010. Walaupun Pameran Bakat Muda 2010 telah habis tempoh, tetapi masih terdapat beberapa karya yang masih dipamerkan.Antara karya yang menarik perhatian penulis ialah yang yang diperbuat dari zink. Tema yang diketengahkan berkaitan masalah sosial yang melanda. Begitu juga karya 2 ekor kuda yang digambarkan sebagai ibu kuda dan anak kuda. Pengkarya menggunakan dua ekor sebagai menunjukkan kasih sayang.
      Di Balai Utama sedia dipamerkan lukisan-lukisan dan arca-arca yang menggambarkan pemikiran pengkarya. Penulis melihat ekspresi pengkarya lebih menjurus kepada kehidupan seharian dan kehidupan  masa hadapan. Tiada contoh gambar yang dapat diambil sebab pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar. Yang menariknya, kotak-kotak rokok banyak dilekatkan di dinding-dinding sebagai 'kempen anti rokok'.
      Bersebelahan Balai Seni Lukis Negara tersergam indah Istana Budaya.Penulis banyak membaca tentang pementasan-pementasan yang telah diadakan di sini. Buat pertama kalinya, penulis berdiri melihat IB. Sempat juga bergambar kenangan. Teringin juga untuk menyaksikan pementasan di dalam IB. Sebagai angan-angan, teringin juga untuk terlibat dalam pementasan di Istana Budaya ini. Teringat pementasan drama semasa kursus Diploma Pendidikan dahulu.
      Jam menunjukkan 5.00 petang. Penulis terus melangkah kembali ke Hospital Kuala Lumpur. Tempat yang dituju ialah Surau HKL.
      Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya boleh dijadikan pentas untuk memperkasakan bangsa. Lukisan-lukisan atau arca-arca yang dipamerkan adalah cerminan masyarakat. Masyarakat patut sedar akan luahan atau protes yang ingin disampaikan. Ia bukan hanya sekadar lukisan atau arca. Begitu juga pementasan-pementasan yang diadakan di Istana Budaya. Jika ia dimasyarakatkan, pasti pemikiran untuk membina negara bangsa dapat dicapai. Apa yang penulis faham dan apa yang masyarakat kebanyakan faham, Istana Budaya telah dielitkan.

Jalan-jalan Kuala Lumpur 3 ( Sambungan )

      Ahad 13.3.2011, Suasana di wad meriah dengan para pelawat sewaktu penulis sampai jam 1.20 tengahari. Penulis mengambil keputusan untuk ke kantin dahulu mengalas perut. Kantin HKL sentiasa sibuk dengan pelanggan. Lauk-pauk yang pelbagai menambahkan selera pelanggan. Mungkin juga kerana tiada tempat untuk menjamu selesa menyebabkan kantin HKL menjadi tumpuan. Keuntungan yang dijana sudah semestinya amat menggalakkan.Saingan untuk mendapatkan tender kantin juga pasti sengit. Sambil makan dan memerhati kesibukan di kantin, berjalan -jalan di sekeliling hospital menjadi pilihan penlis. Selain itu, berjalan-jalan juga merupakan amalan gaya hidup sihat.
      Penulis menyusuri Jalan Pahang. Hotel Grand Seasons mengingatkan penulis kursus yang pernah dihadiri di situ.Sukar juga untuk mengingati kursus apa  kerana setiap tahun penulis akan berkursus di Kuala Lumpur. Mungkin juga daya ingatan semakin lemah sebab faktor usia. Berjalan-jalan sambil memerhati sekeliling membawa penulis ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Hajat tadi hanya untuk mengelilingi hospital sahaja. Siapa yang tidak kenal Jalan Tunku Abdul Rahman! Semenjak penulis melanjutkan pelajaran lagi iaitu tahun 80 an jalan ini memang menjadi destinasi tetap jika berkunjung ke Kuala Lumpur. Aktiviti membeli- belah menjadikan jalan ni sentiasa sibuk dengan orang ramai. Tambahan pula ia berada di tengah-tengah pusat bandaraya. Kepelbagaian jenis kain yang dijual disini turut menarik golongan wanita untuk membeli-belah.Semasa penulis berjalan-jalan di sini, orang Indonesialah yang ramai bersantai di tepi-tepi jalan. Mereka  sering memerhati penulis seolah-olah tahu yang penulis bukan orang situ. Risau juga diperhatikan sebegitu.
      Penulis melalui sebuah lorong yang dimonopoli oleh peniaga dari Indonesia dan terus ke Jalan Raja Laut. Jika dibandingkan dengan Jalan Tunku Abdul Rahman yang sentiasa sibuk, Jalan Raja Laut agak sunyi kerana    banyak kedai tidak beroperasi pada hari ahad. Tidak ramai yang berjalan-jalan di jalan ini. Sempat juga penulis merakam gambar beberapa bangunan seperti Plaza GM dan Batu Road Supermarket. Semasa penulis belajar dahulu, Batu Road Supermarket memang cukup dikenali. Tidak sangka faktor masa menjadikan  ia berkeadaan sebegitu.
      Jalan seterusnya ialah Jalan Sultan Abd Aziz. Jalan ini terletak di bahagian belakang Hospital Kuala Lumpur. Sempat juga penulis merakamkan gambar Menara Berkembar dari jalan ini dan deretan kedai makan yang dipenuhi dengan pelanggan yang sedang menjamu selera.
      Dalam aspek perniagaan, jelas kelihatan ia dikuasai oleh kaum lain dan pendatang asing. Perniagaan dilorong-lorong turut menunjukkan perkara yang sama. Memang benarlah apa yang penulis baca di media cetak, iaitu perniagaan orang Melayu telah hilang ditelan dek masa seperti Batu Road Supermarket tadi. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan pelbagai masalah. Penulisan-penulisan di media cetak banyak kali telah memperkatakannya. Penulis hendak katakan juga, sebab fokus penulis ingin melihat wangsanya perkasa. ( bersambung. Jalan-jalan Kuala Lumpur 4 - Balai Seni Negara dan Istana Budaya )

  

Selasa, 12 April 2011

Jalan-jalan Kuala Lumpur 2

      Penulis dan keluarga sampai ke Hospital Kuala Lumpur lebih kurang jam 3.00 petang. Syukur Alhamdulillah kerana selamat dalam perjalanan dan adik ipar telah ke wad biasa. Penulis hanya menjengok sebentar adik ipar di wad memandangkan kawasan sekitar katil telah dipenuhi dengan adik-beradik. Kebetulan adik apar penulis (Zam) mengajak penulis untuk minum teh di kantin hospital, terus saja kami turun. Sambil menikmati teh tarik dan pisang goreng, zam menceritakan kesungguhan pihak hospital membantu Wan (pesakit). Menurut beliau doktor Hospital Kuala Lumpur menjelaskan bahawa tindakan perubatan yang diambil oleh sebuah hospital pakar di Ipoh adalah silap. Memberi steroid untuk mengatasi masalah bukanlah langkah yang bijak, kata doktor HKL. Timbul persoalan dalam fikiran penulis  bagaimana sebuah hospital pakar telah tersilap bagi ubat?
      Kesungguhan doktor HKL menghubungi hospital Teluk Intan dan HUKM untuk mendapatkan butiran awal kes amat penulis hargai. Nampak kesungguhan mereka dalam memberi rawatan terbaik kepada Wan adik ipar penulis.Begitu juga layanan staf wad tempat Wan ditahan begitu mesra sekali. Memang sesuailah Budaya Kerja : Penyayang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan yang diwara-warakan. Tahniah dan terima kasih daripada penulis. Teruskan Budaya Kerja tersebut.
      Seorang pesakit di sebelah Wan mengalami masalah penglihatan seperti Wan. Sekarang beliau telah nampak kembali. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa mendapatkan rawatan susulan mengikut jadual. Mungkinkah kes ini memberi sinar baru kepada Wan? Hanya masa yang akan menentukan. InsaAllah. 'Kisah pesakit katil sebelah' penulis harap dapat memberi motivasi kepada Wan bagi mengharungi hari-hari mendatang. Walau bagaimana, penulis melihat adik-beradik beliau amat prihatin dan ambil berat akan masa hadapan adik mereka.     
     
    

Khamis, 7 April 2011

Jalan-jalan di Kuala Lumpur 1

      Suatu hari pada 12.3.2011 sekali lagi penulis sekeluarga ke Kuala Lumpur untuk melawat adik ipar penulis yang telah keluar dari wad ICU dan telah dimasukkan ke wad biasa.Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam setengah, penulis melayan lagu-lagu nyanyian M. Nasir dan Maher Zain. Lagu-lagu M.Nasir seperti Bonda, Mustika, KepadaMu Kekasih, Ekspres Rakyat, Keroncong Untuk Ana, Hati Emas mengingatkan penulis pada kenangan lalu. Penulis membesar dengan lagu-lagu M. Nasir dan semasa penulis menyambung pelajaran di UKM Bangi, ramai dalam kalangan rakan penulis mengatakan wajah, penampilan dan gaya penulis mirip komposer tersohor ini.   Pada penulis, M. Nasir begitu istimewa berbanding dengan penyanyi-penyanyi yang lain.Melodi dan senikata ciptaan penyanyi ini begitu 'ngam' dengan citarasa penulis.Pengkisahan dalam senikata beliau yang menceritakan perkara-perkara yang berlaku  seperti tentang perjuangan, kisah kehidupan seharian dan ditambah dengan elemen nusantara sering menyentuh jiwa dan perasaan.
       Maher Zain, nama baru dalam industri hiburan tanah air. Walaupun hampir setahun sejak kemunculan pertama album beliau di Malaysia, namun sambutan yang diberikan terhadap nyanyian beliau masih hangat. Beliau sering datang ke tanah air bagi memenuhi jemputan. Apa istimewanya Maher Zain ini? Irama lagu yang berlainan berbanding dengan irama nasyid tempatan, penampilan yang bersahaja dan kemerduan suara mungkin menyebabkan dia diterima di Malaysia. Penulis sekeluarga tidak jemu-jemu memasang CD beliau terutamanya apabila dalam perjalanan jauh.
      Siapakah yang akan menggantikan M. Nasir ini sering menjadi tanda tanya penulis. Industri ini boleh dijadikan instumen untuk memperkasakan bangsa. Kita memerlukan 'role model' yang boleh menyedarkan bangsa melalui nyanyian tentang hakikat perjuangan, masalah persekitaran, budi, daya dan sebagainya. Nyanyian Allahyarham Sudirman dan Suhaimi Meor Hasan boleh dijadikan asas dan panduan. Selain itu siapa lagi ???
   

Ahad, 3 April 2011

Gempa Bumi, PABM 2011, Hik. Merong Mahawangsa dan K. Lumpur Bandaraya Selamat

          Suatu hari pada 11.3.2011, seperti biasa antara aktiviti penulis adalah membaca surat khabar. Surat khabar wajib yang dibaca adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. Sebelum ini cuma Berta Harian sahaja yang dilanggani penulis. Kemudian dek kerana perkembangan semasa yang semakin keliru, akhbar Utusan Malaysia turut dilanggani. Hal ini demikian kerana kempen 'jangan membaca Utusan Malaysia' yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Utusan Malaysia menyebabkan penulis turut melanggan Utusan Malaysia.
       Utusan Malaysia ada sejarahnya terutama kepada bangsa. Sebagai tanda protes terhadap kempen berkenaan, penulis melanggan surat khabar berkenaan.Harapan penulis agar bilangan naskah akhbar Utusan terus meningkat sekali gus aspirasi akhbar Utusan untuk melihat bangsanya berjaya tercapai.Teruskan perjuanganmu dan penulis akan terus menyokong di belakang tabir.
      Berbalik kepada aktiviti mambaca tadi, penulis tertarik dengan 4 perkara yang disentuh oleh dua akhbar berkenaan iaitu, Gempa Bumi dan Tsunami di Jepun, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011  (PABM 2011), Hikayat Merong Mahawangsa dan Kuala Lumpur Bandaraya Selamat.
      Tergamam juga penulis dibuatnya apabila berita gempa bumi 8.9 skala richter dan tsunami melanda Jepun. Dikuatiri beribu-ribu orang akan menemui maut. Penulis turut bersimpati akan peristiwa tersebut dan berharap rakyat negara Jepun tabah menghadapi peristiwa ini.Apatah lagi rakyat Jepun dikatakan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam apa jua keadaan yang melanda.Walau secanggih mana teknologi yang dimiliki, apabila alam bersuara, tiada kudrat yang boleh menghalangnya melainkan Yang Maha Esa.
      Perkara lain yang menarik perhatian penulis adalah kebolehan peserta-peserta dari luar Nusantara berpidato dalam Bahasa Melayu. Penulis amat berbangga kerana Bahasa Melayu sedang mekar berkembang ke persada antarabangsa. Siapa kata Bahasa Melayu tidak boleh dijadikan bahasa pengetahuan. Sejarah telah membuktikannya dan sejarah jugalah yang akan menentukan untung nasibnya. Penulis tidak akan rendah diri terutama kepada pihak yang mengagung-agungkan penggunaan Bahasa Inggeris. Penulis merupakan produk sistem pendidikan yang mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
      Jati diri sebagai bangsa Melayu perlu dipertahankan. Filem Hikayat Merong Maha Wangsa boleh dijadikan  contoh dan renungan . Penulis amat berbangga dengan hasil karya tiga adik-beradik ini. Difahamkan rekod telah dicipta dengan hasil kutipan sebanyak RM 500 ribu pada hari pertama tayangan. Tahniah diucapkan. Kebanggaan ini penulis ingin kongsi kerana filem ini menceritakan tentang asal usul sebuah kerajaan Melayu. Keperwiraan yang ditonjolkan akan membuatkan dunia mengambil tahu akan Dunia Melayu dan  siapa orang Melayu sebenarnya.
     Akhirnya, Kuala Lumpur Bandaraya Selamat menarik perhatian penulis. Hal ini kerana esok, penulis bersama keluarga akan pergi sekali lagi ke Kuala Lumpur untuk melawat adik ipar penulis yang berada di Hospital Kuala Lumpur.Penulis membaca temuramah bersama PDRM yang menjelaskan bahawa Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya selamat. Hal ini dibuktikan dengan kadar jenayah yang menurun. Penulis yakin seperti apa yang dituliskan dan esok  penulis akan saksikan sendiri.
     Kesimpulannya, kisah gempa bumi dan tsunami, PABM, Filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Kuala Lumpur bandaraya selamat telah menjadi fokus penulis Hal ini demikian kerana untuk menjadi wangsa perkasa, hubungan dengan alam perlulah seimbang.Perkara yang alam ingin suarakan jika diabaikan nescaya musibah yang mendatang. Bahawa "sesuatu kepastian itu, tidak akan terjadi bencana tanpa adanya dosa manusia.Selain itu, Bangsa Perkasa menjadikan bahasanya sebagai bahasa ilmu yang mampu diterjemahkan sebagai bahasa persuratan antarabangsa yang berkarisma dan berkaliber.Sejarah telah membuktikan suatu ketika dahulu telah wujud sebuah negara bangsa yang disegani di mata dunia.Selamanya negara ini memang selamat untuk dihuni kerana bangsa yang menghuninya adalah Wangsa Perkasa. Sekian. Penulis akan menulis lagi.