" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 30 Julai 2011

Tentang Perpaduan Kaum

      Kempen Kibarkan Jalur Gemilang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan bertemakan ' Tranformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera ', antaranya bertujuan untuk memupuk perpaduan kaum. Pemupukan perpaduan kaum sering dikaitkan dengan peranan institusi pendidikan untuk merealisasikannya. Dalam erti kata lain perpaduan kaum patut  dipasak dengan kukuh disanubari murid-murid.

      Sebagaimana perpaduan kaum dan keharmonian  kaum sentiasa menjadi agenda utama pemimpin negara, begitu jugalah institusi pendidikan tempat penulis bertugas. Perkara utama yang difkirkan oleh pentadbir adalah dengan memastikan bahawa aspek perpaduan kaum diambil kira dalam apa-apa juga kegiatan yang dilaksanakan.

      Perkhemahan  Perdana Unit Berunifom yang diadakan di Kem D' Lereng Ulu Chepor Ipoh pada 15 hingga 17 Julai 2011 berjaya memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid. Kegiatan yang berbentuk interaksi antara kaum berjaya menyuburkan semangat integrasi dan mengikis jurang perbezaan kaum. Apabila penulis bertanya komen mereka, responden yang terdiri daripada murid pelbagai kaum banyak yang berkata 'bagus' dan 'kami semua 1Malaysia'.

      Contoh lain ialah pendekatan mencampurkan tempat duduk murid pelbagai kaum di dalam kelas. Selain daripada dapat mengawal perbuatan membuat bising, cara ini juga dapat memupuk persahabatan dengan rakan sebaya pelbagai kaum, budaya dan agama. Pengalaman penulis di dalam kelas yang mempraktikkan amalan ini memang menarik sekali. Apabila ditanya mengapa berkedudukan sebegini, mereka terus menjawab 1Malaysia.Apabila penulis terus bertanya berkaitan hobi, makanan kegemaran, tempat tinggal dan lain-lain tentang rakan sebelah,  mereka tergamam kerana masih belum sampai ke peringkat itu.

      Modul Perpaduan Kaum juga turut disediakan dalam sesi bersama Pengetua/ Pentadbir. Sesi Bersama Pengetua/Pentadbir ini merupakan medan untuk Pengetua/Pentadbir berjumpa dengan murid membincangkan prestasi akademik dan sahsiah murid. Setiap sesi menggunakan modul yang ditetapkan. Modul Perpaduan Kaum yang disediakan ini, akan meningkatkan pemahaman murid tentang sekolah sebagai tapak pemupukan perpaduan kaum.

      Mengurus sebuah institusi pendidikan yang mempunyai murid pelbagai kaum dan agama bukan perkara mudah. Bukannya semudah menyebut a, b, c atau d. Bukannya mudah untuk sebuah institusi pendidikan memikul tanggungjawab melahirkan generasi yang bertimbang rasa, bertolak ansur dan mengeratkan persefahaman antara kaum. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi. Walau bagaimanapun hasrat Perdana Menteri supaya sedia berubah daripada konsep toleransi kepada penerimaan terhadap perbezaan dan kekurangan yang wujud antara kaum akan disambut oleh institusi pendidikan kerana bak kata pepatah 'melentur buluh biarkan dari rebungnya'.

      Sejak beberapa tahun ini, cabaran yang penulis dapat rasakan ialah pasak perpaduan telah mula longgar dan jika tersilap langkah akan mudah dicabut oleh sesiapa yang tidak pedulikan perpaduan .Selain itu, dalam kita menginginkan perpaduan kaum terbentuk, jangan lupa kaum sendiri juga telah mula tidak berpadu. Bagi penulis, apabila menulis diharapkan suatu kesedaran untuk melihat bangsanya bersatu dan berjaya akan terhasil...

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan