" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 7 Februari 2016

Silaturahim; Reunion antaranya

 Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, syukur saya kepada Allah S.W.T.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W.,
Keluarga dan Para Sahabat.

      Kata pepatah,
      Harimau mati meninggalkan belang,
      Manusia mati meninggalkan nama.

      Hanya amalan yang akan mengikut bersama. Contohnya Silaturahim ; Reunion antaranya. Biarpun amalan silaturahim nampak kecil, namun pahala besar. Insya-Allah.

      Alhamdulillah, perkembangan pelbagai peranti kini ada juga faedahnya. Trend terkini, masing-masing mula mencari rakan-rakan sekolah yang telah ditinggalkan 20 atau 30 tahun dahulu. Pencarian ini atas dasar menyambung tali silaturahim. Istilah popular ialah reunion.

      Fitrah manusia memang begitu, iaitu hidup berinteraksi dengan orang lain. Jika tidak berinteraksi dengan orang, boleh gila di buatnya.
Terdapat ketentuan dalam agama yang memerlukan kita berdiri bersama-sama dengan orang lain, misalnya solat.

      Maka, wujudlah group WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Tiba-tiba kita di  'add' dalam 'group'. Sebenarnya, kewujudan 'group' belum memadai untuk mencapai hasrat bersilaturahim. Bersua muka. Ya, bersua muka. Itu lebih molek. Bersua muka walaupun 5 atau 10 minit.

     Mengapa perlu bersua muka? Apabila bersua muka, kita boleh bersalam-salaman. Apabila kita bersalam-salaman, dikatakan akan gugurlah dosa melalui jari-jemari. Tapi, kena ikhlas dan kerana Allah. Beruntunglah jika kita dapat berbuat demikian. Insya-Allah. Aamiin.

      Seperkara lagi, silaturahim juga membuka jalan diluaskan rezeki, bahkan dipanjangkan umur.

      Rasulullah S.A.W. bersabda,
      " Barang siapa mahu diluaskan rezekinya  dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim.
( HR : Bukhari )

     Jadi, bersilaturahim boleh dijadikan sebahagian amalan yang akan mengikut kita ke Akhirat kelak. Insya-Allah. Jom kita amalkan.

      Akhirulkalam. Yang baik datang dari Allah. Kalau tersalah kata, datang daripada kelemahan saya. Mohon ada yang menegur. Assalamualaikum.