" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 26 September 2011

Merekayasa. Buku muka dan Muka

      Alhamdulillah, hari ini institusi pendidikan tempat penulis bertugas melancarkan program merekayasa perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Antara pengisian program merekayasa ini meliputi pembinaan blog, dan  buku muka (facebook). Ramai juga yang bertanya penulis apa yang dimaksudkan dengan merekayasa?

                                    Pelancaran Program Merekayasa Bimbingan dan Kaunseling

                                             Pengetua menjadi 'rakan' buku muka (facebook)

      Menurut Kamus Dewan edisi 4, maksud rekayasa ialah penerapan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja dan lain-lain sebagai asas melaksana sesuatu. Merekayasa pula bermaksud melakukan rekayasa.

      Mengapa blog dan buku muka (facebook)? Semua orang mungkin sudah memahami bahawa zaman ini iaitu zaman segalanya di hujung jari, medium inilah yang amat popular diperkatakan dan digunakan oleh orang untuk berkomunikasi terutama golongan muda. Hatta, Perdana Menteri kita sendiri merekayasa dan menjuruterai pembangunan negara menggunakan medium ini.Oleh itu, amat rugilah jika medium buku muka (facebook) dan blog tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi menyebarluaskan ilmu mahupun sebagai perkongsian pintar dengan pelbagai pihak tentang sesuatu perkara.

      Kita tolak ke tepi dahulu akibat buruk buku muka dan blog . Kita tolak ke tepi dahulu kes perceraian atau kes penipuan mahupun kes keldai dadah.Cuba kita ambil perkara positif berkaitan medium ini. Contohnya, bagaimana penyanyi Yuna atau Najwa Latif memanfaatkan medium ini demi perkembangan kerjaya mereka. Bukankah asalnya mereka berlagu  hanya di you tube sahaja?


      Apabila membelek kamus simpulan bahasa pula, penulis terjumpa juga beberapa simpulan bahasa berkaitan dengan ' muka '. Sebagai kakitangan di organisasi pendidikan ada orang berpesan kepada penulis agar jangan ' beri muka ' sangat kepada para pelajar kelak nanti mereka mengambil kesempatan terutama dalam kes-kes disiplin. Melalui pembacaan penulis, perkembangan isu semasa, ramai orang yang tidak berpuas hati kerana kita seolah-olah beri muka kepada seorang. Dalam hal ini, jika tidak ditangani secara berhemah mungkin akan mendatang kesan pada masa akan datang. Contohnya, jika seorang pelajar di beri muka, tidak mustahil hal yang sama akan dilakukan oleh pelajar lain. Bukankah susah kita nanti?

      Mungkin orang kita seperti simpulan bahasa ini iaitu muka berpandangan, budi berkedapatan; kasih bagai selama juga.( Maksudnya; pernah melakukan silap, tetapi tidak dibalas; anggapan tetap tidak berubah walaupun orang itu berbuat serong ) Mungkin juga budaya kita, tidak mahu menjatuhkan air muka. Harap-harap janganlah perbuatan tersebut akan menconteng arang di muka.Yang menanggung akibatnya adalah kita....

     Dalam muka bumi (dunia) atau dalam kalangan kita ada juga yang bersikap muka tebal/ muka tembok/ muka tarpal/ muka papan/ muka pot iaitu orang yang tidak tahu malu. Orang jenis ini bolehlah kita anggap mereka sebagai muka bantal (pura-pura baik),  muka batu, (tidak berperasaan)muka sengkalan ( tidak sensitif),dan  muka dua (hipokrit). Ada pula yang sanggup  menjadi talam dua muka ( berbuat baik kepada ke dua-dua pihak yang bermusuhan ). Mereka ini muka sahaja licin, ekor penuh berkudis ( di luar nampak baik, di hati jahat).

      Pendedahan dalam medium buku muka, mereka ini akan malu oleh kerana rahsia buruk sudah diketahui  seperti simpulan bahasa berikut; pecah tempayan pekasam; muka berconteng arang. Hal ini demikian kerana perbuatan yang memalukan diri sendiri; ditepuk air didulang, terpercik muka sendiri.

      Akhir kata, muka manusia itu sebaik-baik perisai bagi hati. Kepada muka baru bertanyalah kepada muka lama. Apabila berurusan dengan sesiapa sahaja elakkan menunjukkan muka keruh, muka kusut atau muka masam. Contohilah Perdana Menteri kita apabila beliau merekayasa dan menjuruterai 1Malaysia dengan hanya muka manis ( wajah yang berseri ). Syabas Datuk  Seri Najib Tun Razak...

Selasa, 20 September 2011

Tentang Tangan - mencari makna di perjalanan.



       Penulis menulis makna tangan di sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang ( Taman Negara P. Pinang dan Muzium Perang di Batu Maung) dan singgah sebentar di Kuala Kangsar.


      Melihat iklan di tv dan surat khabar tentang tangan memang amat menarik untuk penulis tulis.Iklan Petronas berkenaan :-

Tangan yang ikhlas berbudi dan tabah melakar usaha;
Menempa semangat kersani dengan tekad dan cita-cita.

Mewarnai impian esok dengan citra dan makna;
Menggenggam Satu Harapan, mengisi erti Satu Merdeka.

 Melalui perkataan tangan  banyak perkara yang boleh diceritakan.


      Tangan jua merakam peristiwa-peristiwa sejarah. Apakah boleh tangan yang ingin melakar semula sejarah sedangkan banyak tangan yang mencatat. Terdapat tangan yang mengatakan pemerintah kini sebagai tangan besi sedangkan tangan itulah yang menikmati kemakmuran negara.


      Kata orang tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Tangan juga boleh menyebabkan kita tersungkur.

      Tangan juga lebih tajam daripada mata pedang atau lebih mengebomkan daripada meriam. Meriam daripada tangan penjajah Inggeris mahupun pedang Jepun tertewas jua dek buang tangan orang Melayu.

                                                    Disebalik itu ada tangan - tangan ajaib

          Tangan- tangan ajaib sering mengganggu- gugat keamanan dan keharmonian kita. Kita boleh menelah siapakah mereka. Kita juga boleh menjangka proksi mereka di negara kita. Selalunya mereka akan menunggu masa untuk campurtangan dan akan cuci tangan apabila petaka menimpa.Cuma kita suka sangat mendagu.


                                             Tangan sebagai penunjuk jalan, niat dan matlamat
   
        Tangan menunjuk langkah ke arah yang tepat. Tangan juga menjamin langkah agar sentiasa kuat. Namun berhati-hatilah dengan mukaddimah tangan kerana ia banyak menentukan natijah.

                                                                    Jambatan penghubung
     
      Tangan juga adalah jambatan pengikat siratulrahim. Lambang persahabatan yang terjalin kukuh. Tangan yang ingin membakar atau meruntuhkan jambatan ini haruslah ditentang.

                                                                     Tangan dan Hati                                            

      Falsafah hati terkandung di dalamnya. Tangan yang hebat perlukan hati yang bersih Apabila ditingkatkan kualiti hati, ini bermakna produktiviti tangan menyusul kemudian. Tangan yang sensasi harap dikesampingkan.
   
   
                                                              Maruah dan Martabat
     
      Tangan juga yang telah mengembalikan maruah dan martabat Bahasa Melayu yang sebelum ini menggunakan Bahasa Inggeris.Bukannya apa, Dalam Bahasa Melayu inilah tersimpan bahagian penting tentang nilai, salasilah dan jati diri sesuatu bangsa.


                                                                      Jati diri?
     
      Tangan yang menulis ini telah hilang jati dirinya. Bahasa Jiwa Bangsa. Di samping mendukung fungsi penyebaran, bahasa kebangsaan adalah kubu serta asas budaya. Keistimewaan itulah yang dicari oleh orang yang datang. Keistimewaan itulah jua yang ingin dipadam..

                                                                   Sesejuk air mengalir

      Walaupun mudah didapati tapi ia amat berharga. Biar tiada api, jangan tiada air. Orang sanggup berperang kerana air. Orang sanggup menoktah janji kerana air. Kerananya, orang sanggup mencekik. Apabila tangan memegang gelas yang berisi air, kedengaran bunyi ' yam seng '. Kita pula masih ketawa dengan frasa nyiaensing......

                                                           Tangan yang menggengam tanah.

      Tanah yang digenggam ini ada tuannya. Kepada yang menumpang, tangan terbuka dihulurkan. Adat bertamu, hormatilah tuan rumah. Tuan rumah budiman orangnya, asalkan saja tetamu dan orang yang menumpang menjaga adapnya. Sudahlah datang dengan tangan kosong, buah tangan pula yang dimintanya..

                               Tangan yang memelihara pokok. Pokok pula mengeluarkan udara
     
      Air tangan si pemelihara pokok akan menentukan pokok sentiasa subur dan mengeluarkan udara segar.Tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok tangan yang goncang. Janganlah ada tangan beracun  yang akan mengakibatkan pokok kering berudarakan udara kotor.  Lihat saja pokok disekeliling tanah kita!!!!!

      Tetapi sebuah negara bukan terdiri daripada air, tanah dan udara semata-mata. Apa yang dikatakan negara adalah manusianya.
                                                 Peminpin dan Dipimpin. Seiring dan Sejalan

      Mereka umpama tangan kiri dan tangan kanan. Pemimpin menentukan, Dipimpin melaksanakan. Setelah ditentukan 'apa' dan 'mengapa'? barulah diuruskan 'bagaimana' dan 'bila'. Ada orang bertepuk tangan melihat kita berbalah, bersinsing tangan  dan bergusti tangan sesama kita. Ayuh kita satukan tangan-tangan kita. menjadi seperti penyapu lidi.


                                                        Tangan yang menggenggam akar
       
      Tangan kukuh memegang akar. Akar adalah ego kita.  Kita perlu mendukung fahaman bahawa akal budi, warisan serta nilai tamadun terkandung di dalamnya. Tujuan nya hanyalah untuk mengukuhkan etos bangsa.

                                                                  Perbezaan dan kekuatan
      Perbezaan umpama jari-jari tangan yang besar, kecil, pendek dan panjang, sama-sama memberi kekuatan untuk menggenggam kejayaan.
     Beginilah caranya cabaran diharungi. Bekerjasama antara satu sama lain akan membentuk gabungan yang lebih kukuh.

                                                 Tangan yang meniti tangga menuju kejayaan

      Kejayaan pasti menjadi milik kita. Kita perlu sabar. Pasti ada cayaha di hujung terowong. Di penghujung sabar ada kegembiraan. Walau sejauh mana kita pergi. Walau setinggi mana kita daki. Jangan dilupa rumput di bumi. Itu pesan orang tua.

                                               Tangan yang dikerah mencari rezeki halal

      Tangan yang tidak sanggup menanggung kepahitan, tidak akan dapat merasai kemanisan. Takkan terjangkau rahsia lautan, jika tangan pelayar gentar meninggal daratan.

                                         
             Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Jangan sampai kita alpa dengan dunia. Tanggungjawab yang diamanah pikullah secara adil dan saksama. Dulu, kini dan selamanya.....

      Tangan juga yang akan memilih pemimpin. Hendaknya pemimpin yang dipilih sentiasa memikirkan tentang pembelaan nasib rakyat ketika ini dan generasi akan datang.Janganlah pemimpin yang sengaja mencipta isu sensasi yang menambah bebanan kehidupan. Ironinya, apabila rakyat memilih mereka, rakyat yang menderita akibat perlakuan dan kata-kata mereka. Rakyat jadi keliru atas kenyataan atau janji yang ditaburkan.


                                         Marilah kita bina perisai dan daya tahan tangan kita.......
Akhirul kalam tadahkan tangan, segalanya untuk Allah.

Ahad, 11 September 2011

Sesekali Aku Menulis Tentang Sejarah

Dengar dulu...

      Berdiam diri bukan beerti kau kalah, 
biar cercaan sekali datang menimpa, 
sudah menjadi adat dunia,
bersuaralah kamu kepada perkara berguna,
itulah sifat orang bijaksana.

Iya, anak muda itu tidak mati kerana tergelincir kakinya,
tetapi matinya anak muda itu ialah kerana tergelincir lidahnya.
Berdiamlah diri kamu kepada perkara yang bukan-bukan,
Bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan,
Berjasalah kamu  kepada keharmonian negara.

      Ada orang kata; apa yang hendak dikenang, itu sudah menjadi sejarah
      Ada orang kata; apa ada pada sejarah; sejarah hanya himpunan peristiwa
      Ada  orang kata; sejarah pasti berulang tapi dalam bentuk berbeza
      Ada orang kata; jangan ubah fakta sejarah
      Ada orang kata; ada fakta sejarah tercicir
     Ada orang kata kitab sejarah sedang terkoyak
   
     Ada orang kata; kita ubah fakta sejarah...

      dengar dulu

Selagi jasadku belum terkubur
Selagi tubuhku belum ditimpa uzur
Selagi hayat dikandung badan
Pantang nenek moyangku berundur ....

Ada pula orang berkata, belajar sejarah memang membosankan.
Ada pula orang berkata; sejarah ditulis oleh orang yang menang.
Ada pula orang berkata; sejarah mengajar kita untuk menjadi lebih dewasa.
Ada pula orang berkata; ambillah ikhtibar daripada sejarah.

Hakikatnya, sejarah tidak boleh diubah kerana ia peristiwa sudah berlaku.
Kita tidak pernah belajar daripada sejarah yang banyak merungkai 
tentang rahsia sengketa dan bencana.
Kita tidak pernah belajar daripada sejarah yang mengalir ke dalam longkang fikir
anak bangsa yang asyik menuduh fitnah dan mencari salah.

Kita perlu belajar mencantumkan kembali sejarah dengan luhur kebenaran, lembar kata dan cerita
daripada episod perjuangan sang wira wangsa perkasa
agar tersusun menjadi wadah yang tulus untuk dinikmati anak generasi

Hakikatnya, sejarah tidak boleh diubah kerana ia peristiwa sudah berlaku.
Sesekali aku menulis tentang sejarah.

      Belakangan ini, wujud  usaha mengangkat petualang negara sebagai wira, dan menidakkan wira sejati tanah air.Hal ini begitu berbahaya. Fakta dan susunan sejarah haruslah sentiasa dipandang penting. Kita haruslah mencari jalan pulang dengan memandang tinggi sejarahwan tanah air dan tidak membelakangi mereka dalam menentukan fakta sejarah serta mencari tafsiran kepada fakta berkenaan. Kita serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Sesungguhnya , apabila kita menyusuri akar sejarah semangat perjuangan , ternyata  ia banyak menunpahkan keringat, darah dan air mata. Sesekali penulis menulis tentang sejarah. Persoalannya. ada orang kata 'Semangat Kita Telah Hilang' Betulkah begitu?

 
   Malu bertanya kawan, sesat cari jalan pulang.
   Jika semangat yang hilang, kita cari jalan pulang.

Isnin, 5 September 2011

Syawal dirai dan Merdeka dihayati - Maaf Zahir dan Batin

     
      Dua perayaan yang menyatukan kita . Sempena meraikan dua perayaan ini, kita mempunyai lebih banyak sebab untuk terus mengimbas kembali dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.




      Jalinkan perhubungan, eratkan ikatan persaudaraan. Hari lebaran mengingatkan kita betapa tingginya nilai persaudaraan dalam kehidupan.


      Selagi hayat dikandung badan takkan putus tali persaudaraan. Kita hargai ikatan silaturrahim dan meniti kehidupan dengan penuh rasa kesyukuran.


      Musim perayaan lebih meriah bila kita bersama.

Ahad, 4 September 2011

Kata-kata pelajarku tentang Merdeka

   
       Pada tanggal 31 Ogos, negara kita telah bebas daripada genggaman penjajah. Setelah Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka sebanyak 7 kali. Kini kita telah menyambut Hari Kemerdekaan selama 54 tahun. Negara kita semakin terkenal dengan teknologi moden. Telah banyak kemajuan yang dicapai seperti kereta dan motorsikal. Terdapat pelbagai kaum yang hidup bersama dalam satu payung malah menyambut perayaan bersama-sama.
                                                                                                                   Yasirah 4 SI
   
     Aku adalah rakyat Malaysia. Aku sungguh bangga menjadi rakyat Malaysia kerana di Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan budaya. Namun rakyatnya saling menghormati antara satu sama lain. Ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.
                                                                                                              Kamarul Nizam b Riduan 4 SI

      Semasa merdeka, aku masih belum lahir. Aku bersyukur dilahirkan selepas Malaysia mendapat kemerdekaan. semangat itu masih dapat dirasai sehingga saat ini. Terkenang kisah-kisah yang diceritakan oleh ibu tentang bagaimana pengorbanan tokoh-tokoh berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan. 31 Ogos 1957 adalah tarikh yang penting dan akan sentiasa diingati sampai bila-bila.
                                                                                                               Hamudah bt Ibrahim Sabri 4 SI

      Bagi aku, kemerdekaan adalah suatu kebebasan dan kebebasan itu jugalah yang membawa semangat jiwa merdeka. Dengan kemerdekaan inilah yang akan membuatkan rakyat Malaysia bersatu. Aku dan Kemerdekaan sungguh amat sukar dipisahkan walaupun untuk seketika kerana kemerdekaan inilah yang membuatkan hidup kita semua aman dan harmoni.
                                                                                                                   Nadzirah  4 SI

      Aku bangga menjadi rakyat Malaysia yang merdeka kerana perjuangan dan pertempuran rakyat Malaysia terhadap penjajah sangat gigih. Kehidupan yang aman dan tenteram di Malaysia tidak ternilai dan tidak terbalas jasa para pejuang. Merdeka ! Merdeka ! Merdeka!
                                                                                                                   Hafizuddin  4 SI

      Saya amat bangga kerana Malaysia telah merdeka selama 54 tahun. Usaha nenek moyang kita yang cuba menghapus penjajah asing ini tidak sia-sia. Saya juga berasa bersyukur kerana dapat hidup di Malaysia yang mempunyai teknologi yang canggih dan juga pengangkutan yang lebih baik berbanding zaman dahulu. Sebagai warganegara Malaysia saya berdoa agar Malaysia terus aman dan bebas dari penjajah.

                                                                                              Nur Shazwani bt A Jamaluddin 2 Z

      Saya berasa amat terharu kerana dapat menyambut hari Kemerdekaan bersama rakan-rakan dan guru di sekolah. Banyak aktiviti yang menarik diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut. Saya berasa sangat gembira untuk menjadi rakyat Malaysia dan hidup dalam negara yang aman tanpa sebarang penjajahan.
                                                                                              Nur Husnina bt Mazlan 2 Z

      Saya bangga menjadi anak Malaysia.. Kalau dikenang kembali betapa susahnya orang dahulu menjalani kehidupan. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan aman. Dahulu, pengangkutan hanyalah berdasarkan kereta lembu, tetapi cuba kita lihat sekarang, semakin lama semakin banyak pengangkutan yang baru.
                                                                                               Izah Nursabrina  2 Z

      Ketika sambutan diadakan dan apabila mendengar lagu Kita Satu Malaysia, hati saya amat bersemangat dan saya sungguh kagum melihat kemeriahan majlis. Selain itu, apabila Dato' melepaskan burung dari sangkar, barulah saya sedar bahawa orang Melayu dahulu sangat menderita dengan pemerintahan Inggeris. Saya amat gembira, kini kita sudah bebas daripada penjajahan British dan berharap kebebasan ini akan terus berkekalan.
                                                                                                Nurul Yasmin bt Ahmad Azizuddin  2 Z