" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 23 Ogos 2011

Anak-anak Kita

Hayati dulu


Anak-anak Kita ( sedikit ubahsuai )

Anak-anak kitakah yang sering terlanjur
di bawah gelora nafsu
sambil meninggalkan bayi dalam tangisan.

Anak-anak kitakah yang merempit di hutan batu
dengan motorsikal terlebih kuasa tidak kenal bahaya.

Anak-anak kitakah yang tidak tahu hendak pulang
hingga larut malam kerana terlalu sibuk
dengan pil khayal dan ragut-ragutan.

Anak-anak kitakah yang memikul beban kesilapan kita
hingga tidak kenal budaya bangsa sendiri.

Fikir, selamatkah kita ditangan dalang wayang itu
Fikir, selamatkah kita ditangan doktor jiwa itu
Fikir, selamatkah kita ditangan pakar kitab itu
Fikir, selamatkah kita ditangan tuhan-tuhan itu

Jaga-jaga anak kita jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita, kita ini orang merdeka.

Panggillah mereka pulang, ajarlah mereka
Tentang budi
Tentang daya
Tentang niat dan usaha.
Kita ini orang merdeka...

Cemerlang Peperiksaan (8A PMR)

Hormat kepada Gurunya

Tinggi Akhlak dan Budi Bahasa

Bersifat Kesetianegaraan

Berpadu dalam Kepelbagaian

Bersemangat Waja

 Bersopan santun dan Beradat

 Berbudaya

Belajar Bersama Menerima Kepelbagaian

Sedia Memberi dan Menerima

Teguh Agama


Khamis, 18 Ogos 2011

Kesetianegaraan ( Patriotisme )

      Apabila menulis tentang Kesetianegaraan, penulis teringatkan kursus yang pernah dihadiri. Dalam kursus tersebut penulis diperdengarkan dengan 2 buah lagu berikut. Kepada yang pernah dengar, anggaplah ia sebagai 'menyegarkan semula' dan kepada yang belum pernah dengar, cubalah hayati lirik lagu tersebut kerana Semangat Kesetianegaraan terkandung di dalamnya. Selamat mendengar....

   
      Kesetianegaraan mempunyai ciri ritualnya untuk disemaikan ke dalam sanubari masyarakat khususnya golongan muda. Kesetianegaraan ini tidak dapat lari daripada maksud kecintaan atau rasa tanggungjawab dan kesediaan berkorban untuk negara dan bangsa. Kesetianegaraan ini merupakan suatu ungkapan simbolik yang menyatakan bahawa rakyat perlu memiliki rasa bangga terhadap negara tempat tumpah darahnya. Sebagai warganegara, seseorang itu wajib menjunjung tinggi nama baik negaranya dan bukannya memburuk-burukkan negara di luar negara.

                       Cuaca gerimis mendamaikan Pelancaran Bulan Patriotik pada 15 Ogos yang lalu.

      Setiap kali menjengah bulan Ogos, paling hangat diperkatakan ialah patriotisme. Pada ketika inilah rakyat Malaysia disarankan tampil mempamerkan semangat patriotisme.Akan tetapi, sejauh manakah pemahaman rakyat akan kesetianegaraan itu? Adakah cukup dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang atau mengingati pengorbanan wira-wira terdahulu?
   
       Kadang-kadang kita sendiri kurang bersikap patriotik terhadap bahasa kebangsaan. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa juga menunjukkan bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa negara. Sehubungan denagn itu, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara. Alangkah sedih jika kita lihat masih ramai warga negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara.Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan kerana bahasa ini adalah bahasa perpaduan yang boleh mengukuhkan rakyat Malaysia seterusnya meningkatkan semangat kesetianegaraan.

Pada pagi Sambutan Bulan Patriotik selain cuaca gerimis, pokok yang berbunga dan banyak bunga yang gugur ke bumi seolah-olah perlambangan generasi muda yang sedang mekar berkembang, juga perwira-perwira yang gugur ke bumi menentang penjajah.

      Ucapan perasmian Sambutan Bulan Patriotik Peringkat Institusi Pendidikan tempat penulis bertugas disempurnakan oleh Dato' Azumu b Hj Tak ( dua dari kiri ).Antara ucapan Dato.ialah meminta para pelajar mengingati pemimpin silam dan mengekalkan perpaduan antara kaum. Jelas Dato' bahawa antara kaum boleh berbaik.
      Sementara itu, dalam ucapan Pengetua ( tiga dari kiri ), beliau menegaskan nikmat kemerdekaan sukar digambarkan dengan lidah atau perasaan dan hanya akan dirasai dengan menjalani penghidupan.Seterusnya beliau menyatakan bahawa generasi Y kini adalah generasi pewaris bangsa dan teraju kepimpinan akan datang. Oleh itu, mereka kena sedar kemerdekaan ini tidak dapat dipertahankan jika lupa sejarah dan lupa jati diri. Beliau mengingatkan pelajar bahawa mereka perlu merdeka dalam aspek hati dan perasaan kerana kini penjajahan adalah dalam bentuk baru akibat proses globalisasi.

                Seekor burung merbuk dilepaskan sebagai gimik perasmian Sambutan Bulan Patriotik

Deklamasi Puisi gabungan guru dan pelajar menyemarakkan lagi Majlis Sambutan Pelancaran

      Generasi pascamerdeka dilihat tidak begitu menghayati semangat kesetianegaraan. Masih ramai daripada mereka tidak memahami pengertian hari kebangsaan.Perkara ini akan menghakis rasa kesetianegaraan dalam kalangan generasi pewaris ini.Kita harus ingat bahawa rasa kesetianegaraan sebagai salah satu jati diri bangsa kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kebudayaan. Jika ia dapat disebatikan dalam jiwa setiap rakyat, sudah tentu perpaduan rakyat menjadi lebih kukuh dan utuh.

      Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab pendidik seperti penulis dan sahabat-sahabat yang lain menggembleng tenaga untuk menghidupkan norma kesetianegaraan itu semula kerana bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

                              Pakaian Pendidik pada majlis ini bertemakan Warna Bendera Malaysia

                                                                 Bicara Kemerdekaan
                                                     Pameran bertemakan Kemerdekaan

                                                             Pertandingan Mewarna
     
      Kesimpulannya, Malaysia telah berjaya mengisi erti kemerdekaan dengan kemakmuran dan kesejahteraan dan keadaan ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk berebut peluang yang terhidang. Perkara yang mengecewakan apabila negara dalam kesukaran tiada yang tampil bersemangat membanteras petualang-petualang. Maka benarkan kata Mantan Perdana Menteri bahawa Perjuangan Kita Belum Selesai kerana hendak mengisi kemerdekaan banyak rintangan yang perlu dihadapi....


Ahad, 14 Ogos 2011

Kibarkan Jalur Gemilang



Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarganya dan para sahabat sekalian.

Ya Allah, sesungguhnya kami bersyukur kepada-Mu kerana memberi nikmat pembangunan dan kemerdekaan yang dapat dinikmati oleh rakyat di negara ini.
Ya Allah, kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spiritual. Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat di negara kami. Kami bersyukur kepada-Mu ya Allah kerana kemajuan yang kami perolehi adalah hasil dari kemerdekaan yang telah Engkau anugerahkan kepada kami.
Sempena sambutan Bulan Patriotik ini, kami pohonkan ehsan dari-Mu ya Allah, agar Engkau kurniakanlah kami nikmat kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan, lindungilah kami dari segala keburukan dan keaiban, hindarkanlah kami dari segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Peliharalah kami dari segala bencana, anugerahkanlah kami dengan kesihatan agar kami dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta ini.


Ya Allah Tuhan yang menguasai sekalian alam,
Engkau peliharalah Malaysia negara kami yang kami cintai ini. Engkau peliharalah perpaduan di antara kami demi kepentingan negara Malaysia yang kami kasihi. Ya Allah kami bersyukur kepada-Mu kerana dapat hidup dalam keadaan aman, damai, harmoni, percaya-mempercayai, saling hormat-menghormati serta tolong-menolong yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara kami sehingga ke hari ini.

Ya Allah ya Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Kami memohon restu dari-Mu, Engkau anugerahkanlah bangsa kami ini menjadi bangsa yang setanding dengan bangsa dan negara-negara maju lain di dunia ini.


Engkau kekalkanlah kemerdekaan ini untuk generasi kami dan generasi yang akan datang. Engkau kurniakankanlah kepada kami kekuatan, semangat dan kesabaran yang tinggi untuk membentuk generasi baru yang boleh menghargai dan mempertahankan kemerdekaan ini, agar perjuangan awal yang telah dirintis oleh orang-orang terdahulu daripada kami tidak menjadi sia-sia.
Peliharalah kemerdekaan ini ya Allah, agar bangsa kami menjadi bangsa yang sihat, berdisiplin, bertoleransi, pemurah, peramah dan hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagaikan satu keluarga.
Peliharalah kemerdekaan ini ya Allah, supaya hati kami, jiwa kami dan minda kami sentiasa berada dalam keimanan yang teguh dan dapat memakmurkan negara dan bangsa.


Kabulkan doa ini ya Allah, amin amin ya rabbalalamin

Selasa, 9 Ogos 2011

Tentang Wang


                                                 Blok pentadbiran tempat penulis bertugas.
     
      Dengan adanya wang, berdiri megah institusi pendidikan tempat penulis bertugas.Jika diberi wang, banyak perkara yang boleh dilaksanakan demi kecemerlangan institusi pendidikan ini.Semestinya banyak permintaan yang dapat dipenuhi. Hakikatnya, wang yang diperuntukkan adalah terhad. Wang juga tidak boleh sewenang-wenang diberi hingga berlebihan. Hal ini dikuatiri nanti wang itu tidak ada nilainya seperti wang cap pisang zaman Jepun dahulu. Oleh itu kita dituntut berbelanja secara berhemah. Berbelanja mengikut prioriti dan hal ini tentunya melibatkan ' kos melepas'.

      Wang juga boleh digunakan untuk keamanan,  kedamaian dan membantu orang lain.Tetapi pemberian itu biarlah ikhlas Begitulah kata Tok Wan, tetamu jemputan yang dijemput oleh cikgu tadika tempat Upin dan Ipin belajar. Siri ini penulis tonton pada hari sabtu 6 ogos 2011 jam 6.45 petang. Menarik sekali kata-kata Tok Wan. Tok Wan memberi contoh duit 10 sen jika dikumpulkan satu kelas dan kemudian satu kampung akan menjadi banyak. Diselitkan juga peribahasa 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' , 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' dan 'tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima'

      Kata-kata Tok Wan itu memberi idea kepada Upin dan Ipin untuk mengutip derma bagi meringankan beban sahabat mereka Ijat yang baru sahaja dilanda musibah rumah terbakar.Kesungguhan mereka berdua yang mengutip derma dalam keadaan hujan lebat mengakibatkan mereka demam. Melihat kegigihan Upin dan Ipin sehingga jatuh sakit, rakan-rakan yang lain turut membantu. Akhir cerita, Ijat yang datang ke tadika tanpa uniform telah diberi sumbangan tersebut beserta baju uniform.

      Siri Upin dan Ipin ini mengingatkan penulis tentang musibah rumah terbakar yang menimpa seorang pelajar. Penulis merakamkan rasa simpati kepada keluarga pelajar tersebut dan berharap mereka tabah hadapi ujian ini. Atas dasar keprihatinan warga institusi, satu kutipan derma kilat telah dijalankan pada hari Jumaat lalu (5.8.2011). Walaupun hasil kutipan tidak seberapa, tetapi semangat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing sememangnya patut diteladani. Penulis melihat atas semangat 1 Malaysia, pelajar-pelajar tanpa mengira kaum turut menghulurkan bantuan. Perpaduan sebeginilah yang diimpikan oleh negara sejak dahulu, kini dan selamanya. Penulis kuatir semangat perpaduan yang disemai ini akan cuba diganggu-gugat apabila mereka dewasa kelak.
   
                                                       Siap sedia menerima sumbangan
   
       Kerana wang juga kita boleh berbalah dan bersengketa. Peristiwa lalu mengajar kita bahawa agihan wang yang tidak seimbang turut menumpahkan darah ke bumi bertuah ini.Tongkat wang yang masih diperlukan turut dipertikaikan atas alasan kita perlu bermain di atas padang yang sama rata.Wang 20 peratus yang baru dicapai setelah lebih 40 tahun turut dicemburui. Hakikatnya, 30 peratus yang sepatutnya dipegang. generasi Y ketika ini perlu fahami hakikat bahawa inilah perjuangan tersirat mereka. Wang inilah yang akan mengekalkan keharmonian, keamanan dan kedamaian bumi bertuah ini.

                                                          Bersatu dalam kepelbagaian
   
      Akhirul kalam, penulis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas wang setengah bulan gaji dan minimum RM 500.00 yang diumumkan.Perbelanjaan wang RM 2 bilion itu akan mendatangkan pendapatan RM 5 bilion  hasil kesan  pengganda ekonomi.Wang tersebut akan mengalir dalam aliran pusingan pendapatan dan seterusnya akan meningkatkan pendapatan negara. Kesannya, negara akan makmur. aman dan harmoni dalam kepelbagaian. Apa yang perlu dicari cuma persamaan dalam kepelbagaian. Untuk menjadi Wangsa Perkasa, kita perlu menguasai Wang dan Sa.. Sa ini jangan juga kita terlepas...

Rabu, 3 Ogos 2011

Tentang Peperiksaan

                        ' Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak menjawab dengan cemerlang '
                                   ( Sessi Bersama Pengetua dengan calon PMR pada 2.8.2011 )

      Permulaan puasa ini memang meletihkan terutama bagi anak-anak yang baru belajar berpuasa. Namun anak-anak penulis sejak dari umur 5 tahun lagi sudah mula berpuasa dan tanpa gagal melaksaanakan dengan bersemangat. Apabila berada di sekolah pastinya badan kelihatan letih dan lesu. Begitu juga murid-murid di institusi pendidikan tempat penulis bertugas. Jika sebelum ini pelajar kelihatan lincah dan bertenaga, tapi hari pertama dan kedua puasa wajah mereka kelihatan letih dan lesu. Hal ini jika dibiarkan boleh mengganggu Pembelajaran dan Pengajaran, apatah lagi peperiksaan percubaan PMR dan ujian selaras 2 akan diadakan  pada 3 Ogos 2011 iaitu hari ke-3 puasa.
                                       Sebahagian daripada murid tingkatan 3 sedang mendengar
                               motivasi yang disampaikan oleh Pengetua dan taklimat peperiksaan.

      Antara intipati ucapan Pengetua ialah :-
           - Semua pelajar perlu memikirkan cemerlang.
           - Persiapan dan usaha mesti berada di tahap A
           - Para pelajar mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal. 
              Contohnya puasa bukan alasan untuk kelihatan letih.
           - Tidak ada orang lain yang boleh bantu kecuali diri sendiri.
           - Kejayaan ada bersama-sama orang yang berusaha.

  
                                      InsaAllah kejayaan ada bersama-sama orang yang berusaha.
                                                        Selamat menduduki peperiksaan.
     
Sebagai tambahan daripada penulis
                                                                Doa menduduki ujian
                                             Ya Allah, bukalah kebijaksanaan-Mu kepadaku,
                                                       limpahlah rahmat-Mu kepadaku, dan
                                                         ingatkanlah aku apa yang aku lupa,
                                            wahai Zat yang memiliki keagungan dan kemurahan.

                                                          Petua Untuk Menghadapi Ujian
         - Jangan tinggal solat dan berdoalah dengan seikhlas hati kepada Allah SWT.
         - Tidur yang cukup.
         - Bersarapan atau makan secukupnya.
         - Melangkah dengan yakin dan tiba awal ke sekolah.
         - Bersihkan hati dari sifat-sifat buruk.
         - Minta restu dan doa daripada ibu bapa.
         - Mulakan dengan Bismillah dan bertawakallah.

      Harapan penulis supaya semua warga institusi pendidikan tempat penulis bertugas telah sedia ada ' sense of urgency ' demi mencapai misi dan visi yang telah sama-sama kita kongsi. Selain daripada kecemerlangan yang kita harapkan, mereka inilah juga pewaris generasi yang akan mencorakkan masa depan negara. Apabila penulis menulis, diharapkan suatu kesedaran untuk melihat bangsanya bersatu dan berjaya akan terlahir..

Selasa, 2 Ogos 2011

Tentang Ramadan


      Ramadan datang lagi. Penghulu segala bulan dan dipenuhi dengan pelbagai  keberkatan. Seharusnya bulan Ramadan ini disambut dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah, di bumi bertuah ini bulan Ramadan disambut dalam suasana kondusif dan harmoni sekali.

      Sempena kedatangan bulan Ramadan, institusi pendidikan tempat penulis bertugas telah mengadakan majlis bacaan yasin dan kuiz Ramadan pada  29 Julai 2011 bersamaan 27 Saaban. Aktiviti pendidikan moral pula dikhususkan untuk  murid-murid Cina dan India.


                                          Murid-muird telah diagihkan dengan air 'yasin'
                                      

      Selain itu, untuk mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan dalam kalangan warga institusi, nasi lemak telah diagihkan kepada semua warga institusi tanpa mengira agama.

                                        Semua murid menikmati nasi lemak yang telah disediakan

      Beberapa program turut dirancang dalam bulan Ramadan ini antaranya tazkirah, kuiz, ceramah, berbuka puasa dan khatam al-Quran. Semoga aktiviti ini dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan tahun ini. InsaAllah.

      Program ini amat bertepatan sekali dengan saranan Perdana Menteri yang berkata kedatangan Ramadan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti. Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

      Akhirnya, puasa itu ibadat, bukan adat, semua pancaindera mestilah diikat, barulah berpahala dan berkat, jika tidak cuma lapar dan penat, demikian menurut ustaz. Penulis berharap agar kita bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan hubungan silaturahim dan perpaduan dikongsi serta dikecapi bersama demi agama, bangsa dan negara. Jika ini tercapai nescaya bangsa ini akan gagah perkasa dan melangkah waja di persada.