" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 2 Ogos 2011

Tentang Ramadan


      Ramadan datang lagi. Penghulu segala bulan dan dipenuhi dengan pelbagai  keberkatan. Seharusnya bulan Ramadan ini disambut dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah, di bumi bertuah ini bulan Ramadan disambut dalam suasana kondusif dan harmoni sekali.

      Sempena kedatangan bulan Ramadan, institusi pendidikan tempat penulis bertugas telah mengadakan majlis bacaan yasin dan kuiz Ramadan pada  29 Julai 2011 bersamaan 27 Saaban. Aktiviti pendidikan moral pula dikhususkan untuk  murid-murid Cina dan India.


                                          Murid-muird telah diagihkan dengan air 'yasin'
                                      

      Selain itu, untuk mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan dalam kalangan warga institusi, nasi lemak telah diagihkan kepada semua warga institusi tanpa mengira agama.

                                        Semua murid menikmati nasi lemak yang telah disediakan

      Beberapa program turut dirancang dalam bulan Ramadan ini antaranya tazkirah, kuiz, ceramah, berbuka puasa dan khatam al-Quran. Semoga aktiviti ini dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan tahun ini. InsaAllah.

      Program ini amat bertepatan sekali dengan saranan Perdana Menteri yang berkata kedatangan Ramadan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti. Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

      Akhirnya, puasa itu ibadat, bukan adat, semua pancaindera mestilah diikat, barulah berpahala dan berkat, jika tidak cuma lapar dan penat, demikian menurut ustaz. Penulis berharap agar kita bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan hubungan silaturahim dan perpaduan dikongsi serta dikecapi bersama demi agama, bangsa dan negara. Jika ini tercapai nescaya bangsa ini akan gagah perkasa dan melangkah waja di persada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan