" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 26 September 2011

Merekayasa. Buku muka dan Muka

      Alhamdulillah, hari ini institusi pendidikan tempat penulis bertugas melancarkan program merekayasa perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Antara pengisian program merekayasa ini meliputi pembinaan blog, dan  buku muka (facebook). Ramai juga yang bertanya penulis apa yang dimaksudkan dengan merekayasa?

                                    Pelancaran Program Merekayasa Bimbingan dan Kaunseling

                                             Pengetua menjadi 'rakan' buku muka (facebook)

      Menurut Kamus Dewan edisi 4, maksud rekayasa ialah penerapan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja dan lain-lain sebagai asas melaksana sesuatu. Merekayasa pula bermaksud melakukan rekayasa.

      Mengapa blog dan buku muka (facebook)? Semua orang mungkin sudah memahami bahawa zaman ini iaitu zaman segalanya di hujung jari, medium inilah yang amat popular diperkatakan dan digunakan oleh orang untuk berkomunikasi terutama golongan muda. Hatta, Perdana Menteri kita sendiri merekayasa dan menjuruterai pembangunan negara menggunakan medium ini.Oleh itu, amat rugilah jika medium buku muka (facebook) dan blog tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi menyebarluaskan ilmu mahupun sebagai perkongsian pintar dengan pelbagai pihak tentang sesuatu perkara.

      Kita tolak ke tepi dahulu akibat buruk buku muka dan blog . Kita tolak ke tepi dahulu kes perceraian atau kes penipuan mahupun kes keldai dadah.Cuba kita ambil perkara positif berkaitan medium ini. Contohnya, bagaimana penyanyi Yuna atau Najwa Latif memanfaatkan medium ini demi perkembangan kerjaya mereka. Bukankah asalnya mereka berlagu  hanya di you tube sahaja?


      Apabila membelek kamus simpulan bahasa pula, penulis terjumpa juga beberapa simpulan bahasa berkaitan dengan ' muka '. Sebagai kakitangan di organisasi pendidikan ada orang berpesan kepada penulis agar jangan ' beri muka ' sangat kepada para pelajar kelak nanti mereka mengambil kesempatan terutama dalam kes-kes disiplin. Melalui pembacaan penulis, perkembangan isu semasa, ramai orang yang tidak berpuas hati kerana kita seolah-olah beri muka kepada seorang. Dalam hal ini, jika tidak ditangani secara berhemah mungkin akan mendatang kesan pada masa akan datang. Contohnya, jika seorang pelajar di beri muka, tidak mustahil hal yang sama akan dilakukan oleh pelajar lain. Bukankah susah kita nanti?

      Mungkin orang kita seperti simpulan bahasa ini iaitu muka berpandangan, budi berkedapatan; kasih bagai selama juga.( Maksudnya; pernah melakukan silap, tetapi tidak dibalas; anggapan tetap tidak berubah walaupun orang itu berbuat serong ) Mungkin juga budaya kita, tidak mahu menjatuhkan air muka. Harap-harap janganlah perbuatan tersebut akan menconteng arang di muka.Yang menanggung akibatnya adalah kita....

     Dalam muka bumi (dunia) atau dalam kalangan kita ada juga yang bersikap muka tebal/ muka tembok/ muka tarpal/ muka papan/ muka pot iaitu orang yang tidak tahu malu. Orang jenis ini bolehlah kita anggap mereka sebagai muka bantal (pura-pura baik),  muka batu, (tidak berperasaan)muka sengkalan ( tidak sensitif),dan  muka dua (hipokrit). Ada pula yang sanggup  menjadi talam dua muka ( berbuat baik kepada ke dua-dua pihak yang bermusuhan ). Mereka ini muka sahaja licin, ekor penuh berkudis ( di luar nampak baik, di hati jahat).

      Pendedahan dalam medium buku muka, mereka ini akan malu oleh kerana rahsia buruk sudah diketahui  seperti simpulan bahasa berikut; pecah tempayan pekasam; muka berconteng arang. Hal ini demikian kerana perbuatan yang memalukan diri sendiri; ditepuk air didulang, terpercik muka sendiri.

      Akhir kata, muka manusia itu sebaik-baik perisai bagi hati. Kepada muka baru bertanyalah kepada muka lama. Apabila berurusan dengan sesiapa sahaja elakkan menunjukkan muka keruh, muka kusut atau muka masam. Contohilah Perdana Menteri kita apabila beliau merekayasa dan menjuruterai 1Malaysia dengan hanya muka manis ( wajah yang berseri ). Syabas Datuk  Seri Najib Tun Razak...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan