" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 15 September 2012

Sempurna - A

Selamat sejahtera ke atas kamu.

      Agak lama juga penulis tiada entri baru. Melewati bulan Ramadan hingga penghujung Syawal, banyak asam garam kehidupan yang dilalui. Samada hal peribadi atau hal yang berlaku di sekitar tentu sekali ia direncanakan. Contohnya amalan-amalan. Namun kita hanya merencana..

      Mungkin tidak terlambat untuk kita mengimbas kembali amalan di bulan Ramadan. Alhamdulillah kita telah menyempurnakan amalan-amalan yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan  tersebut. Tetapi hanya kita yang tahu samada amalan-amalan yang dilakukan mencapai kesempurnaan. Harap amalan-amalan tahun ini lebih sempurna berbanding tahun-tahun sebelum.

      Esok, Syawal sampai ke penghujungnya. Esok masih ada rumah terbuka Aidilfitri. Amalan ini  amat baik terutama dalam mengeratkan silaturrahim. Bulan Syawal inilah masa sanak saudara serta sahabat handai berjumpa mungkin setelah bertahun-tahun tidak berjumpa. Penulis tidak berkecuali. Menerima jemputan daripada kawan-kawan sekelas setelah 30 tahun tidak berjumpa begitu mengujakan. Mungkin ada kejutan nanti..

      Sebarkan salam. Sebarkan salam. Kita dianjurkan agar melakukan suatu amalan yang jika diamalkan, timbul rasa kasih dan sayang sesama kita. Di dalam Islam, semuanya bersaudara di bawah payung agama. Sebagai saudara seagama pula, kita wajib mengasihi saudara kita seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri.

      Sabda Rasulullah s.a.w. " Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.) Jika keadaan ini berlaku, kita akan bersatu.

      Esok 16 September. 49 tahun dahulu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia. Sempurna sudah sebuah negara bernama Malaysia.Perdana Menteri Malaysia hari ini menamakan 16 September sebagai Hari Malaysia.

                           Sejahtera Malaysia


Wangsa Perkasa: Wangsa tidak menjadi Perkasa dalam sekelip mata !