" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Rabu, 18 September 2013

Cubalah untuk berbudi bahasa.



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

      Hari Malaysia baru sahaja diraikan dengan meriah sekali. Tambahan pula tahun ini 50 tahun Malaysia dibentuk. Pahit maung pemimpin terdahulu mengerah keringat memaju Malaysia ke arah dimensi baru sememangnya patut disanjung. Amalan berbudi dan berbahasa selain bertoleransi merupakan keris sakti hingga negara mampu merdeka dan seterusnya membentuk negara Malaysia.

      Kini, amalan tersebut semakin terhakis mengikut masa. Gejala tersebut sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu cubalah untuk berbudi bahasa buat sekian kali.

     Terima kasih. Perkataan ini biasa sahaja tetapi ia mampu mengukuhkan semangat persaudaraan sesama kita. Lantaran itu, suburkan kembali amalan berterima kasih. Tambahan pula, ia tradisi dalam masyarakat terdahulu.

     Naluri tolong-menolong dan kerjasama sentiasa dekat di hati. Perkara yang pelu dilakukan adalah menyerlahkan kembali naluri berkenaan. Penyerlahan naluri ini turut menyemai perasaan hormat-menghormati sesama kita, juga mengeratkan hubungan persaaudaraan.

     Penutup kalam, marilah atau cubalah untuk berbudi bahasa. Amalan ini boleh menjadi keris sakti untuk memperkasa Melayu dan Bumiputera selain agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Wangsa Perkasa; Kita sememangnya bersaudara.

Khamis, 12 September 2013

Penat kita menanam ubi, nanas juga diminta orang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

      Orang tua ada berkata, puas kita menanam ubi, nanas juga diminta orang, puas kita menanam budi, emas juga dipandang orang. Betul juga apa kata orang tua ini. Kini, materialistik, individualistik dan berpolitik semakin menguasai kehidupan. Lihat saja persekitaran kita. Dengan kata lain, amalan budi bahasa dalan kalangan masyarakat kian terhakis. Nak buat macam mana, dah jadi  tuntutan zaman, kata sesetengah pihak.

      Jika perkara ini terjadi, ia akan melahirkan masyarakat yang mementingkan diri. Ada individu yang sanggup menikam dari belakang demi matlamatnya tercapai. Banyak yang boleh dijadikan contoh. Lihat saja di sekeliling hatta di media. Mungkin perkara ini pernah terjadi kepada diri sendiri. Sudahlah jatuh ditimpa tangga pula.

      Sikap mementingkan diri ini, membawa kepada sikap kurang ajar atau biadap. Kalau sudah tidak berbudi bahasa, cakappun kasar bunyinya. Orang kata bila bercakap main lepas saja. Langsung tidak tahu menghargai orang lain. Peminpin sendiri berperilaku sedemikian. Okay saja. Maknanya boleh ikut perangai tersebut. Kalau kita tengok di media elektronik, setiap hari kita dihidangkan dengan gejala tersebut. Yang hairannya, lagi kebiadapan/ kurang ajar dipertonton, macam bertambah dihormati individu tersebut.

      Masyarakat seolah-olah bertambah keliru sekarang. Tidak tahu membezakan antara emas dengan permata atau antara intan dengan kaca.Nampak gayanya tradisi zaman berzaman budaya dan adat sopan yang menekankan nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan sememangnya semakin terhakis. Apakah benar emas juga yang dipandang orang. Tepuk dada tanya selera......

Wangsa Perkasa : sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai pelengkap kehidupan berhemah.

Rabu, 4 September 2013

Raya Merdeka ; Generasi Pewaris



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Didoakan agar pengunjung sihat walafiat dan dirahmati Allah SWT.

      Walaaupun Syawal sampai ke penghujung, bulan kemenangan ini masih diraikan. Sambutan Aidilfitri masih diadakan dengan meriah sekali. Amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung mengeratkan tali silaturahim dan persahabatan. Uniknya Malaysia, hari perayaan disambut oleh pelbagai kaum dengan penuh mesra. Kemesraan dengan semangat harmoni jika terterusan diamalkan pasti memberi rahmat kepada bumi bertuah Malaysia ini.

     Alhamdulillah, kini genap 56 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Malaysia, buminya Berdaulat dan Tanah Tumpahnya Darahku. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.Di mana lagi kita curahkan taat setia, jika bukan negara ini,

     Syukur, negara berada dalam keadaan aman, makmur, dan harmoni serta pesat membangun seiring dengan pembangunan modal insan. Justeru, generasi pewaris sewajarnya  bersyukur dengan apa yang telah diberikan dan berusaha memberi nilai tambah kepada keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dicapai dan dinikmati.

     Jika kita mengganggap diri sebagai generasi pewaris, maka diri perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk memikul amanah dan tanggungjawab demi kesinambungan kecemerlangan kepimpinan negara. Untuk mencapai kecemerlangan, sudah tentu diri perlu berilmu. Ilmu juga sebagai bekalan untuk mengekalkan dan mewarisi kemerdekaan yang dikecapi. Oleh itu, hargailah kemerdekaan ini.

     Bulan- bulan mendatang generasi pewaris akan menduduki UPSR, PMR, SPM dan STPM. Penulis doakan generasi pewaris diberi kesihatan yang baik, tenang dan dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan. Jadi, selamat maju jaya dan semoga generasi pewaris menjadi waris yang hebat dan membanggakan ibu pertiwi.

Wangsa Perkasa ; syukur semua episod kita lalui dengan jayanya.