" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 23 Februari 2013

Pilihan - Hati

      Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      Seperti dijangka malam ini akan kedengaran dentuman mercun. Begitulah uniknya Malaysia. Pelbagai budaya diraikan dan masing-masing saling hormat menghormati. Jika ada kedengaran suara-suara sumbang, itu cuma kes terpencil. Asalkan majoriti waras dan sanggup bersama disisi, maka kitalah pilihan hati. Petanda dentuman mercun kali ini juga dikaitkan dengan Chap Goh Mey. Penulis difahamkan antara sambutan Chap Goh Mey ialah melontar limau ke dalam sungai oleh mereka yang belum berkahwin. Diharapkan dengan lontaran limau tadi membolehkan mereka bertemu pilihan hati. Itu mengikut budaya masyaraakat Cina.

      Dalam bulan Februari ini, penulis banyak menerima jemputan perkahwinan. Ada jemputan yang dapat dipenuhi dan ada juga jemputan yang tidak dapat dipenuhi. Minggu depan anak saudara penulis pula akan bernikah dengan pilihan hatinya. Pastinya banyak perkara yang bermain di fikiran bakal pengantin. Sempat juga penulis menyelami apa yang bermain di fikiran cucu nenek kebayan di blognya.http://cucunenekkebayan.blogspot.com/2013/01/tujuh-tahun-dulu.html
 
      Cucu nenek kebayan merupakan anak pemilik blog Selagi Ada Gula (SAG). Penulis hadir jemputan beliau sempena perkahwinan anaknya pada 9 Februari lalu . Terima kasih juga kepada SAG atas ulasannya dalam entri penulis 'Pilihan - Poin yang Power'. Memang terasa rugi sangat kerana tidak dapat berjumpa dengan  Dato' Dr Zambry dan Dato'  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jika tidak pasti seronok melihat  3 orang pemimpin dalam satu majlis dan sekali gus dapat menyanggah khabar angin berkaitan kerenggangan hubungan mereka. Mereka adalah pilihan penulis dalam kesinambungan perjuangan nusa dan bangsa.

      Walaupun tidak dapat bertemu MB di rumah SAG, penulis dapat juga bersalam dengan beliau semasa pelancaran Ezlearn2u di SUK baru-baru ini. ' Jangan jadilkan kemiskinan sebagai alasan untuk tidak mendapat pendidikan' kata beliau di majlis lain.

     Umumnya, penulis berdoa agar pengantin-pengantin baru kekal hingga ke anak cucu. Jika ada anak nanti, hati-hati jika ingin mengambil pembantu rumah. Pilihlah pembantu yang benar-benar ingin membantu dan bukannya mendera. Kalau nak baca kisah pembantu rumah boleh ke blog Selagi Ada Gula http://selagiadagula.blogspot.com/2013/02/cerita-bibikmalaysian-vs-indonesian.html#comment-form
Walaupun blog SAG berkaitan kek, namun bila SAG menulis memang 'best'.

       Sambil-sambil memenuhi jemputan kawan-kawan, ada kawan bertanya kepada penulis; jika Wangsa Perkasa diberi pilihan. 'What say you'. Jika Wangsa Perkasa ditanya begitu, Wangsa Perkasa akan jawab...

Wangsa Perkasa : Kenapa perlu bertelingkah, bergaduh atau bertengkar sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bermesyuarat dalam suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah.

Rabu, 13 Februari 2013

Pilihan - Point yang Power

      "Ke mana cuti". Tanya sahabat.
      "Balik Teluk Intan dua atau tiga hari. Selain menjenguk keluarga sebelah isteri, boleh juga elakkan suasana seperti 'zon perang' di kediaman" balas penulis.

      Itulah antara cerita penulis bersama seorang sahabat yang dalam perjalanan ke Bukit Meru memenuhi jemputan bekas pengetua mengahwinkan anaknya. Namapun pendidik, maka cerita-ceritapun berkisarkan dunia pendidikan, tidak terkecuali pertukaran tempat bertugas beberapa rakan sejawatan. Sepanjang perjalanan dari Tambun ke Bukit Meru jelas kelihatan beberapa poster pernghargaan rakyat Tambun kepada Dato' Seri Ahmad Husni atas pemberian BRIM 2.

       Ingatkan nak elakkan bunyi dentuman mercun di Ipoh, rupa-rupanya di taman perumahan Impiana Teluk Intan perkara yang sama berlaku. Tak boleh tidur dan keadaan seperti di 'zon perang' lagaknya. Dua malam tidur terganggu. Kalau ikutkan hati memang sakit hati tapi atas semangat Satu Malaysia, sabar ajelah.Kita anggap sajalah dentuman mercun dan bunga api sebagai tanda keamanan.  Dalam hati penulis berkata, ini baru sedikit berbanding suasana di Gaza. Syukur Alhamdulillah, Malaysia masih lagi aman, damai dan sejahtera. Walau bagaimanapun sudah ada pihak mebuat percubaan ke arah mewujudkan perpecahan, kekeliruan, kecelaruan dan ketidakstabilan dan ia semakin kerap berlaku. Malangnya, ia dilakukan oleh orang sebangsa dan seketurunan.

      Kita perlu rasional dalam mengambil tindakan. Timbang dulu kesan dan akibat dalam membuat sebarang keputusan. Kemajmukan Malaysia memang unik. Pertembungan agama dan budaya di Malaysia memerlukan semangat toleransi dan saling menghormati sesama kaum.  PM Dato' Seri Najib b Tun Abdul Razak dalam ucapan sempena Tahun Baru Cina di Pulau Pinang menegaskan bahawa beliau begitu menghormati agama dan budaya kaum Cina. Beliau berharap kaum Cina juga menghormati agama dan budaya kaum Melayu. Ucapan PM mendapat tepukan gemuruh dan 'standing Ovation' daripada hadirin. Memang terserlah kredibiliti beliau sebagai PM.

      Hampir tepat jam 12 tengahari kami berdua sampai ke rumah pengantin. Tetamu masih lagi kurang. Memang itu matlamat kami sampai awal. Hidangan pertama dan mejapun ok lagi. Penulis melihat bapa pengantin sedang ramah berbual dengan Menteri Kewangan kedua Dato' Seri Ahmad Husni. Dengan melihat cara perbualan, mereka berdua memang kenalan rapat. Sebelum meninggalkan majlis Dato' Seri Ahmad Husni sempat bertanya khabar dengan tetamu yang datang termasuk kami berdua.

      Dato' Seri Ahmad Husni tidak asing pada mata pandangan penulis. Dato' Seri Ahmad Husni sekampung dengan penulis. Setiap tahun kami sekeluarga dan adik beradik penulis berkunjung ke Rumah Terbuka Hari Raya beliau di Kampong Sungai Rokam Ipoh. Selain itu, beliau ada berkunjung ke institusi tempat penulis bertugas yang juga sekolah lama beliau. Cara bercakap, berjalan, berpakaian, bersalaman dan berinteraksi dengan orang sekeliling memperlihatkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin rakyat. Orang kata ' kata dikota, janji ditepati'. Pendek kata, Dato' Seri Ahmad Husni ini memang selalu dijadikan tempat orang kampung meminta pertolongan atau mengadu hal, bak kata pepatah adat teluk timbunan kapal.

            Sempena kunjungan Dato' Seri Ahmad Husni ke sekolah lama beliau, sebanyak RM 200000.00
            telah disumbang sebagai mengisi tabung pembangunan sekolah.

      "En Mad dah tengok kek tujuh tingkat Selagi Ada Gula". Tanya bekas Pengetua penulis.
      "Belum lagi Hajjah. Tak apa nanti saya tengok dalam blog Hajjah. Saya balik dulu. Terima kasih atas undangan". Saya meninggalkan majlis. http://www.selagiadagula.blogspot.com/

      Keesokan hari iaitu hari Ahad, penulis berkesempatan memenuhi jemputan majlis perkahwinan di Kampong Gajah iaitu kampong Selat. Kampong ini hanya 1.5 km sahaja dari Kompleks Sejarah Pasir Salak. Suasana majlis sedikit berbeza berbanding semalam. Keadaan rumah yang agak rapat-rapat menyebabkan khemah didirikan bersebelahan atau belakang rumah jiran. Suasana begitu meriah dan  satu kampung datang meraikan majlis. Daripada kumpulan orang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak semuanya nampak girang. Motosikal dan basikal memenuhi ruang yang ada. Nampak tiada masalah dan semuanya ok.

                                   Kanak-kanak turut girang apabila ada majlis kenduri kahwin

      Perjalanan penulis ke Teluk Intan melalui Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampong Gajah. Yang menariknya, sepanjang perjalanan dari Kampong Gajah ke Teluk Intan, suasana seperti hendak pilihan raya. Kiri dan kanan jalan dihiasi dengan bendera-bendera parti BN, PAS dan PKR. Pada pengamatan penulis bendera DAP tidak ada langsung dikibarkan. Jadi kesimpulan penulis, sesama kita  bertelagah dan yang untung DAP.

Wangsa Perkasa; apabila balik ke Teluk Intan, pasti pekena mee rebus Mastan Gani. Pada hari itu kedai mee rebus Mastan Gani dipenuhi dengan kaum Cina. Maknanya, walaupun berlainan budaya, makanan boleh menyatukan kita. Hari ini 13.2.13. Nombor 13 ada ceritanya.

Jumaat, 8 Februari 2013

Pilihan Perayaan. Kenapa Ia Penting?

                  Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      "Sekolah akan mula bercuti panjang pada 9 Februari hingga 17 Februari 2013."

      Kedengaran tepukan gemuruh daripada pelajar bergembira dengan pengumuman tersebut. Perkara berkaitan kebersihan kelas, disiplin, sahsiah dan keselamatan yang turut disentuh oleh pentadbir sekolah seolah-olah masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

      Begitulah penangan cuti panjang. Kita teruja mendengarnya. Malaysia memang unik. Uniknya kerana banyak sambutan perayaan disambut sepanjang tahun. Tiada negara di dunia seperti Malaysia.Saya cinta akan Malaysia. Anda bagaimana? Cuti panjang juga selalunya dikaitkan dengan perayaan. Maknanya, setiap kaum di Malaysia menyambut hari kebesaran mereka setiap tahun.Kali ini perayaan Tahun Baru Cina menyusul tiba. Sebelum ini, sejak 2012 rakyat Malaysia telah menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Diikuti dengan sambutan Deepavali dan Krismas. Di antara sambutan perayaan yang besar ini, ada beberapa sambutan perayaan yang sederhana dan kecil. Begitulah uniknya Malaysia.

      Selepas Perayaan Tahun Baru Cina, ada satu lagi raya iaitu Pilihan Raya. Raya ini memang amat dinanti-nantikan oleh banyak pihak. Tidak seperti Raya-raya yang lain, Raya ini belum ada tarikhnya. Malah banayak spekulasi tentangnya.Akibat Raya yang inilah, perayaan-perayaan di atas tadi amat elok disambut secara besar-besaran. Hal ini yang telah dilakukan oleh kerajaan. Mengapa penulis berkata demikian?

      Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya dan cara hidup. Sejak selepas merdeka, berkat kebijaksanaan pemimpin terdahulu, kita telah bersatu dalam kepelbagaian. Namun sejak kebelakangan ini, malah pasca PRU 12, bibit-bibit perpecahan dan kecelaruan antara kaum menjadi bertambah serius. Ramai yang berani bermain dengan api terutama api perkauman dan api keagamaan. Jadi, pemerintah boleh memadamkan api ini dengan air yang terkandung dalam Hari Kebesaran (Perayaan).  Maknanya sambutan Hari-hari Perayaan ini dapat mengukuhkan perpaduan kaum.

      Kita dapat mengenali cara hidup setiap kaum. Dalam aspek pakaian dan makanan, kita telah mula berkongsi budaya tersebut. Hubungan kejiranan semakin erat. Kita mula saling berkunjung atau sekurang-kurangnya memberi sedikit juadah bagi meraikan hari istimewa tersebut. Amalan rumah terbuka telah menjadi budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Masyaraakat dapat menghormati agama dan budaya pelbagai kaum. Hasilnya, perbezaan kaum, agama dan kepercayaan dapat diketepikan. Kita bersatu semula dalam kepelbagaian. Lawan api dengan air. Hari-hari Perayaan inilah antara air itu.


                                Gambar hiasan. Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya

Wangsa Perkasa memetik mutiara kata berikut; Apabila sesuatu bangsa itu menghina dirinya, ketika itulah bangsa lain turut menghinanya.

Sabtu, 2 Februari 2013

Mengambil Keputusan

                           Assalamualaikum dan Salam Sejahtera atas Kamu

" Apabila membuat keputusan, apakah perkara yang harus kita pertimbangkan." Tanya guru kepada murid-muridnya.
"Bijak, adil dan rasional", jawab salah seorang muridnya.
"Bijak, bijak."
Jadilah seorang yang bijaksana, apabila mengambil sebarang keputusan.

      Jika seorang doktor tersilap memberi ubat, matilah pesakit itu. Jika seorang guru tersilap memberi ilmu, habislah satu generasi. Bayangkan pula jika seorang pemimpin tersilap mengambil keputusan. Apa pula yang akan menimpa umat, ummah ataupun negara?

      Dalam proses membuat keputusan, antara pendekatan yang boleh digunapakai ialah proaktif. Ia kemahiran mengenalpasti kesan dan akibat. Melalui pendekatan ini, kita berhak membuat keputusan sendiri. Orang lain tidak boleh memutuskan pilihan kita. Orang lain hanya dapat memberi saranan atau nasihat.

      Justeru, janganlah mengambil keputusan secara terburu-buru kerana setiap keputusan memberi kesan dan akibat kepada diri dan diri orang lain. Keputusan yang terburu-buru membuatkan kita mengambil keputusan yang kurang tepat dan kurang bijak.

Wangsa Perkasa : Kagum dengan keberanian PM Datuk Seri Najib Razak mengambil keputusan untuk ke Gaza. Suatu impak tersurat dan tersirat kepada Alif, Ba dan Ta.