" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Rabu, 30 Januari 2013

Guna akal budi membuat keputusan

      Tak ada keputusan.  Mesyuarat berjam-jam. Labun aje lebih. Habukpun tarak. Janji tak ditepati. Itulah antara bisik-bisik yang selalu kita dengar. Bila perkara ini berlaku, tanggapan  terhadap pentadbir turut menurun. Staf yang sering berkonflik dengan pentadbir pastinya mengungkit-ungkit peristiwa ini. Ini peluang atau kesempatan yang tidak harus dilepaskan bisik hati mereka.

      Sebagai pemimpin, selain bertarung ilmu, kekuatan dan kepantasan turut diuji ialah kebijaksanaan, helah dan ketajaman akal serta budi. Sebagai ingatan, ramai yang akan bermain curang demi sebuah kemenangan. Justeru, kurangkanlah daripada mengikut emosi dalam membuat sebarang keputusan. Adakalanya pula baik juga beremosi tetapi haruslah didukung oleh akal budi supaya tidak menjadi individu yang mudah terpengaruh. Oleh itu dalam membuat keputusan, kita harus berhati-hati apabila cuba membenarkan diri untuk dipengaruhi agar tidak terjerat.

Wangsa Perkasa perlu sedar di mana kedudukan kita. Sedikit kerumitan emosi boleh membawa ke ranjau berduri.

Rabu, 23 Januari 2013

2013 - Akal Budi 2

          Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      Salam Maulidur Rasul untuk semua. " Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam" Surah al-Anbiyaa' (ayat 107)

     Membuat keputusan berasaskan konsep wasatiyyah mendatangkan kejayaan kepada Rasulullah SAW mengembangkan syariat dan mendirikan negara Islam. Pada waktu yang sama, agama Islam dijunjung dan dimartabatkan kemuliaannya dengan tidak meminggirkan penganut agama lain. Sikap toleransi beragama ini berjaya membentuk  Piagam Madinah yang dipersetujui bersama masyarakat bukan Islam. Tegasnya, konsep wasatiyyah ini menyemai semangat bersatu padu.

     Sebaliknya semangat melampau berteraskan ideologi politik  atau perkauman menjadi pemangkin perpecahan sesama sendiri sekaligus melemahkan kuasa politik yang ada. Kuasa ini saja yang tinggal. Kalau kuasa inipun tidak mahu dijaga, maknanya rekahan di cermin menunggu masa untuk berkecai.

Wangsa Perkasa ; renungkan peribahasa ini , dalam kilat ada kilau bermaksud ada maksud yang tersirat dalam percakapannya.


Jumaat, 18 Januari 2013

2013 - Akal Budi

                            Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

     Sesungguhnya,  tahun 2013 masihi ini memperlihatkan peristiwa perang, bencana alam, bencana kemanusiaan yang tiada kesudahannya. Aspek bahasa, sosial, ekonomi, politik dan agama akan mewarnai tahun 2013 ini. Pastinya yang menjadi tumpuan media ialah kesan dan akibat, konflik serta cerita sensasi. Persoalannya, adakah Wangsa Perkasa hanya mampu memerhati dan menggelengkan kepala ?

     Tahun silih berganti tapi selagi hayat dikandung badan, kehidupan perlu diteruskan. Dalam kehidupan harian pula, kita sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang memerlukan kita membuat keputusan. Banyak pilihan yang ada tetapi kita perlu memilih yang terbaik sahaja. Jadi, ada perkara yang terpaksa dilepaskan. Keputusan kena tepat.

      Pepatah pula ada mengatakan, ' duduk seorang bersempit-sempit, duduk banyak berlapang-lapang.Maksudnya, kalau ingin mendapat keputusan yang baik, bertanyalah kepada orang ramai daripada membuat keputusan sendiri.

Wangsa Perkasa : Terima kasih kepada Dato' Ahmad Husni kerana menyumbang  RM 2.3 juta dalam pembinaan Sekolah Agama Rakyat Kampung Sungai Rokam Ipoh. Tidak lupa juga kepada Dato' Hamidah yang mewakili kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan Bantuan Persekolahan RM 100.00 di SK Sg Rokam, Ipoh. Anak kampung syukur atas bantuan tersebut.




   

Isnin, 14 Januari 2013

2013 - Azam

                    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      2013 telah memasuki hari kelima belas. Suatu permulaan baru 2013. Melangkah kita ke tahun masihi 2013 dengan harapan dan impian. Tahun 2013 diraikan dengan berkhidmat di sebuah institusi pendidikan yang melangkah ke abad ke-2. Kita tidak tahu apa rancangan Yang Maha Esa untuk kita. Wangsa Perkasa berdoa agar tugasan yang diberikan oleh Yang Maha Esa memberi impak positif kepada Agama, Bangsa dan Tanah air tercinta. Kita hanya boleh berazam.

      Ya. Kita hanya boleh berazam. Azam pula jarang sangat boleh tercapai. Azam yang selalu kita dengar! Berhenti merokok, kerja bersungguh-sungguh, menamatkan zaman bujang, menambah pelaburan atau mungkin untuk kelihatan lebih muda.Percaya pada diri, percaya pada masa depan, 2013 kita tempuhi dengan keazaman.

      Kita boleh berazam untuk kelihatan muda tetapi apabila melangkah tahun, usia semakin tua. Semakin berkuranglah jangka hayat di dunia. Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila umur mencecah 50 tahun, Allah akan meringankan dosa-dosa. Kalau umur mencecah 90 tahun, diampunkan dosa yang terdahulu dan yang akan datang. Jadi, hadapi kedatangan tahun 2013 dengan bersyukur kerana umur dipanjangkan Allah SWT.

 Wangsa Perkasa tahu orang ini azamnya ada udang disebalik batu.

Khamis, 3 Januari 2013

2013 - Aku Datang

      Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Tahun 2012 telah berlalu meninggalkan kenangan pahit dan manisnya. Ada yang berjaya dan ada yang gagal, namun kita harus percaya tentu ada hikmah. Rezeki kita tidak tahu. Ia mungkin ada di tempat lain. Orang kata, inilah kehidupan.

Tahun 2013 memasuki hari ke-4. Ibu bapa pastinya paling sibuk melayan keperluan dan karenah anak-anak ke sekolah. Duit duit mana kau duit. Keadaan berbaris panjang menjadi perkara biasa semasa membeli buku tulis di kedai buku atau koperesi. Usah resah atau merungut kerana ia telah menjadi tradisi.

Dalam kesibukan ibu bapa memenuhi keperluan anak ke sekolah, guru juga bertambah sibuk lagi. P dan P perlu menarik dan berkesan kerana banyak mata yang memandang. Usah bimbang tahulah guru mengurusnya. Gurulah katakan....

Apa apa pun yang berlaku pada 2012, kebiasaan pasti akan berulang pada tahun 2013. Bezanya cuma bentuk, kejadian peristiwa atau kesannya. Apa yang pasti, peperangan akan terus berlaku. Begitu juga dengan bencana alam. Apatah lagi berkenaan manusia dan kemanusiaan...

Inilah kehidupan.

Wangsa Perkasa : Adakah denyutan nadi wangsa didengari..