" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 17 April 2011

Jalan- jalan di Kuala Lumpur 6 - Sup Istimewa dan Up Town Selayang.

                                                             Gerai Sup Haji Abu

      Apabila ditanya ke mana nak minum, Zam kata " kita pekena sup istimewa Haji Abu ". Penulis hanya ikut saja. Kami dibawa melalui Kampung Baru yang akan dibangunkan oleh kerajaan. Terlihat menara tinggi yang baru dibina di masjid Kampung Baru. Zam turut bercerita tentang pengalamannya yang berada sekitar Masjid Kampung Baru sekitar tahun 1998, semasa 'reformasi dahulu'. Penulis khusyuk mendengar ceritanya.
      Kami dibawa ke Jalan Doraisamy untuk menikmati sup Haji Abu. Sup Haji Abu memang terkenal dalam kalangan warga kota dan pelancong. Setiap malam gerai ini dipenuhi dengan pelanggan hingga ke larut malam.Pelbagai jenis sup dihidangkan seperti sup kambing, daging, sup ayam dan lain-lain. Dengan RM 22.00 kami dihidangkan dengan 3 mangkuk sup ayam dan 2 buku roti. Memang menyelerakan. Sekali rasa macam nak lagi dan habis licin.
      Perbualan dengan Zam membawa kami kepada persoalan mengapa tidak ada pengusaha Melayu yang boleh menghasilkan sup sebegini hingga menjadi bualan orang sehingga boleh datang dari jauh untuk menikmatinya? Restoran Sup Anis Utara boleh dijadikan perbandingan.

      Apabila bercerita bab makan, penulis teringatkan peristiwa semalam. Kami dijemput oleh sepupu isteri makan malam di rumahnya di Selayang. Oleh kerana berasal dari Melaka, hidangan yang disajikan sudah tentulah masakan asam pedas. Memang sedap dan menyelerakan. Pujian ikhlas penulis berikan kepada mereka. Man, suami sepupu isteri penulis menambah, asam pedas ini belum cukup 'power' jika dibandingkan asam pedas di sebuah restoran di Melaka. Beliau menambah jika dicuba pasti terangkat kopiah. Ha ha ha ha  ha, kami ketawa beramai-ramai.
      Sebelum pulang ke Rawang,  kami singgah di 'Up Town' di Selayang. Pemandangan macam biasa seperti pasar malam di tempat lain juga.Barangan yang dijual tiada yang istimewa. Penulis meninjau-ninjau barangan  di setiap gerai. Jika tiada disediakan tempat berjual, dimanalah lagi mereka ini akan berniaga untuk meningkatkan taraf ekonomi. Di Jalan Chow Kit, peniaga kita telah pupus. Harapan penulis agar 'Up Town Selayang' ini dapat bertahan lama demi kelangsungan ekonomi kaum kita. Yang menjadi kerunsingan penulis hanyalah penggunaan 'Up Town' ? Penulis teringat antara lirik lagu berikut:-

                                                    Indahnya bumi kita ini,
                                                    Warisan berkurun lamanya,
                                                    Hasil mengalir ke tangan yang lain,
                                                    Pribumi merintih sendiri.

Gerai Sup Haji Abu terletak di tepi jalan Doraisamy 

Up Town Selayang





Tiada ulasan:

Catat Ulasan