" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 16 April 2011

Jalan-jalan Kuala Lumpur 3 ( Sambungan )

      Ahad 13.3.2011, Suasana di wad meriah dengan para pelawat sewaktu penulis sampai jam 1.20 tengahari. Penulis mengambil keputusan untuk ke kantin dahulu mengalas perut. Kantin HKL sentiasa sibuk dengan pelanggan. Lauk-pauk yang pelbagai menambahkan selera pelanggan. Mungkin juga kerana tiada tempat untuk menjamu selesa menyebabkan kantin HKL menjadi tumpuan. Keuntungan yang dijana sudah semestinya amat menggalakkan.Saingan untuk mendapatkan tender kantin juga pasti sengit. Sambil makan dan memerhati kesibukan di kantin, berjalan -jalan di sekeliling hospital menjadi pilihan penlis. Selain itu, berjalan-jalan juga merupakan amalan gaya hidup sihat.
      Penulis menyusuri Jalan Pahang. Hotel Grand Seasons mengingatkan penulis kursus yang pernah dihadiri di situ.Sukar juga untuk mengingati kursus apa  kerana setiap tahun penulis akan berkursus di Kuala Lumpur. Mungkin juga daya ingatan semakin lemah sebab faktor usia. Berjalan-jalan sambil memerhati sekeliling membawa penulis ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Hajat tadi hanya untuk mengelilingi hospital sahaja. Siapa yang tidak kenal Jalan Tunku Abdul Rahman! Semenjak penulis melanjutkan pelajaran lagi iaitu tahun 80 an jalan ini memang menjadi destinasi tetap jika berkunjung ke Kuala Lumpur. Aktiviti membeli- belah menjadikan jalan ni sentiasa sibuk dengan orang ramai. Tambahan pula ia berada di tengah-tengah pusat bandaraya. Kepelbagaian jenis kain yang dijual disini turut menarik golongan wanita untuk membeli-belah.Semasa penulis berjalan-jalan di sini, orang Indonesialah yang ramai bersantai di tepi-tepi jalan. Mereka  sering memerhati penulis seolah-olah tahu yang penulis bukan orang situ. Risau juga diperhatikan sebegitu.
      Penulis melalui sebuah lorong yang dimonopoli oleh peniaga dari Indonesia dan terus ke Jalan Raja Laut. Jika dibandingkan dengan Jalan Tunku Abdul Rahman yang sentiasa sibuk, Jalan Raja Laut agak sunyi kerana    banyak kedai tidak beroperasi pada hari ahad. Tidak ramai yang berjalan-jalan di jalan ini. Sempat juga penulis merakam gambar beberapa bangunan seperti Plaza GM dan Batu Road Supermarket. Semasa penulis belajar dahulu, Batu Road Supermarket memang cukup dikenali. Tidak sangka faktor masa menjadikan  ia berkeadaan sebegitu.
      Jalan seterusnya ialah Jalan Sultan Abd Aziz. Jalan ini terletak di bahagian belakang Hospital Kuala Lumpur. Sempat juga penulis merakamkan gambar Menara Berkembar dari jalan ini dan deretan kedai makan yang dipenuhi dengan pelanggan yang sedang menjamu selera.
      Dalam aspek perniagaan, jelas kelihatan ia dikuasai oleh kaum lain dan pendatang asing. Perniagaan dilorong-lorong turut menunjukkan perkara yang sama. Memang benarlah apa yang penulis baca di media cetak, iaitu perniagaan orang Melayu telah hilang ditelan dek masa seperti Batu Road Supermarket tadi. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan pelbagai masalah. Penulisan-penulisan di media cetak banyak kali telah memperkatakannya. Penulis hendak katakan juga, sebab fokus penulis ingin melihat wangsanya perkasa. ( bersambung. Jalan-jalan Kuala Lumpur 4 - Balai Seni Negara dan Istana Budaya )

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan