" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 31 Oktober 2011

Selagi ada ....


      Selagi ada cita, selagi itu ada usaha. Syabas dan tahniah atas pelaksanaan tugasan yang cemerlang. Kini kita hanya mampu berdoa dan bertawakal. Sebagai pendidik, penghargaan yang diberikan dalam bajet 2012, haruslah kita sambut dengan penuh kesyukuran, keikhlasan dan terima kasih. Selagi ada kepercayaan, selagi itu tugas dijalankan.

      Selagi ada mesra, selagi itu boleh bersama. Selagi ada budi, selagi itu bersatu hati. Untuk bekerja bersama dan bersatu hati, Majlis Mesra Sekalung Budi antara caranya. Disulami dengan beberapa aktiviti, kata muafakat dan ikatan siratulrahim boleh terjalin. Selagi ada cara, selagi hasrat boleh terlaksana.


      Bagaimana pula jika selagi ada rindu.Jika hendak tahu, biarkan saja kumpulan Kristal berlagu....


      Kepada sahabat pendidik, kita perlu sedar bahawa selagi ada pelajar, selagi itu guru mengajar. Syarat mengajar hendaklah berilmu kerana selagi ada ilmu, selagi orang datang berguru. Pelajar pula dilihat sebagai generasi muda/ belia hari ini. Lihat mereka nampaklah corak dan rupa masa depan. Selagi ada belia, selagi itu perlu dibela. Justeru amat membimbangkan dilapurkan 6 juta belia menghadapi krisis kecelaruan identiti. Selagi ada guru, selagi itu belia dibantu. Apa yang guru minta cuma satu, sebagai orang dewasa kita patut menjadi contoh terbaik kepada golongan belia.

      Selagi ada beras, selagi bekerja keras.Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi muda, bukannya pesawah yang lanjut usia. Amat malang tanah sekangkang kera dipajak kepada pengusaha lain oleh anak muda yang tidak minat. Rugilah mereka dan kekallah mereka di bawah paras kemiskinan.

      Tiada tanah untuk dibuat rumah. Rumah yang ada cuba digadai. Selagi ada rumah, selagi hidup bermaruah.Apakan daya maruah hanya setakat kos rendah dan sederhana. Manakala rumah kos sederhana tinggi dan mewah milik orang lain. Kita hanya menghirup kuah, sedangkan isi dimakan oleh orang lain.Siapa sebenarnya kita? Tuan rumah atau sekadar tetamu. Kalau boleh hayat kita habiskan di dalam rumah.

      Selagi hayat dikandung badan - Lembaran Perjuangan karya Zakaria Ibrahim dan rakan, terbitan Alaf Baru, menarik perhatian penulis. Buku ini menegaskan sejarah sebagai rakaman paling jujur. Bagaimanapun belajar daripada sejarah sebenarnya perkara paling sukar dibuat. Mungkin kerana itu orang Melayu khususnya lebih suka berpuak-puak dalam fahaman politik hingga melupakan betapa sukarnya membina negara. Persoalannya, tiada jiwakah kita.?



      Selagi ada bahasa, selagi bangsa berjiwa. Bangsa berjiwa  memartabatkan bahasa dan menggunakannya di dalam rumah. Jika diguna bahasa dalam segala aspek akan berputiklah jiwa bangsa. Hanya yang cekal dan berani sahaja dapat memberi jiwa kepada bangsa melalui bahasa. Perjuangan penuh mencabar bermula kini.

      Selagi ada kudrat, selagi memberi khidmat.Kisah Tok Yam yang penulis baca di media cetak tentang kesediaannya berkhidmat walaupunpun  tiada habuan, cuma atas dasar perjuangan boleh dijadikan iktibar kepada pemimpin kini. Kisah ini mengingatkan penulis akan ibu yang berkeras keluar membuang undi cuma kerana penulis mendapat biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran dan dia mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

      Selagi ada tali, selagi ada keserasian. Tali agama dan tali persaudaraan pengikat kita.Itu semua orang tahu, tapi amat payah.


Wangsa Perkasa - http://www.selagiadagula.blogspot.com/, selagi kita akan bekerjasama

                          - Kerisauan ini terubat apabila isteri balik dan tertawa


                                  

Khamis, 20 Oktober 2011

Ruang dan Peluang

      Dunia semakin sempit dan penghuninya juga terasa tekanannya. Permintaan terhadap ruang dan peluang semakin meningkat, manakala apa yang boleh ditawarkan agak terhad. Hal ini menimbulkan keresahan dan jika tidak ditangani dikuatiri akan terjadinya krisis. Maka kata orang, jika ruang dan peluang mengetuk, kita ketuk ruang dan peluang itu.Jika dibiarkan ia berlalu, entah bila pula ia akan datang semula.



      Bahan hangat yang menjadi cerita dalam kalangan penjawat awam sudah semestinya berkaitan bajet. Ramai beranggapan bajet kali ini banyak memihak kepada penjawat awam terutama guru.Antara yang diperkatakan ialah bersara 58 tahun kepada 60 tahun.Berbual dengan rakan tentang perkara ini, ada yang mencadangkan kepada penulis supaya mengambil spriluna supaya tampak 'steady dan coll' menjelang usia 60 tahun. Ruang dan peluang yang diberi oleh kerajaan ini pastinya disambut baik oleh penjawat awam.

      Membantu mengendalikan peperiksaan awam memerlukan kita fokus dan sentiasa terfikirkan perkara luar jangka. Tambahan pula ia melibatkan masa depan anak-anak terutama jika berhasrat hendak ke MRSM atau SBP. Tahniah kepada ibu bapa yang anak mereka ditawarkan ruang dan peluang ke MRSM atau SBP. Dalam kesibukan membantu mengendalikan peperiksaan, cerita tentang penjagaan kesihatan mengingatkan penulis bahawa temu janji berkaitan ujian darah telah seminggu lewat. Ruang dan peluang terpaksa dicari untuk mendapatkan hasil ujian kolestrol tersebut. Hasilnya,  selain diberi taklimat ringkas dan edaran kertas berkaitan cara pemakanan seimbang, dos turut ditambah dari 1.5 biji kepada 2 biji (lovastatin). Walaupun bacaan menunjukkan penurunan tapi ia belum memadai.

      Huh lega, semuanya berjalan lancar. Ruang yang ada dipenuhi pula dengan menyaksikan perlawanan bola antara Perak dan Selangor. Terkilan rasanya pasukan Perak tersingkir pada suku akhir.Agakan penulis tepat sekali apabila ruang dan peluang diambil oleh Safiq Rahim dengan sepakan bebas berhampiran pintu gol memberi peluang kepada Rudie Ramli menjaringkankan gol. Penulis melihat beberapa kali Safiq menjaringkan gol melalui sepakan bebas menarik dari jarak 25 hingga 30 meter. Dia memang berada dikelas yang tersendiri.

     Ruang yang ada sementara menunggu anak balik sekolah kebangsaan diisi dengan membaca suratkhabar utusan dan berita harian.Isu-isu semasa terutama berkaitan umat bangsa sering menjadi fokus. Kebelakangan ini umat bangsa sedang menunjukkan perpecahan kerana tidak bersatu.Apabila berpecah sudah tentu kekuatan politik turut menjadi rapuh. Hal ini membuka ruang dan peluang kepada golongan tertentu menuntut perkara yang bukan-bukan, hingga melibatkan soal akidah umat.

     Sedia maklum mereka telah menguasai ekonomi, sedang berkira-kira pula mendapatkan kekuasaan politik. Kini akidah pula ingin dipesongkan. Kesan yang lebih dahsyat akan berlaku jika kita terus beri ruang dan peluang ia berlaku.

      Melihat anak-anak bangsa keluar daripada kawasan sekolah agama rakyat dan kebangsaan sambil dipimpin oleh ibu atau bapa menimbulkan persoalan bersediakah anak-anak ini menjadi generasi pewaris umat bangsa. Jika benar ada percubaan untuk memesongkan akidah adakah perisai pertahanan untuk menangkis percubaan itu? Jangan sesekali lupa, anak-anak inilah sedang menjadi sasaran penganut agama lain kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah anak-anak bangsa, maka rosaklah generasi umat bangsa masa hadapan.

      Akhir kata, jika diberi satu ruang dan peluang penulis impikan kekuatan diri, kekuatan politik dan disatukan dengan kekuatan akidah dan ekonomi. Jika ini berjaya dilakukan nescaya tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat umat bangsa. Wangsa perkasa...

Selasa, 11 Oktober 2011

Ingat


      Bulan september, oktober dan november institusi pendidikan mulalah sibuk dan lebih fokus ke arah peperiksaan. Guru-guru sering memperingatkan pelajar-pelajar peri pentingnya cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa pula turut sama merasa tempiasnya. Tampak ibu bapa pula yang lebih tertekan berbanding si anak. Untuk meningkatkan daya ingatan si anak, kismis dan ubat homeopathic diberi. Selain itu, anak-anak diajar doa-doa penerang hati agar ilmu mudah untuk diingat.
   
      Media cetak turut memberi ruang berkaitan hal peperiksaan awam. Isu murid-murid yang dihalang mengambil peperiksaan UPSR baru-baru ini begitu mengejutkan banyak pihak. Belumpun habis isu ini, PMR pula mengambil tempat pada 4 oktober yang lalu.Tersiar di dada-dada ahkbar suasana pelajar mengambil PMR. Pelajar yang buta menggunakan mesin braille,  rabun menggunakan kanta pembesar, berbalut kaki , lebam muka hingga menjawab soalan menggunakan kaki,  menggambarkan kepada kita bahawa mereka ini ingat hari kemudian.  Ingat tu, pendidikan dapat mengubah kehidupan masa hadapan.



      Penulis sempat bertanya kepada beberapa orang pelajar samada boleh menjawab atau tidak. Jawapan mereka ringkas iaitu susah hendak ingat atau tidak ingat.

      Dalam pada itu, terdapat segelintir pelajar yang tercicir di tengah jalan akibat berhenti sekolah ataupun dibuang sekolah. Dalam konteks pelajar ini, peringatan-peringatan ( amaran, teguran) telahpun diberikan, namun ia diambil mudah. Apabila sampai tarikh peperiksaan, mereka teringat hendak ambil peperiksaan dan akan datang ke sekolah membuat rayuan. Mungkin atas dasar pendemokrasian pendidikan, walaupun tidak datang ke sekolah selama setahun, selalunya mereka boleh mengambil peperiksaan.

      7 Oktober, tidak ada peperiksaan PMR. Penulis teringat-ingat akan bajet yang akan dibentang oleh PM. Mungkin bajet kali ini ada istimewanya. Jelas kelihatan PM begitu bertenaga tetapi santai gayanya. Air mukanya begitu berseri. Sebagai warga negara dan penjawat awam, penulis terkesan dan bersyukur. Banyak berita gembira di dalam bajet kali ini.



      Ingat hati ( perasaan yang timbul ) bajet 2012 kali ini biasa-biasa sahaja tetapi rupa-rupanya ia suatu bajet pada pendapat penulis realistik, praktikal dan holistik serta langkahnya juga luar biasa. Tentu hasilnya juga nanti akan luar biasa. Penulis yakin dengan caran PM. Sebagai renungan seperti kata pepatah, ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa.

      Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah PM begitu memperingati pejuang-pejuang kemerdekaan  terdahulu terutama pejuang semasa zaman darurat.Memetik kata-kata beliau " sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah." Sejarah ini tidak boleh diubah.
   
      Penutup kata, jika pelajar menyatakan tidak ingat apa yang dibaca, kita boleh terima lagi. Tetapi jika hal tidak ingat ini berlaku kepada seorang atau berdua pemimpin terutama apabila berkata-kata, walhal kata-kata tadi dicatat dan dirakamkan, pemimpin ini sememangnya tidak layak untuk memimpin atau dipilih  kerana tidak bertanggungjawab.Begitu mudah melepaskan diri atas alasan tidak ingat. Apabila kita bersabar pada tahun 2011, pasti tahun 2012 kita akan tersenyum gembira. Walau bagaimanapun, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis, sentiasa beringat-ingat dan ingat hari kemudian.

Wangsa Perkasa ; Ingat anak dan anak-anak kita.



Ahad, 2 Oktober 2011

Batu


      Menghadiri taklimat selama tiga hari dua malam, mengiringi rombongan pertunangan dan meninjau karnival kerjaya pemuda BN membuka ruang untuk penulis menulis berkaitan 'batu'. Bila menyebut batu teringat pula lagu Batu dendangan kumpulan Sweat Charity.


      Menghadiri taklimat 3 hari dua malam memang meletihkan minda, apatah lagi pengisian taklimat berkaitan perkara yang 'berat'.Tentu sekali perasaan bosan, mengantuk dan letih mendengar akan dialami.Masa santai yang diperuntukkan elok juga dimanfaatkan dengan berjalan-jalan di tepi pantai Teluk Batik di hadapan tempat penginapan.Tekanan juga dapat dikurangkan.

                                                                   Pantai Teluk Batik
      Batu keras dan batu lembut yang tersusun secara berselang-seli akan menyebabkan batu lembut sahaja yang mudah terhakis oleh aktiviti hakisan air. Batu keras akan membentuk tanjung, manakala batu lembut yang terhakis membentuk teluk, contohnya Teluk Batik, Lumut Perak. Teluk Batik antara destinasi pelancungan yang menarik ramai pengunjung. Jika meninjau di tanjung pula, akan didapati ' tulis nama atas batu' Dipersekitaran pantai atau celah-celah batu jika bernasib baik akan terjumpa ketam batu. Walau bagaimanapun kita janganlah pula menjadi seperti ketam batu iaitu bersikap kedekut.


      Setelah balik, keesokan harinya, perjalanan berbatu-batu melalui batuan yang ditebuk (terowong menora) menjanjikan pemandangan lanskap fizikal batuan yang menarik kepada pencinta alam. Batuan ignius dan batu kapur yang berdiri megah sebagai pasak bumi, merupakan antara ciri istimewa jika berkunjung ke Perak. Destinasi ke kampung Gelok, Lenggong hanya satu tujuan iaitu menyarung sebentuk batu (cincin) sebagai simbol ikatan dua hati.

      Mengapa cincin diangkat sebagai simbol simbolik, adakah ia sekadar aliran semasa, punyai maksud tersirat atau sekadar ikutan sejak zaman berzaman. Dalam masyarakat moden di negara ini, upacara menyarung cincin hanya dilakukan berdasarkan adat resam, bukan ritual semata-mata. Adat resam inilah juga yang ingin dilihat oleh pelancung yang datang ke sini. Jika adat resam ini dapat digabungkan bersama lanskap disini tentu sekali daerah ini akan dikunjungi oleh ramai pelawat.

     
      Hulu Perak; Bandaraya Warisan Arkeologi Negara, begitulah visi yang diwara-warakan. Harapan untuk melihat daerah Lenggong ini sebagai Tapak Warisan Dunia hendaknya tercapai. Di sini telah dijumpai rangka manusia zaman batu iaitu Orang Perak (Perak Man). Muzium Arkeologi Lenggong telah dibina untuk menyimpan khazanah ini.


      Disebelah muzium ini, nun di atas bukit menanti Laman Batu Batan. Batu batan ini merupakan bukti arkeologi tentang penemuan zaman manusia pra sejarah.Contohnya terdapat batu daripada abu gunung berapi toba di Sumatera yang berusia berjuta tahun. Bayangkan bagaimana batu toba ini boleh sampai ke Lenggong ini.




      Apabila pulang, keesokan harinya pula, sempat juga berkunjung ke karnival kerjaya anjuran Pemuda BN.
Banyak peluang pekerjaan ditawarkan oleh pihak terbabbit. Sambutan pula memang hangat bukan sahaja daripada pencari kerja baru malah yang sudah berkerjaya turut mencuba nasib. Peluang ini bolehlah dianggap sebagai batu loncatan ke arah pekerjaan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, tiap-tiap batu yang bergolek di dalam sungai itu tidak akan dilekati lumut.

      Bagi penulis, hasrat pemuda BN ini memang baik kerana perjuangan generasi muda ini ialah mencari pekerjaan. Karnival ini bukannya seperti mencari umbut dalam batu iaitu suatu kerja yang sia-sia malah ia merupakan suatu kerja murni yang harus disokong. Walau bagaimanapun,kita harus faham bahawa karnival ini tidak akan mampu memuaskan hati semua orang seperti perumpamaan berikut; tiada terkajang batu di pulau.

                                          Meriah. Sekitar suasana karnival.


      Batu kapur yang diproses akan membentuk batu marmar. Batu marmar ini yang menyaluti masjid ini  menjadi antara masjid paling cantik di negara. Didalamnya juga kita boleh memohon agar jika kita atau sahabat kita kepala batu, hati batu atau batu api dapat berubah ke arah yang lebih baik.


 
      Akhirul kalam, batu pun empuk, jangankan hati manusia. Batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Yang baik datang dari Allah manakala yang tidak elok jadikan sempadan.

Wangsa Perkasa - hanya ingin melihat bangsanya bersatu dan berjaya.