" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 31 Disember 2011

Kaki, melangkahlah ke hadapan.Tentu ada jalannya.

      Selamat menyambut tahun 2012. Melangkah biarlah ke hadapan. Tentu ada jalannya. Kata bijak pandai pula, langkah beribu ke hadapan bermula dari langkah pertama.


Apabila melangkah, kakilah yang digunakan.Kita tentunya sedih dikala makmur ini, masih ada antara kita yang melangkah berkaki ayam. Kesedihan ini akan bertambah apabila melihat ada insan yang tidak berkaki. Oleh itu, bersyukurlah kita akan kaki yang dianugerahkan oleh Allah. Jagalah ia dan jangan sampai menyukarkan langkah. Kaki melangkah menandakan kita memulakan perjalanan. Sesungguhnya, perjalanan ini masih jauh.


      ' Jauh lagi. Larat ke sampai umur 60. Sekarangpun melangkah bangunan 4 tingkat sempot dibuatnya. Lengoh kaki dibuatnya '. Penulis jawab, tandatangan je dulu. Takkan kerajaan nak inaya pekerjanya. Tentang kaki boleh dicari penawarnya. Contohnya ostesamin.

   
      Kadang-kadang kaki ni buat hal juga. Berdiri solat atau berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku boleh bergoyang dibuatnya. Kalau hal ini terjadi, cepat-cepat buat pemeriksaan di hospital. Mungkin penyakit tiroid menyinggah. Kalau disahkan oleh ujian darah, ubat yang akan diberi ialah carbimazole. Selain itu, jantung akan berdegup laju dan tangan pula akan berpeluh. Untuk degupan jantung yang laju propranolol HCI adalah ubatnya. Oleh itu, rajin-rajinlah ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan kerana kesannya kepada kaki.

      Mengikut amalan refleksologi, di tapak kaki sahaja terdapat 35 poin organ badan. Teknik refleksologi semakin popular dalam kalangan masyarakat. Kini, banyak taman rekreasi menyediakan laluan refleksologi, contohnya di Padang Sultan Abdul Jalil Ipoh atau lebih popular dikenali dengan Padang Polo. Jika ada ruang boleh berkunjung ke sana. Sambil kita berriadah bersama keluarga, tentu sahaja kita boleh mencuba gerai laksa yang terdapat di sana. Setakat ini, Laksa Kedah yang menerima sambutan hangat.


      Jika sibuk sangat hingga tidak sempat ke taman untuk berriadah refleksologi, boleh sahaja mencuba beberapa alat yang fungsinya hampir sama iaitu,




      Kita juga disarankan berjalan 10000 langkah sehari. Amalan ini dapat meningkatkan tahap kesihatan. Hal ini diperkatakan kerana kita penjawat awam baru sahaja menandatangani SBPA. Kesihatan yang baik membolehkan kita terus bekerja secara kreatif dan inovatif menjelang usia 60 tahun kelak. Perkara ini  akan menjadi contoh dan teladan kepada penjawat awam baru apabila mereka melihat kesungguhan kita bekerja walaupun di usia 60 tahun. Kita hanya merancang Allah jua yang nenentukan. Tetapi kita telah berusaha.


      Kepada rakan-rakan guru, hal berkaitan dengan berjalan tidak mendatangkan sebarang masalah kerana sememangnya guru sentiasa berjalan dari kelas ke kelas. Cuma bab naik turun tangga ada sedikit masalah. Tapi penulis yakin rakan guru mampu mengatasinya sebab sememangnya guru seorang yang kreatif dan inovatif serta sangat rajin bekerja bak kata pepatah kaki naik kepala turun.Selain itu, sikap guru juga seperti pepatah cepat kaki, ringan tulang iaitu cekap dan suka menolong.

       
Cerita kaki : Wangsa  Perkasa berpendapat bahawa perpecahan sesama umat bakal mengundang bencana besar. Oleh itu bermuafakat dengan jiwa pengorbanan dan tolak ansur boleh dijadikan titik pertemuan.. Ia tidak mustahil demi survival dan kepentingan umat.

Isnin, 31 Oktober 2011

Selagi ada ....


      Selagi ada cita, selagi itu ada usaha. Syabas dan tahniah atas pelaksanaan tugasan yang cemerlang. Kini kita hanya mampu berdoa dan bertawakal. Sebagai pendidik, penghargaan yang diberikan dalam bajet 2012, haruslah kita sambut dengan penuh kesyukuran, keikhlasan dan terima kasih. Selagi ada kepercayaan, selagi itu tugas dijalankan.

      Selagi ada mesra, selagi itu boleh bersama. Selagi ada budi, selagi itu bersatu hati. Untuk bekerja bersama dan bersatu hati, Majlis Mesra Sekalung Budi antara caranya. Disulami dengan beberapa aktiviti, kata muafakat dan ikatan siratulrahim boleh terjalin. Selagi ada cara, selagi hasrat boleh terlaksana.


      Bagaimana pula jika selagi ada rindu.Jika hendak tahu, biarkan saja kumpulan Kristal berlagu....


      Kepada sahabat pendidik, kita perlu sedar bahawa selagi ada pelajar, selagi itu guru mengajar. Syarat mengajar hendaklah berilmu kerana selagi ada ilmu, selagi orang datang berguru. Pelajar pula dilihat sebagai generasi muda/ belia hari ini. Lihat mereka nampaklah corak dan rupa masa depan. Selagi ada belia, selagi itu perlu dibela. Justeru amat membimbangkan dilapurkan 6 juta belia menghadapi krisis kecelaruan identiti. Selagi ada guru, selagi itu belia dibantu. Apa yang guru minta cuma satu, sebagai orang dewasa kita patut menjadi contoh terbaik kepada golongan belia.

      Selagi ada beras, selagi bekerja keras.Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi muda, bukannya pesawah yang lanjut usia. Amat malang tanah sekangkang kera dipajak kepada pengusaha lain oleh anak muda yang tidak minat. Rugilah mereka dan kekallah mereka di bawah paras kemiskinan.

      Tiada tanah untuk dibuat rumah. Rumah yang ada cuba digadai. Selagi ada rumah, selagi hidup bermaruah.Apakan daya maruah hanya setakat kos rendah dan sederhana. Manakala rumah kos sederhana tinggi dan mewah milik orang lain. Kita hanya menghirup kuah, sedangkan isi dimakan oleh orang lain.Siapa sebenarnya kita? Tuan rumah atau sekadar tetamu. Kalau boleh hayat kita habiskan di dalam rumah.

      Selagi hayat dikandung badan - Lembaran Perjuangan karya Zakaria Ibrahim dan rakan, terbitan Alaf Baru, menarik perhatian penulis. Buku ini menegaskan sejarah sebagai rakaman paling jujur. Bagaimanapun belajar daripada sejarah sebenarnya perkara paling sukar dibuat. Mungkin kerana itu orang Melayu khususnya lebih suka berpuak-puak dalam fahaman politik hingga melupakan betapa sukarnya membina negara. Persoalannya, tiada jiwakah kita.?



      Selagi ada bahasa, selagi bangsa berjiwa. Bangsa berjiwa  memartabatkan bahasa dan menggunakannya di dalam rumah. Jika diguna bahasa dalam segala aspek akan berputiklah jiwa bangsa. Hanya yang cekal dan berani sahaja dapat memberi jiwa kepada bangsa melalui bahasa. Perjuangan penuh mencabar bermula kini.

      Selagi ada kudrat, selagi memberi khidmat.Kisah Tok Yam yang penulis baca di media cetak tentang kesediaannya berkhidmat walaupunpun  tiada habuan, cuma atas dasar perjuangan boleh dijadikan iktibar kepada pemimpin kini. Kisah ini mengingatkan penulis akan ibu yang berkeras keluar membuang undi cuma kerana penulis mendapat biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran dan dia mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

      Selagi ada tali, selagi ada keserasian. Tali agama dan tali persaudaraan pengikat kita.Itu semua orang tahu, tapi amat payah.


Wangsa Perkasa - http://www.selagiadagula.blogspot.com/, selagi kita akan bekerjasama

                          - Kerisauan ini terubat apabila isteri balik dan tertawa


                                  

Khamis, 20 Oktober 2011

Ruang dan Peluang

      Dunia semakin sempit dan penghuninya juga terasa tekanannya. Permintaan terhadap ruang dan peluang semakin meningkat, manakala apa yang boleh ditawarkan agak terhad. Hal ini menimbulkan keresahan dan jika tidak ditangani dikuatiri akan terjadinya krisis. Maka kata orang, jika ruang dan peluang mengetuk, kita ketuk ruang dan peluang itu.Jika dibiarkan ia berlalu, entah bila pula ia akan datang semula.



      Bahan hangat yang menjadi cerita dalam kalangan penjawat awam sudah semestinya berkaitan bajet. Ramai beranggapan bajet kali ini banyak memihak kepada penjawat awam terutama guru.Antara yang diperkatakan ialah bersara 58 tahun kepada 60 tahun.Berbual dengan rakan tentang perkara ini, ada yang mencadangkan kepada penulis supaya mengambil spriluna supaya tampak 'steady dan coll' menjelang usia 60 tahun. Ruang dan peluang yang diberi oleh kerajaan ini pastinya disambut baik oleh penjawat awam.

      Membantu mengendalikan peperiksaan awam memerlukan kita fokus dan sentiasa terfikirkan perkara luar jangka. Tambahan pula ia melibatkan masa depan anak-anak terutama jika berhasrat hendak ke MRSM atau SBP. Tahniah kepada ibu bapa yang anak mereka ditawarkan ruang dan peluang ke MRSM atau SBP. Dalam kesibukan membantu mengendalikan peperiksaan, cerita tentang penjagaan kesihatan mengingatkan penulis bahawa temu janji berkaitan ujian darah telah seminggu lewat. Ruang dan peluang terpaksa dicari untuk mendapatkan hasil ujian kolestrol tersebut. Hasilnya,  selain diberi taklimat ringkas dan edaran kertas berkaitan cara pemakanan seimbang, dos turut ditambah dari 1.5 biji kepada 2 biji (lovastatin). Walaupun bacaan menunjukkan penurunan tapi ia belum memadai.

      Huh lega, semuanya berjalan lancar. Ruang yang ada dipenuhi pula dengan menyaksikan perlawanan bola antara Perak dan Selangor. Terkilan rasanya pasukan Perak tersingkir pada suku akhir.Agakan penulis tepat sekali apabila ruang dan peluang diambil oleh Safiq Rahim dengan sepakan bebas berhampiran pintu gol memberi peluang kepada Rudie Ramli menjaringkankan gol. Penulis melihat beberapa kali Safiq menjaringkan gol melalui sepakan bebas menarik dari jarak 25 hingga 30 meter. Dia memang berada dikelas yang tersendiri.

     Ruang yang ada sementara menunggu anak balik sekolah kebangsaan diisi dengan membaca suratkhabar utusan dan berita harian.Isu-isu semasa terutama berkaitan umat bangsa sering menjadi fokus. Kebelakangan ini umat bangsa sedang menunjukkan perpecahan kerana tidak bersatu.Apabila berpecah sudah tentu kekuatan politik turut menjadi rapuh. Hal ini membuka ruang dan peluang kepada golongan tertentu menuntut perkara yang bukan-bukan, hingga melibatkan soal akidah umat.

     Sedia maklum mereka telah menguasai ekonomi, sedang berkira-kira pula mendapatkan kekuasaan politik. Kini akidah pula ingin dipesongkan. Kesan yang lebih dahsyat akan berlaku jika kita terus beri ruang dan peluang ia berlaku.

      Melihat anak-anak bangsa keluar daripada kawasan sekolah agama rakyat dan kebangsaan sambil dipimpin oleh ibu atau bapa menimbulkan persoalan bersediakah anak-anak ini menjadi generasi pewaris umat bangsa. Jika benar ada percubaan untuk memesongkan akidah adakah perisai pertahanan untuk menangkis percubaan itu? Jangan sesekali lupa, anak-anak inilah sedang menjadi sasaran penganut agama lain kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah anak-anak bangsa, maka rosaklah generasi umat bangsa masa hadapan.

      Akhir kata, jika diberi satu ruang dan peluang penulis impikan kekuatan diri, kekuatan politik dan disatukan dengan kekuatan akidah dan ekonomi. Jika ini berjaya dilakukan nescaya tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat umat bangsa. Wangsa perkasa...

Selasa, 11 Oktober 2011

Ingat


      Bulan september, oktober dan november institusi pendidikan mulalah sibuk dan lebih fokus ke arah peperiksaan. Guru-guru sering memperingatkan pelajar-pelajar peri pentingnya cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa pula turut sama merasa tempiasnya. Tampak ibu bapa pula yang lebih tertekan berbanding si anak. Untuk meningkatkan daya ingatan si anak, kismis dan ubat homeopathic diberi. Selain itu, anak-anak diajar doa-doa penerang hati agar ilmu mudah untuk diingat.
   
      Media cetak turut memberi ruang berkaitan hal peperiksaan awam. Isu murid-murid yang dihalang mengambil peperiksaan UPSR baru-baru ini begitu mengejutkan banyak pihak. Belumpun habis isu ini, PMR pula mengambil tempat pada 4 oktober yang lalu.Tersiar di dada-dada ahkbar suasana pelajar mengambil PMR. Pelajar yang buta menggunakan mesin braille,  rabun menggunakan kanta pembesar, berbalut kaki , lebam muka hingga menjawab soalan menggunakan kaki,  menggambarkan kepada kita bahawa mereka ini ingat hari kemudian.  Ingat tu, pendidikan dapat mengubah kehidupan masa hadapan.



      Penulis sempat bertanya kepada beberapa orang pelajar samada boleh menjawab atau tidak. Jawapan mereka ringkas iaitu susah hendak ingat atau tidak ingat.

      Dalam pada itu, terdapat segelintir pelajar yang tercicir di tengah jalan akibat berhenti sekolah ataupun dibuang sekolah. Dalam konteks pelajar ini, peringatan-peringatan ( amaran, teguran) telahpun diberikan, namun ia diambil mudah. Apabila sampai tarikh peperiksaan, mereka teringat hendak ambil peperiksaan dan akan datang ke sekolah membuat rayuan. Mungkin atas dasar pendemokrasian pendidikan, walaupun tidak datang ke sekolah selama setahun, selalunya mereka boleh mengambil peperiksaan.

      7 Oktober, tidak ada peperiksaan PMR. Penulis teringat-ingat akan bajet yang akan dibentang oleh PM. Mungkin bajet kali ini ada istimewanya. Jelas kelihatan PM begitu bertenaga tetapi santai gayanya. Air mukanya begitu berseri. Sebagai warga negara dan penjawat awam, penulis terkesan dan bersyukur. Banyak berita gembira di dalam bajet kali ini.



      Ingat hati ( perasaan yang timbul ) bajet 2012 kali ini biasa-biasa sahaja tetapi rupa-rupanya ia suatu bajet pada pendapat penulis realistik, praktikal dan holistik serta langkahnya juga luar biasa. Tentu hasilnya juga nanti akan luar biasa. Penulis yakin dengan caran PM. Sebagai renungan seperti kata pepatah, ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa.

      Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah PM begitu memperingati pejuang-pejuang kemerdekaan  terdahulu terutama pejuang semasa zaman darurat.Memetik kata-kata beliau " sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah." Sejarah ini tidak boleh diubah.
   
      Penutup kata, jika pelajar menyatakan tidak ingat apa yang dibaca, kita boleh terima lagi. Tetapi jika hal tidak ingat ini berlaku kepada seorang atau berdua pemimpin terutama apabila berkata-kata, walhal kata-kata tadi dicatat dan dirakamkan, pemimpin ini sememangnya tidak layak untuk memimpin atau dipilih  kerana tidak bertanggungjawab.Begitu mudah melepaskan diri atas alasan tidak ingat. Apabila kita bersabar pada tahun 2011, pasti tahun 2012 kita akan tersenyum gembira. Walau bagaimanapun, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis, sentiasa beringat-ingat dan ingat hari kemudian.

Wangsa Perkasa ; Ingat anak dan anak-anak kita.



Ahad, 2 Oktober 2011

Batu


      Menghadiri taklimat selama tiga hari dua malam, mengiringi rombongan pertunangan dan meninjau karnival kerjaya pemuda BN membuka ruang untuk penulis menulis berkaitan 'batu'. Bila menyebut batu teringat pula lagu Batu dendangan kumpulan Sweat Charity.


      Menghadiri taklimat 3 hari dua malam memang meletihkan minda, apatah lagi pengisian taklimat berkaitan perkara yang 'berat'.Tentu sekali perasaan bosan, mengantuk dan letih mendengar akan dialami.Masa santai yang diperuntukkan elok juga dimanfaatkan dengan berjalan-jalan di tepi pantai Teluk Batik di hadapan tempat penginapan.Tekanan juga dapat dikurangkan.

                                                                   Pantai Teluk Batik
      Batu keras dan batu lembut yang tersusun secara berselang-seli akan menyebabkan batu lembut sahaja yang mudah terhakis oleh aktiviti hakisan air. Batu keras akan membentuk tanjung, manakala batu lembut yang terhakis membentuk teluk, contohnya Teluk Batik, Lumut Perak. Teluk Batik antara destinasi pelancungan yang menarik ramai pengunjung. Jika meninjau di tanjung pula, akan didapati ' tulis nama atas batu' Dipersekitaran pantai atau celah-celah batu jika bernasib baik akan terjumpa ketam batu. Walau bagaimanapun kita janganlah pula menjadi seperti ketam batu iaitu bersikap kedekut.


      Setelah balik, keesokan harinya, perjalanan berbatu-batu melalui batuan yang ditebuk (terowong menora) menjanjikan pemandangan lanskap fizikal batuan yang menarik kepada pencinta alam. Batuan ignius dan batu kapur yang berdiri megah sebagai pasak bumi, merupakan antara ciri istimewa jika berkunjung ke Perak. Destinasi ke kampung Gelok, Lenggong hanya satu tujuan iaitu menyarung sebentuk batu (cincin) sebagai simbol ikatan dua hati.

      Mengapa cincin diangkat sebagai simbol simbolik, adakah ia sekadar aliran semasa, punyai maksud tersirat atau sekadar ikutan sejak zaman berzaman. Dalam masyarakat moden di negara ini, upacara menyarung cincin hanya dilakukan berdasarkan adat resam, bukan ritual semata-mata. Adat resam inilah juga yang ingin dilihat oleh pelancung yang datang ke sini. Jika adat resam ini dapat digabungkan bersama lanskap disini tentu sekali daerah ini akan dikunjungi oleh ramai pelawat.

     
      Hulu Perak; Bandaraya Warisan Arkeologi Negara, begitulah visi yang diwara-warakan. Harapan untuk melihat daerah Lenggong ini sebagai Tapak Warisan Dunia hendaknya tercapai. Di sini telah dijumpai rangka manusia zaman batu iaitu Orang Perak (Perak Man). Muzium Arkeologi Lenggong telah dibina untuk menyimpan khazanah ini.


      Disebelah muzium ini, nun di atas bukit menanti Laman Batu Batan. Batu batan ini merupakan bukti arkeologi tentang penemuan zaman manusia pra sejarah.Contohnya terdapat batu daripada abu gunung berapi toba di Sumatera yang berusia berjuta tahun. Bayangkan bagaimana batu toba ini boleh sampai ke Lenggong ini.




      Apabila pulang, keesokan harinya pula, sempat juga berkunjung ke karnival kerjaya anjuran Pemuda BN.
Banyak peluang pekerjaan ditawarkan oleh pihak terbabbit. Sambutan pula memang hangat bukan sahaja daripada pencari kerja baru malah yang sudah berkerjaya turut mencuba nasib. Peluang ini bolehlah dianggap sebagai batu loncatan ke arah pekerjaan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, tiap-tiap batu yang bergolek di dalam sungai itu tidak akan dilekati lumut.

      Bagi penulis, hasrat pemuda BN ini memang baik kerana perjuangan generasi muda ini ialah mencari pekerjaan. Karnival ini bukannya seperti mencari umbut dalam batu iaitu suatu kerja yang sia-sia malah ia merupakan suatu kerja murni yang harus disokong. Walau bagaimanapun,kita harus faham bahawa karnival ini tidak akan mampu memuaskan hati semua orang seperti perumpamaan berikut; tiada terkajang batu di pulau.

                                          Meriah. Sekitar suasana karnival.


      Batu kapur yang diproses akan membentuk batu marmar. Batu marmar ini yang menyaluti masjid ini  menjadi antara masjid paling cantik di negara. Didalamnya juga kita boleh memohon agar jika kita atau sahabat kita kepala batu, hati batu atau batu api dapat berubah ke arah yang lebih baik.


 
      Akhirul kalam, batu pun empuk, jangankan hati manusia. Batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Yang baik datang dari Allah manakala yang tidak elok jadikan sempadan.

Wangsa Perkasa - hanya ingin melihat bangsanya bersatu dan berjaya.

Isnin, 26 September 2011

Merekayasa. Buku muka dan Muka

      Alhamdulillah, hari ini institusi pendidikan tempat penulis bertugas melancarkan program merekayasa perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Antara pengisian program merekayasa ini meliputi pembinaan blog, dan  buku muka (facebook). Ramai juga yang bertanya penulis apa yang dimaksudkan dengan merekayasa?

                                    Pelancaran Program Merekayasa Bimbingan dan Kaunseling

                                             Pengetua menjadi 'rakan' buku muka (facebook)

      Menurut Kamus Dewan edisi 4, maksud rekayasa ialah penerapan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja dan lain-lain sebagai asas melaksana sesuatu. Merekayasa pula bermaksud melakukan rekayasa.

      Mengapa blog dan buku muka (facebook)? Semua orang mungkin sudah memahami bahawa zaman ini iaitu zaman segalanya di hujung jari, medium inilah yang amat popular diperkatakan dan digunakan oleh orang untuk berkomunikasi terutama golongan muda. Hatta, Perdana Menteri kita sendiri merekayasa dan menjuruterai pembangunan negara menggunakan medium ini.Oleh itu, amat rugilah jika medium buku muka (facebook) dan blog tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi menyebarluaskan ilmu mahupun sebagai perkongsian pintar dengan pelbagai pihak tentang sesuatu perkara.

      Kita tolak ke tepi dahulu akibat buruk buku muka dan blog . Kita tolak ke tepi dahulu kes perceraian atau kes penipuan mahupun kes keldai dadah.Cuba kita ambil perkara positif berkaitan medium ini. Contohnya, bagaimana penyanyi Yuna atau Najwa Latif memanfaatkan medium ini demi perkembangan kerjaya mereka. Bukankah asalnya mereka berlagu  hanya di you tube sahaja?


      Apabila membelek kamus simpulan bahasa pula, penulis terjumpa juga beberapa simpulan bahasa berkaitan dengan ' muka '. Sebagai kakitangan di organisasi pendidikan ada orang berpesan kepada penulis agar jangan ' beri muka ' sangat kepada para pelajar kelak nanti mereka mengambil kesempatan terutama dalam kes-kes disiplin. Melalui pembacaan penulis, perkembangan isu semasa, ramai orang yang tidak berpuas hati kerana kita seolah-olah beri muka kepada seorang. Dalam hal ini, jika tidak ditangani secara berhemah mungkin akan mendatang kesan pada masa akan datang. Contohnya, jika seorang pelajar di beri muka, tidak mustahil hal yang sama akan dilakukan oleh pelajar lain. Bukankah susah kita nanti?

      Mungkin orang kita seperti simpulan bahasa ini iaitu muka berpandangan, budi berkedapatan; kasih bagai selama juga.( Maksudnya; pernah melakukan silap, tetapi tidak dibalas; anggapan tetap tidak berubah walaupun orang itu berbuat serong ) Mungkin juga budaya kita, tidak mahu menjatuhkan air muka. Harap-harap janganlah perbuatan tersebut akan menconteng arang di muka.Yang menanggung akibatnya adalah kita....

     Dalam muka bumi (dunia) atau dalam kalangan kita ada juga yang bersikap muka tebal/ muka tembok/ muka tarpal/ muka papan/ muka pot iaitu orang yang tidak tahu malu. Orang jenis ini bolehlah kita anggap mereka sebagai muka bantal (pura-pura baik),  muka batu, (tidak berperasaan)muka sengkalan ( tidak sensitif),dan  muka dua (hipokrit). Ada pula yang sanggup  menjadi talam dua muka ( berbuat baik kepada ke dua-dua pihak yang bermusuhan ). Mereka ini muka sahaja licin, ekor penuh berkudis ( di luar nampak baik, di hati jahat).

      Pendedahan dalam medium buku muka, mereka ini akan malu oleh kerana rahsia buruk sudah diketahui  seperti simpulan bahasa berikut; pecah tempayan pekasam; muka berconteng arang. Hal ini demikian kerana perbuatan yang memalukan diri sendiri; ditepuk air didulang, terpercik muka sendiri.

      Akhir kata, muka manusia itu sebaik-baik perisai bagi hati. Kepada muka baru bertanyalah kepada muka lama. Apabila berurusan dengan sesiapa sahaja elakkan menunjukkan muka keruh, muka kusut atau muka masam. Contohilah Perdana Menteri kita apabila beliau merekayasa dan menjuruterai 1Malaysia dengan hanya muka manis ( wajah yang berseri ). Syabas Datuk  Seri Najib Tun Razak...

Selasa, 20 September 2011

Tentang Tangan - mencari makna di perjalanan.



       Penulis menulis makna tangan di sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang ( Taman Negara P. Pinang dan Muzium Perang di Batu Maung) dan singgah sebentar di Kuala Kangsar.


      Melihat iklan di tv dan surat khabar tentang tangan memang amat menarik untuk penulis tulis.Iklan Petronas berkenaan :-

Tangan yang ikhlas berbudi dan tabah melakar usaha;
Menempa semangat kersani dengan tekad dan cita-cita.

Mewarnai impian esok dengan citra dan makna;
Menggenggam Satu Harapan, mengisi erti Satu Merdeka.

 Melalui perkataan tangan  banyak perkara yang boleh diceritakan.


      Tangan jua merakam peristiwa-peristiwa sejarah. Apakah boleh tangan yang ingin melakar semula sejarah sedangkan banyak tangan yang mencatat. Terdapat tangan yang mengatakan pemerintah kini sebagai tangan besi sedangkan tangan itulah yang menikmati kemakmuran negara.


      Kata orang tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Tangan juga boleh menyebabkan kita tersungkur.

      Tangan juga lebih tajam daripada mata pedang atau lebih mengebomkan daripada meriam. Meriam daripada tangan penjajah Inggeris mahupun pedang Jepun tertewas jua dek buang tangan orang Melayu.

                                                    Disebalik itu ada tangan - tangan ajaib

          Tangan- tangan ajaib sering mengganggu- gugat keamanan dan keharmonian kita. Kita boleh menelah siapakah mereka. Kita juga boleh menjangka proksi mereka di negara kita. Selalunya mereka akan menunggu masa untuk campurtangan dan akan cuci tangan apabila petaka menimpa.Cuma kita suka sangat mendagu.


                                             Tangan sebagai penunjuk jalan, niat dan matlamat
   
        Tangan menunjuk langkah ke arah yang tepat. Tangan juga menjamin langkah agar sentiasa kuat. Namun berhati-hatilah dengan mukaddimah tangan kerana ia banyak menentukan natijah.

                                                                    Jambatan penghubung
     
      Tangan juga adalah jambatan pengikat siratulrahim. Lambang persahabatan yang terjalin kukuh. Tangan yang ingin membakar atau meruntuhkan jambatan ini haruslah ditentang.

                                                                     Tangan dan Hati                                            

      Falsafah hati terkandung di dalamnya. Tangan yang hebat perlukan hati yang bersih Apabila ditingkatkan kualiti hati, ini bermakna produktiviti tangan menyusul kemudian. Tangan yang sensasi harap dikesampingkan.
   
   
                                                              Maruah dan Martabat
     
      Tangan juga yang telah mengembalikan maruah dan martabat Bahasa Melayu yang sebelum ini menggunakan Bahasa Inggeris.Bukannya apa, Dalam Bahasa Melayu inilah tersimpan bahagian penting tentang nilai, salasilah dan jati diri sesuatu bangsa.


                                                                      Jati diri?
     
      Tangan yang menulis ini telah hilang jati dirinya. Bahasa Jiwa Bangsa. Di samping mendukung fungsi penyebaran, bahasa kebangsaan adalah kubu serta asas budaya. Keistimewaan itulah yang dicari oleh orang yang datang. Keistimewaan itulah jua yang ingin dipadam..

                                                                   Sesejuk air mengalir

      Walaupun mudah didapati tapi ia amat berharga. Biar tiada api, jangan tiada air. Orang sanggup berperang kerana air. Orang sanggup menoktah janji kerana air. Kerananya, orang sanggup mencekik. Apabila tangan memegang gelas yang berisi air, kedengaran bunyi ' yam seng '. Kita pula masih ketawa dengan frasa nyiaensing......

                                                           Tangan yang menggengam tanah.

      Tanah yang digenggam ini ada tuannya. Kepada yang menumpang, tangan terbuka dihulurkan. Adat bertamu, hormatilah tuan rumah. Tuan rumah budiman orangnya, asalkan saja tetamu dan orang yang menumpang menjaga adapnya. Sudahlah datang dengan tangan kosong, buah tangan pula yang dimintanya..

                               Tangan yang memelihara pokok. Pokok pula mengeluarkan udara
     
      Air tangan si pemelihara pokok akan menentukan pokok sentiasa subur dan mengeluarkan udara segar.Tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok tangan yang goncang. Janganlah ada tangan beracun  yang akan mengakibatkan pokok kering berudarakan udara kotor.  Lihat saja pokok disekeliling tanah kita!!!!!

      Tetapi sebuah negara bukan terdiri daripada air, tanah dan udara semata-mata. Apa yang dikatakan negara adalah manusianya.
                                                 Peminpin dan Dipimpin. Seiring dan Sejalan

      Mereka umpama tangan kiri dan tangan kanan. Pemimpin menentukan, Dipimpin melaksanakan. Setelah ditentukan 'apa' dan 'mengapa'? barulah diuruskan 'bagaimana' dan 'bila'. Ada orang bertepuk tangan melihat kita berbalah, bersinsing tangan  dan bergusti tangan sesama kita. Ayuh kita satukan tangan-tangan kita. menjadi seperti penyapu lidi.


                                                        Tangan yang menggenggam akar
       
      Tangan kukuh memegang akar. Akar adalah ego kita.  Kita perlu mendukung fahaman bahawa akal budi, warisan serta nilai tamadun terkandung di dalamnya. Tujuan nya hanyalah untuk mengukuhkan etos bangsa.

                                                                  Perbezaan dan kekuatan
      Perbezaan umpama jari-jari tangan yang besar, kecil, pendek dan panjang, sama-sama memberi kekuatan untuk menggenggam kejayaan.
     Beginilah caranya cabaran diharungi. Bekerjasama antara satu sama lain akan membentuk gabungan yang lebih kukuh.

                                                 Tangan yang meniti tangga menuju kejayaan

      Kejayaan pasti menjadi milik kita. Kita perlu sabar. Pasti ada cayaha di hujung terowong. Di penghujung sabar ada kegembiraan. Walau sejauh mana kita pergi. Walau setinggi mana kita daki. Jangan dilupa rumput di bumi. Itu pesan orang tua.

                                               Tangan yang dikerah mencari rezeki halal

      Tangan yang tidak sanggup menanggung kepahitan, tidak akan dapat merasai kemanisan. Takkan terjangkau rahsia lautan, jika tangan pelayar gentar meninggal daratan.

                                         
             Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Jangan sampai kita alpa dengan dunia. Tanggungjawab yang diamanah pikullah secara adil dan saksama. Dulu, kini dan selamanya.....

      Tangan juga yang akan memilih pemimpin. Hendaknya pemimpin yang dipilih sentiasa memikirkan tentang pembelaan nasib rakyat ketika ini dan generasi akan datang.Janganlah pemimpin yang sengaja mencipta isu sensasi yang menambah bebanan kehidupan. Ironinya, apabila rakyat memilih mereka, rakyat yang menderita akibat perlakuan dan kata-kata mereka. Rakyat jadi keliru atas kenyataan atau janji yang ditaburkan.


                                         Marilah kita bina perisai dan daya tahan tangan kita.......
Akhirul kalam tadahkan tangan, segalanya untuk Allah.

Ahad, 11 September 2011

Sesekali Aku Menulis Tentang Sejarah

Dengar dulu...

      Berdiam diri bukan beerti kau kalah, 
biar cercaan sekali datang menimpa, 
sudah menjadi adat dunia,
bersuaralah kamu kepada perkara berguna,
itulah sifat orang bijaksana.

Iya, anak muda itu tidak mati kerana tergelincir kakinya,
tetapi matinya anak muda itu ialah kerana tergelincir lidahnya.
Berdiamlah diri kamu kepada perkara yang bukan-bukan,
Bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan,
Berjasalah kamu  kepada keharmonian negara.

      Ada orang kata; apa yang hendak dikenang, itu sudah menjadi sejarah
      Ada orang kata; apa ada pada sejarah; sejarah hanya himpunan peristiwa
      Ada  orang kata; sejarah pasti berulang tapi dalam bentuk berbeza
      Ada orang kata; jangan ubah fakta sejarah
      Ada orang kata; ada fakta sejarah tercicir
     Ada orang kata kitab sejarah sedang terkoyak
   
     Ada orang kata; kita ubah fakta sejarah...

      dengar dulu

Selagi jasadku belum terkubur
Selagi tubuhku belum ditimpa uzur
Selagi hayat dikandung badan
Pantang nenek moyangku berundur ....

Ada pula orang berkata, belajar sejarah memang membosankan.
Ada pula orang berkata; sejarah ditulis oleh orang yang menang.
Ada pula orang berkata; sejarah mengajar kita untuk menjadi lebih dewasa.
Ada pula orang berkata; ambillah ikhtibar daripada sejarah.

Hakikatnya, sejarah tidak boleh diubah kerana ia peristiwa sudah berlaku.
Kita tidak pernah belajar daripada sejarah yang banyak merungkai 
tentang rahsia sengketa dan bencana.
Kita tidak pernah belajar daripada sejarah yang mengalir ke dalam longkang fikir
anak bangsa yang asyik menuduh fitnah dan mencari salah.

Kita perlu belajar mencantumkan kembali sejarah dengan luhur kebenaran, lembar kata dan cerita
daripada episod perjuangan sang wira wangsa perkasa
agar tersusun menjadi wadah yang tulus untuk dinikmati anak generasi

Hakikatnya, sejarah tidak boleh diubah kerana ia peristiwa sudah berlaku.
Sesekali aku menulis tentang sejarah.

      Belakangan ini, wujud  usaha mengangkat petualang negara sebagai wira, dan menidakkan wira sejati tanah air.Hal ini begitu berbahaya. Fakta dan susunan sejarah haruslah sentiasa dipandang penting. Kita haruslah mencari jalan pulang dengan memandang tinggi sejarahwan tanah air dan tidak membelakangi mereka dalam menentukan fakta sejarah serta mencari tafsiran kepada fakta berkenaan. Kita serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Sesungguhnya , apabila kita menyusuri akar sejarah semangat perjuangan , ternyata  ia banyak menunpahkan keringat, darah dan air mata. Sesekali penulis menulis tentang sejarah. Persoalannya. ada orang kata 'Semangat Kita Telah Hilang' Betulkah begitu?

 
   Malu bertanya kawan, sesat cari jalan pulang.
   Jika semangat yang hilang, kita cari jalan pulang.

Isnin, 5 September 2011

Syawal dirai dan Merdeka dihayati - Maaf Zahir dan Batin

     
      Dua perayaan yang menyatukan kita . Sempena meraikan dua perayaan ini, kita mempunyai lebih banyak sebab untuk terus mengimbas kembali dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.




      Jalinkan perhubungan, eratkan ikatan persaudaraan. Hari lebaran mengingatkan kita betapa tingginya nilai persaudaraan dalam kehidupan.


      Selagi hayat dikandung badan takkan putus tali persaudaraan. Kita hargai ikatan silaturrahim dan meniti kehidupan dengan penuh rasa kesyukuran.


      Musim perayaan lebih meriah bila kita bersama.