" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 11 Oktober 2011

Ingat


      Bulan september, oktober dan november institusi pendidikan mulalah sibuk dan lebih fokus ke arah peperiksaan. Guru-guru sering memperingatkan pelajar-pelajar peri pentingnya cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa pula turut sama merasa tempiasnya. Tampak ibu bapa pula yang lebih tertekan berbanding si anak. Untuk meningkatkan daya ingatan si anak, kismis dan ubat homeopathic diberi. Selain itu, anak-anak diajar doa-doa penerang hati agar ilmu mudah untuk diingat.
   
      Media cetak turut memberi ruang berkaitan hal peperiksaan awam. Isu murid-murid yang dihalang mengambil peperiksaan UPSR baru-baru ini begitu mengejutkan banyak pihak. Belumpun habis isu ini, PMR pula mengambil tempat pada 4 oktober yang lalu.Tersiar di dada-dada ahkbar suasana pelajar mengambil PMR. Pelajar yang buta menggunakan mesin braille,  rabun menggunakan kanta pembesar, berbalut kaki , lebam muka hingga menjawab soalan menggunakan kaki,  menggambarkan kepada kita bahawa mereka ini ingat hari kemudian.  Ingat tu, pendidikan dapat mengubah kehidupan masa hadapan.



      Penulis sempat bertanya kepada beberapa orang pelajar samada boleh menjawab atau tidak. Jawapan mereka ringkas iaitu susah hendak ingat atau tidak ingat.

      Dalam pada itu, terdapat segelintir pelajar yang tercicir di tengah jalan akibat berhenti sekolah ataupun dibuang sekolah. Dalam konteks pelajar ini, peringatan-peringatan ( amaran, teguran) telahpun diberikan, namun ia diambil mudah. Apabila sampai tarikh peperiksaan, mereka teringat hendak ambil peperiksaan dan akan datang ke sekolah membuat rayuan. Mungkin atas dasar pendemokrasian pendidikan, walaupun tidak datang ke sekolah selama setahun, selalunya mereka boleh mengambil peperiksaan.

      7 Oktober, tidak ada peperiksaan PMR. Penulis teringat-ingat akan bajet yang akan dibentang oleh PM. Mungkin bajet kali ini ada istimewanya. Jelas kelihatan PM begitu bertenaga tetapi santai gayanya. Air mukanya begitu berseri. Sebagai warga negara dan penjawat awam, penulis terkesan dan bersyukur. Banyak berita gembira di dalam bajet kali ini.



      Ingat hati ( perasaan yang timbul ) bajet 2012 kali ini biasa-biasa sahaja tetapi rupa-rupanya ia suatu bajet pada pendapat penulis realistik, praktikal dan holistik serta langkahnya juga luar biasa. Tentu hasilnya juga nanti akan luar biasa. Penulis yakin dengan caran PM. Sebagai renungan seperti kata pepatah, ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa.

      Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah PM begitu memperingati pejuang-pejuang kemerdekaan  terdahulu terutama pejuang semasa zaman darurat.Memetik kata-kata beliau " sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah." Sejarah ini tidak boleh diubah.
   
      Penutup kata, jika pelajar menyatakan tidak ingat apa yang dibaca, kita boleh terima lagi. Tetapi jika hal tidak ingat ini berlaku kepada seorang atau berdua pemimpin terutama apabila berkata-kata, walhal kata-kata tadi dicatat dan dirakamkan, pemimpin ini sememangnya tidak layak untuk memimpin atau dipilih  kerana tidak bertanggungjawab.Begitu mudah melepaskan diri atas alasan tidak ingat. Apabila kita bersabar pada tahun 2011, pasti tahun 2012 kita akan tersenyum gembira. Walau bagaimanapun, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis, sentiasa beringat-ingat dan ingat hari kemudian.

Wangsa Perkasa ; Ingat anak dan anak-anak kita.



1 ulasan:

  1. Sama-samalah kita ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. InsyaAllah

    BalasPadam