" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Khamis, 20 Oktober 2011

Ruang dan Peluang

      Dunia semakin sempit dan penghuninya juga terasa tekanannya. Permintaan terhadap ruang dan peluang semakin meningkat, manakala apa yang boleh ditawarkan agak terhad. Hal ini menimbulkan keresahan dan jika tidak ditangani dikuatiri akan terjadinya krisis. Maka kata orang, jika ruang dan peluang mengetuk, kita ketuk ruang dan peluang itu.Jika dibiarkan ia berlalu, entah bila pula ia akan datang semula.



      Bahan hangat yang menjadi cerita dalam kalangan penjawat awam sudah semestinya berkaitan bajet. Ramai beranggapan bajet kali ini banyak memihak kepada penjawat awam terutama guru.Antara yang diperkatakan ialah bersara 58 tahun kepada 60 tahun.Berbual dengan rakan tentang perkara ini, ada yang mencadangkan kepada penulis supaya mengambil spriluna supaya tampak 'steady dan coll' menjelang usia 60 tahun. Ruang dan peluang yang diberi oleh kerajaan ini pastinya disambut baik oleh penjawat awam.

      Membantu mengendalikan peperiksaan awam memerlukan kita fokus dan sentiasa terfikirkan perkara luar jangka. Tambahan pula ia melibatkan masa depan anak-anak terutama jika berhasrat hendak ke MRSM atau SBP. Tahniah kepada ibu bapa yang anak mereka ditawarkan ruang dan peluang ke MRSM atau SBP. Dalam kesibukan membantu mengendalikan peperiksaan, cerita tentang penjagaan kesihatan mengingatkan penulis bahawa temu janji berkaitan ujian darah telah seminggu lewat. Ruang dan peluang terpaksa dicari untuk mendapatkan hasil ujian kolestrol tersebut. Hasilnya,  selain diberi taklimat ringkas dan edaran kertas berkaitan cara pemakanan seimbang, dos turut ditambah dari 1.5 biji kepada 2 biji (lovastatin). Walaupun bacaan menunjukkan penurunan tapi ia belum memadai.

      Huh lega, semuanya berjalan lancar. Ruang yang ada dipenuhi pula dengan menyaksikan perlawanan bola antara Perak dan Selangor. Terkilan rasanya pasukan Perak tersingkir pada suku akhir.Agakan penulis tepat sekali apabila ruang dan peluang diambil oleh Safiq Rahim dengan sepakan bebas berhampiran pintu gol memberi peluang kepada Rudie Ramli menjaringkankan gol. Penulis melihat beberapa kali Safiq menjaringkan gol melalui sepakan bebas menarik dari jarak 25 hingga 30 meter. Dia memang berada dikelas yang tersendiri.

     Ruang yang ada sementara menunggu anak balik sekolah kebangsaan diisi dengan membaca suratkhabar utusan dan berita harian.Isu-isu semasa terutama berkaitan umat bangsa sering menjadi fokus. Kebelakangan ini umat bangsa sedang menunjukkan perpecahan kerana tidak bersatu.Apabila berpecah sudah tentu kekuatan politik turut menjadi rapuh. Hal ini membuka ruang dan peluang kepada golongan tertentu menuntut perkara yang bukan-bukan, hingga melibatkan soal akidah umat.

     Sedia maklum mereka telah menguasai ekonomi, sedang berkira-kira pula mendapatkan kekuasaan politik. Kini akidah pula ingin dipesongkan. Kesan yang lebih dahsyat akan berlaku jika kita terus beri ruang dan peluang ia berlaku.

      Melihat anak-anak bangsa keluar daripada kawasan sekolah agama rakyat dan kebangsaan sambil dipimpin oleh ibu atau bapa menimbulkan persoalan bersediakah anak-anak ini menjadi generasi pewaris umat bangsa. Jika benar ada percubaan untuk memesongkan akidah adakah perisai pertahanan untuk menangkis percubaan itu? Jangan sesekali lupa, anak-anak inilah sedang menjadi sasaran penganut agama lain kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah anak-anak bangsa, maka rosaklah generasi umat bangsa masa hadapan.

      Akhir kata, jika diberi satu ruang dan peluang penulis impikan kekuatan diri, kekuatan politik dan disatukan dengan kekuatan akidah dan ekonomi. Jika ini berjaya dilakukan nescaya tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat umat bangsa. Wangsa perkasa...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan