" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 31 Oktober 2011

Selagi ada ....


      Selagi ada cita, selagi itu ada usaha. Syabas dan tahniah atas pelaksanaan tugasan yang cemerlang. Kini kita hanya mampu berdoa dan bertawakal. Sebagai pendidik, penghargaan yang diberikan dalam bajet 2012, haruslah kita sambut dengan penuh kesyukuran, keikhlasan dan terima kasih. Selagi ada kepercayaan, selagi itu tugas dijalankan.

      Selagi ada mesra, selagi itu boleh bersama. Selagi ada budi, selagi itu bersatu hati. Untuk bekerja bersama dan bersatu hati, Majlis Mesra Sekalung Budi antara caranya. Disulami dengan beberapa aktiviti, kata muafakat dan ikatan siratulrahim boleh terjalin. Selagi ada cara, selagi hasrat boleh terlaksana.


      Bagaimana pula jika selagi ada rindu.Jika hendak tahu, biarkan saja kumpulan Kristal berlagu....


      Kepada sahabat pendidik, kita perlu sedar bahawa selagi ada pelajar, selagi itu guru mengajar. Syarat mengajar hendaklah berilmu kerana selagi ada ilmu, selagi orang datang berguru. Pelajar pula dilihat sebagai generasi muda/ belia hari ini. Lihat mereka nampaklah corak dan rupa masa depan. Selagi ada belia, selagi itu perlu dibela. Justeru amat membimbangkan dilapurkan 6 juta belia menghadapi krisis kecelaruan identiti. Selagi ada guru, selagi itu belia dibantu. Apa yang guru minta cuma satu, sebagai orang dewasa kita patut menjadi contoh terbaik kepada golongan belia.

      Selagi ada beras, selagi bekerja keras.Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi muda, bukannya pesawah yang lanjut usia. Amat malang tanah sekangkang kera dipajak kepada pengusaha lain oleh anak muda yang tidak minat. Rugilah mereka dan kekallah mereka di bawah paras kemiskinan.

      Tiada tanah untuk dibuat rumah. Rumah yang ada cuba digadai. Selagi ada rumah, selagi hidup bermaruah.Apakan daya maruah hanya setakat kos rendah dan sederhana. Manakala rumah kos sederhana tinggi dan mewah milik orang lain. Kita hanya menghirup kuah, sedangkan isi dimakan oleh orang lain.Siapa sebenarnya kita? Tuan rumah atau sekadar tetamu. Kalau boleh hayat kita habiskan di dalam rumah.

      Selagi hayat dikandung badan - Lembaran Perjuangan karya Zakaria Ibrahim dan rakan, terbitan Alaf Baru, menarik perhatian penulis. Buku ini menegaskan sejarah sebagai rakaman paling jujur. Bagaimanapun belajar daripada sejarah sebenarnya perkara paling sukar dibuat. Mungkin kerana itu orang Melayu khususnya lebih suka berpuak-puak dalam fahaman politik hingga melupakan betapa sukarnya membina negara. Persoalannya, tiada jiwakah kita.?



      Selagi ada bahasa, selagi bangsa berjiwa. Bangsa berjiwa  memartabatkan bahasa dan menggunakannya di dalam rumah. Jika diguna bahasa dalam segala aspek akan berputiklah jiwa bangsa. Hanya yang cekal dan berani sahaja dapat memberi jiwa kepada bangsa melalui bahasa. Perjuangan penuh mencabar bermula kini.

      Selagi ada kudrat, selagi memberi khidmat.Kisah Tok Yam yang penulis baca di media cetak tentang kesediaannya berkhidmat walaupunpun  tiada habuan, cuma atas dasar perjuangan boleh dijadikan iktibar kepada pemimpin kini. Kisah ini mengingatkan penulis akan ibu yang berkeras keluar membuang undi cuma kerana penulis mendapat biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran dan dia mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

      Selagi ada tali, selagi ada keserasian. Tali agama dan tali persaudaraan pengikat kita.Itu semua orang tahu, tapi amat payah.


Wangsa Perkasa - http://www.selagiadagula.blogspot.com/, selagi kita akan bekerjasama

                          - Kerisauan ini terubat apabila isteri balik dan tertawa


                                  

1 ulasan:

  1. Tahniah....
    Pd saya yang penting, Selagi ada matahari, bulan dan bintang.....selagi itu kita terus bernafas dan memberi khidmat di mana sj kita berada tak kira siapa kita.....

    BalasPadam