" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 9 Ogos 2011

Tentang Wang


                                                 Blok pentadbiran tempat penulis bertugas.
     
      Dengan adanya wang, berdiri megah institusi pendidikan tempat penulis bertugas.Jika diberi wang, banyak perkara yang boleh dilaksanakan demi kecemerlangan institusi pendidikan ini.Semestinya banyak permintaan yang dapat dipenuhi. Hakikatnya, wang yang diperuntukkan adalah terhad. Wang juga tidak boleh sewenang-wenang diberi hingga berlebihan. Hal ini dikuatiri nanti wang itu tidak ada nilainya seperti wang cap pisang zaman Jepun dahulu. Oleh itu kita dituntut berbelanja secara berhemah. Berbelanja mengikut prioriti dan hal ini tentunya melibatkan ' kos melepas'.

      Wang juga boleh digunakan untuk keamanan,  kedamaian dan membantu orang lain.Tetapi pemberian itu biarlah ikhlas Begitulah kata Tok Wan, tetamu jemputan yang dijemput oleh cikgu tadika tempat Upin dan Ipin belajar. Siri ini penulis tonton pada hari sabtu 6 ogos 2011 jam 6.45 petang. Menarik sekali kata-kata Tok Wan. Tok Wan memberi contoh duit 10 sen jika dikumpulkan satu kelas dan kemudian satu kampung akan menjadi banyak. Diselitkan juga peribahasa 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' , 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' dan 'tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima'

      Kata-kata Tok Wan itu memberi idea kepada Upin dan Ipin untuk mengutip derma bagi meringankan beban sahabat mereka Ijat yang baru sahaja dilanda musibah rumah terbakar.Kesungguhan mereka berdua yang mengutip derma dalam keadaan hujan lebat mengakibatkan mereka demam. Melihat kegigihan Upin dan Ipin sehingga jatuh sakit, rakan-rakan yang lain turut membantu. Akhir cerita, Ijat yang datang ke tadika tanpa uniform telah diberi sumbangan tersebut beserta baju uniform.

      Siri Upin dan Ipin ini mengingatkan penulis tentang musibah rumah terbakar yang menimpa seorang pelajar. Penulis merakamkan rasa simpati kepada keluarga pelajar tersebut dan berharap mereka tabah hadapi ujian ini. Atas dasar keprihatinan warga institusi, satu kutipan derma kilat telah dijalankan pada hari Jumaat lalu (5.8.2011). Walaupun hasil kutipan tidak seberapa, tetapi semangat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing sememangnya patut diteladani. Penulis melihat atas semangat 1 Malaysia, pelajar-pelajar tanpa mengira kaum turut menghulurkan bantuan. Perpaduan sebeginilah yang diimpikan oleh negara sejak dahulu, kini dan selamanya. Penulis kuatir semangat perpaduan yang disemai ini akan cuba diganggu-gugat apabila mereka dewasa kelak.
   
                                                       Siap sedia menerima sumbangan
   
       Kerana wang juga kita boleh berbalah dan bersengketa. Peristiwa lalu mengajar kita bahawa agihan wang yang tidak seimbang turut menumpahkan darah ke bumi bertuah ini.Tongkat wang yang masih diperlukan turut dipertikaikan atas alasan kita perlu bermain di atas padang yang sama rata.Wang 20 peratus yang baru dicapai setelah lebih 40 tahun turut dicemburui. Hakikatnya, 30 peratus yang sepatutnya dipegang. generasi Y ketika ini perlu fahami hakikat bahawa inilah perjuangan tersirat mereka. Wang inilah yang akan mengekalkan keharmonian, keamanan dan kedamaian bumi bertuah ini.

                                                          Bersatu dalam kepelbagaian
   
      Akhirul kalam, penulis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas wang setengah bulan gaji dan minimum RM 500.00 yang diumumkan.Perbelanjaan wang RM 2 bilion itu akan mendatangkan pendapatan RM 5 bilion  hasil kesan  pengganda ekonomi.Wang tersebut akan mengalir dalam aliran pusingan pendapatan dan seterusnya akan meningkatkan pendapatan negara. Kesannya, negara akan makmur. aman dan harmoni dalam kepelbagaian. Apa yang perlu dicari cuma persamaan dalam kepelbagaian. Untuk menjadi Wangsa Perkasa, kita perlu menguasai Wang dan Sa.. Sa ini jangan juga kita terlepas...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan