" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Jumaat, 22 Julai 2011

Tentang Pokok



       Tanya sama pokok apa sebab goyang
       Nanti jawab pokok angin yang goncang

      Lagu tentang pokok ini yang telah diberi nafas baru oleh kumpulan MUH ini telah melonjakkan lagi populariti mereka. Baru pertama kali dicalonkan dalam Juara Lagu, terus menjuarai carta. Memang hebat lagu mereka ini, atau yang hebat mungkin sebab tajuknya Pokok.

      Video klip ini menarik perhatian penulis kerana ia dihasilkan sendiri oleh anak penulis. Begitu bersungguh-sungguh sekali dia menghasilkannya.Tahniah daripada penulis. Teruskan dalam penghasilan karya yang berilmu.

      Ada pendapat mengatakan bahawa kita boleh menyamakan remaja atau belia atau istilah sekarang iaitu generasi Y sebagai pokok.  Betullah orang kata Generasi Y menjadikan kecanggihan teknologi maklumat sebagai sumber maklumat, ilmu dan hiburan. Betul juga orang kata Generasi Y sudah melupai sejarah budaya dan tradisi sehingga dilihat rapuh atau hilang jati diri, sehingga menganggap warisan daripada orang sebelum sebagai ketinggalan zaman. Kita boleh bayangkan sikap dan tingkah laku generasi Y ini jika mereka berada dalam organisasi atau hidup dalam bernegara. Generasi muda hari ini merupakan gambaran keadaan akan datang. Oleh itu, diharapkan kita boleh mempengaruhi hala tuju, rupa dan keadaan  pokok tersebut.

      Pencinta alam menjadikan pokok sebagai kempen alam sekitar. Pokok dilihat sebagai kelangsungan kehidupan kerana fungsinya sebagai membekal oksigen kepada manusia. Setiap hari beratus pokok ditebang untuk tujuan komersial. Amat malang sekali kerana pokok yang ditebang tidak pula diganti.

      Ada pula sahabat lain menyamakan pokok ini dengan kasih sayang. Untuk melihat pokok membesar dengan sempurna, ia perlu dijaga, dibajai, disirami pada setiap masa.Akhirnya pokok tadi akan membesar dan mengeluarkan hasil. Begitulah juga kasih sayang.

     Ada pula sahabat mengaitkan pokok dengan organisasi. Seperti pokok yang terdiri daripada akar, batang, ranting dan daun, begitu jugalah organisasi yang terdiri daripada beberapa sub-sistem. Masing-masing ada peranan dan perlu melaksanakan peranan tersebut dengan cemerlang. Jika ada subsistem yang gagal berfungsi, maka akan kurang berkesanlah sistem tadi. Malah ada organisasi yang runtuh kerana subsistem  menjadi duri dalam daging. Pokok yang tegak akan tumbang dek kerana anai-anai. Begitulah iklan yang penulis lihat di kaca tv. Pokok juga akan goyang jika ada angin yang goncang.

      Pokok adalah sebahagian daripada kehidupan. Jika tidak masakan orang tua dahulu mengambilnya sebagai pepatah ,bidalan atau perumpamaan. Disini penulis kongsi sebahagiannya:-
      1. Jika tidak kerana angin, pohon kayu mahukah bergoyang.
      2. Ada angin, ada pokoknya.
      3. Ibarat pokok yang berbuah sahaja yang dibaling orang.
      4. Daun mengenalkan pohonnya.
      5. Baru bertunas sudah dipetik, lama-lama matilah pokok.
      6. Bagaimana pohon tiada akan tumbang dipanah halilintar, sebab baluhan kulit ada dibatangnya.
      7. Jikalau sepohon kayu banyak akarnya lagi teguh, apalah ditakutkan ribut.

      Kesimpulannya, bicara tentang pokok sahaja memperlihatkan pelbagai tafsiran yang berbeza-beza. Pokok dilambangkan sebagai golongan muda, kasih sayang, organisasi mahupun negara dan lain-lain. Masing-masing memberikan pendapat, komen atau persepsi bergantung kepada mood dan komitmen individu.Untuk mengurus persepsi juga semakin sukar kerana penampilan medium baru membolehkan yang benar dimanipulasi dan yang salah boleh diubah mempengaruhi minda. Akhirnya, perkembangan semasa tanah air memperlihatkan telah berlaku saingan sengit persepsi. Masing-masing cuba mengurus persepsi dengan kadar segera kerana siapa cepat dialah yang dapat mengubah kepercayaan. Penulis tidak mahu 'menang sorak kampung tergadai' ; 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'. Sehingga kini penulis masih mencari maksud ' campak satu batu bayang pun hilang'.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan