" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 1 April 2013

Pilihan - Sabah :Misi Mencari

      Bulan Mac ini, kisah berkaitan Sabah setiap hari diperkatakan di media cetak atau elektronik. Terima kasih kepada Selagi ada gula atas cerita dalam komen entri Pilihan : Sabah ; Penempatan. Perkongsian cerita menambahkan lagi kisah-kisah kehidupan. Bagi penulis, apabila kisah-kisah berkaitan Sabah diketengahkan nescaya nostalgia lama akan mengetuk pintu minda. Apapun kepada wira-wira Bangsa Perkasa , teruskan misi mencari. Nyahkan mereka dari bumi Sabah Malaysia bumi berdaulat.

      " Cikgu Mad, ini ada senarai nama pelajar baru tingkatan satu sekolah kita.Tugas cikgu Mad adalah mencari pelajar baru ini untuk ditawarkan bersekolah di Asrama Penuh Lahad Datu ini. Nanti John akan bawa naik trooper sekolah". Kata Pengetua.

      Semasa penulis sampai di Sekolah Berasrama Penuh Lahad Datu pada tahun 1990, sekolah ini baru 2 tahun dibuka. Umum belum tahu lagi kewujudan sekolah ini. Oleh sebab itu sekolah perlu mencari pelajar yang di senaraikan oleh JPN untuk ditawarkan penempatan. Rata-rata pelajarnya hanya mendapat 3 A dalam UPSR. Tambahan pula, kekurangan kemudahan asas iaitu air sedikit menjejaskan keselesaan murid. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa murid menarik keluar anak mereka daripada sekolah. Kekurangan ini menambahkan cabaran berkhidmat dan menuntut ilmu di sini. Penulis tidak mengeluh kerana pujangga ada mengatakan " jangan mengeluh hanya kerana tidak mempunyai kasut sebelum melihat orang yang tidak mempunyai kaki"

                                                          Muda-muda belaka

      Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Tawau dan Semporna. Tugas penulis adalah pergi ke sekolah yang disenaraikan di setiap bandar tadi. Kemudian berjumpa dengan guru bimbingan kaunseling supaya dapat memujuk pelajar untuk menyambung persekolahan di SBP Lahad Datu. Dalam minda penulis berasa sedikit kelainan sebab perkara mencari pelajar ini tidak berlaku di Semenanjung. Walau bagaimanapun demi anak bangsa, penulis pikul tugas ini. Perkara ini adalah pengalaman. Orang kata pengalaman ialah guru yang terbaik. Sebagai guru baru, banyak benda yang perlu kita belajar. Semakin banyak kita belajar, semakin insaflah kita betapa sedikitnya yang kita ketahui. Walau bagaimanapun, tanpa kebijaksanaan, orang tidak dapat belajar apa-apa.

     Tegasnya, ayat pertama penulis ucapkan kepada pelajar tingkatan enam semasa hari pertama memasuki kelas " Yang penting bukan dari mana saya datang, tetapi ke mana kita akan pergi."

Wangsa Perkasa: Kata orang guru umpama lampu. Memetik kata Al-Kindi, jangan diikut perangai lampu, menerangi orang lain tetapi dirinya sendiri terbakar. Sebaliknya contohilah perangai bulan, setiap kali bertentangan dengan matahari, bulan akan mendapat cahaya baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan