" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 20 April 2013

Pilihan ; 13 ?

                Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Atas Kamu.

      Membuat pilihan bukan mudah. Tidaklah semudah menyebut 1,2 dan 3. Bagi sesetengah individu, untuk memilih nombor pendaftaran kereta barupun ada pantang larangnya. Antara angka yang ingin dielakkan ialah angka 13. Kalau diperhatikan, nombor rumahpun angka 13 tiada. Di taman perumahan penulis selepas nombor 11 adalah 15. Di hotel pula, selepas aras 12 ialah aras 12A dan 14. Maknanya nombor 13 bukanlah pilihan.

     Selain itu, siri drama hanya setakat 13 semusim. Penulis masih ingat juga, dahulu juara carta lagu hanya setakat 13 minggu. Minggu berikutnya, lagu tersebut akan berada di tempat ke-2. Jelaslah angka 13 mempunyai impaknya yang tersendiri. Filem 'Friday 13' memberi impak triller kepada penonton hingga ada yang diserang sakit jantung. Peristiwa '13 Mei' pula menguji perpaduan kaum dalam kalangan kita.

      Tahun 2013 juga menarik untuk dikatakan. Penulis melihat kalendar kuda jelas menunjukkan 2013 bersama gambar ular. Tahun 2013 ialah tahun ular bagi masyarakat Cina. Kata sesetengah orang, hati-hati pada tahun 2013 ini. Hal ini demikian kerana akan berlaku perkara belit membelit seperti sifat ular. Pepatah Melayu juga ada memperkatakan hal berkaitan ular, antaranya ular berlingkar di gulung tikar yang membawa maksud, orang jahat menyamar dalam kumpulan orang-orang baik. Sebenarnya tidak ada sial majal berkaitan dengan sifat binatang ini. Yang pasti, hendaklah kita lari daripada pesakit kusta.

      Setelah 4 bulan berada dalam tahun 2013 ini, perkara belit membelit ini seperti menjadi kebiasaan pula. Kalau kita membaca surat khabar, banyak perkara yang mengelirukan terutama dalam konsisten apabila bercakap. Memang ada yang berbelit-belit macam ular. Apatah lagi ketika ini bahang PRU 13 semakin hampir. 15 hari lagi, lebih 13 juta pengundi akan mengundi dalam PRU 13. Maka banyak spekulasi di sebarkan. Bukan kerana apa. Ini semua kerana persepsi. Politik ialah persepsi dan ia juga merupakan seni. Orang kata apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar, minda akan percaya. Oleh itu, apa yang boleh dikatakan.  Ular bukan, ikan pun bukan ( belum dapat dipastikan buruk baiknya.)

      Tahniah kepada individu yang terpilih. Sungguh meriah melihat gelagat masyarakat semasa proses penamaan calon. Masing-masing menyatakan merekalah calon yang paling layak untuk mewakili penduduk setempat.Yang mereka tidak tahu adalah lagi besar pangkat seseorang, lagi besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Mereka akan dipersoalkan kelak. Jika dahulu orang menolak-nolak jawatan, tapi kini jawatan tersebut menjadi rebutan. Disarankan masa berkempen kelak, jadilah orang budiman dan mulia seperti ular menyusur akar. Ular biar mati, tanah jangan lekuk, kayu jangan patah yang bermaksud, selesailah masalah dengan cara bijaksana. Jelaslah, untung nasib calon bergantung kepada pengundi, untung sabut timbul; untung batu tenggelam.

     
Wangsa Perkasa : Seperti bangsa lain di muka bumi ini, Wangsa Melayu juga banagsa yang Allah ciptakan. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 antara lain meminta kita berkenal-kenalan antara satu sama lain. Wangsa Perkasa tetap konklusif dan konsisten.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan