" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Khamis, 18 Ogos 2011

Kesetianegaraan ( Patriotisme )

      Apabila menulis tentang Kesetianegaraan, penulis teringatkan kursus yang pernah dihadiri. Dalam kursus tersebut penulis diperdengarkan dengan 2 buah lagu berikut. Kepada yang pernah dengar, anggaplah ia sebagai 'menyegarkan semula' dan kepada yang belum pernah dengar, cubalah hayati lirik lagu tersebut kerana Semangat Kesetianegaraan terkandung di dalamnya. Selamat mendengar....

   
      Kesetianegaraan mempunyai ciri ritualnya untuk disemaikan ke dalam sanubari masyarakat khususnya golongan muda. Kesetianegaraan ini tidak dapat lari daripada maksud kecintaan atau rasa tanggungjawab dan kesediaan berkorban untuk negara dan bangsa. Kesetianegaraan ini merupakan suatu ungkapan simbolik yang menyatakan bahawa rakyat perlu memiliki rasa bangga terhadap negara tempat tumpah darahnya. Sebagai warganegara, seseorang itu wajib menjunjung tinggi nama baik negaranya dan bukannya memburuk-burukkan negara di luar negara.

                       Cuaca gerimis mendamaikan Pelancaran Bulan Patriotik pada 15 Ogos yang lalu.

      Setiap kali menjengah bulan Ogos, paling hangat diperkatakan ialah patriotisme. Pada ketika inilah rakyat Malaysia disarankan tampil mempamerkan semangat patriotisme.Akan tetapi, sejauh manakah pemahaman rakyat akan kesetianegaraan itu? Adakah cukup dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang atau mengingati pengorbanan wira-wira terdahulu?
   
       Kadang-kadang kita sendiri kurang bersikap patriotik terhadap bahasa kebangsaan. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa juga menunjukkan bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa negara. Sehubungan denagn itu, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara. Alangkah sedih jika kita lihat masih ramai warga negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara.Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan kerana bahasa ini adalah bahasa perpaduan yang boleh mengukuhkan rakyat Malaysia seterusnya meningkatkan semangat kesetianegaraan.

Pada pagi Sambutan Bulan Patriotik selain cuaca gerimis, pokok yang berbunga dan banyak bunga yang gugur ke bumi seolah-olah perlambangan generasi muda yang sedang mekar berkembang, juga perwira-perwira yang gugur ke bumi menentang penjajah.

      Ucapan perasmian Sambutan Bulan Patriotik Peringkat Institusi Pendidikan tempat penulis bertugas disempurnakan oleh Dato' Azumu b Hj Tak ( dua dari kiri ).Antara ucapan Dato.ialah meminta para pelajar mengingati pemimpin silam dan mengekalkan perpaduan antara kaum. Jelas Dato' bahawa antara kaum boleh berbaik.
      Sementara itu, dalam ucapan Pengetua ( tiga dari kiri ), beliau menegaskan nikmat kemerdekaan sukar digambarkan dengan lidah atau perasaan dan hanya akan dirasai dengan menjalani penghidupan.Seterusnya beliau menyatakan bahawa generasi Y kini adalah generasi pewaris bangsa dan teraju kepimpinan akan datang. Oleh itu, mereka kena sedar kemerdekaan ini tidak dapat dipertahankan jika lupa sejarah dan lupa jati diri. Beliau mengingatkan pelajar bahawa mereka perlu merdeka dalam aspek hati dan perasaan kerana kini penjajahan adalah dalam bentuk baru akibat proses globalisasi.

                Seekor burung merbuk dilepaskan sebagai gimik perasmian Sambutan Bulan Patriotik

Deklamasi Puisi gabungan guru dan pelajar menyemarakkan lagi Majlis Sambutan Pelancaran

      Generasi pascamerdeka dilihat tidak begitu menghayati semangat kesetianegaraan. Masih ramai daripada mereka tidak memahami pengertian hari kebangsaan.Perkara ini akan menghakis rasa kesetianegaraan dalam kalangan generasi pewaris ini.Kita harus ingat bahawa rasa kesetianegaraan sebagai salah satu jati diri bangsa kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kebudayaan. Jika ia dapat disebatikan dalam jiwa setiap rakyat, sudah tentu perpaduan rakyat menjadi lebih kukuh dan utuh.

      Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab pendidik seperti penulis dan sahabat-sahabat yang lain menggembleng tenaga untuk menghidupkan norma kesetianegaraan itu semula kerana bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

                              Pakaian Pendidik pada majlis ini bertemakan Warna Bendera Malaysia

                                                                 Bicara Kemerdekaan
                                                     Pameran bertemakan Kemerdekaan

                                                             Pertandingan Mewarna
     
      Kesimpulannya, Malaysia telah berjaya mengisi erti kemerdekaan dengan kemakmuran dan kesejahteraan dan keadaan ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk berebut peluang yang terhidang. Perkara yang mengecewakan apabila negara dalam kesukaran tiada yang tampil bersemangat membanteras petualang-petualang. Maka benarkan kata Mantan Perdana Menteri bahawa Perjuangan Kita Belum Selesai kerana hendak mengisi kemerdekaan banyak rintangan yang perlu dihadapi....


1 ulasan:

  1. Panglima berbesar hati memuatkan twitterfeed blog ini dalam senarai blog yang diauto twitterfeed kan dalam twitterfeed panglima.

    jemput melawat blog panglima dan memberi peneguran kesilapan tatabahasa.

    sekian wassalam.

    BalasPadam