" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Khamis, 7 Julai 2011

Muafakat dan Suasana Kondusif

      Jika ditolak hari sabtu dan ahad, masa yang dihabiskan di tempat kerja hampir separuh hari. Oleh itu pastinya kita menginginkan  suasana selesa, tenang dan gembira. Jika mahu keselesaan , kita boleh sediakan ruang pejabat yang luas, perabot mencukupi dan peralatan canggih. Namun penulis berpendapat, jika kita mahu keseronokan dan kepuasan bekerja, kita perlu mengutamakan muafakat. Muafakat itu sendiri mempunyai pelbagai nilai diri pekerja seperti bertolak ansur, berfikiran positif, baik prasangka dan saling menghormati.

     Penulis juga berpendapat keselesaan dan keseronokan bekerja mampu mewujudkan suasana bekerja  kondusif yang menjamin kualiti perkhidmatan da pengurusan dalam organisasi. Penulis ingin mengajak sahabat-sahabat membayangkan jika kita melangkah masuk ke tempat kerja, melihat wajah ceria rakan, mesra dengan tutur kata dan ucapan salam, saling bertanya khabar, bertukar pandangan dan mudah membantu. Sudah tentu ia menyuntik semangat bekerja sehingga waktu yang panjang bagai tidak terasa. Berbanding apabila melangkah masuk melhat wajah masam, sinis dan tutur kata menyakitkan hati.

      Suasana bekerja yang didukung oleh nilai, sikap dan hubungan baik mampu menatijahkan kerja secara bermuafakat. Pepatah menyebut, 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.' Muafakat adalah imej baik bagi pengurusan organisasi. Ia membuka peluang kepada bekerja dengan bermotivasi, keseronokan dan kepuasan yang dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja. Justeru bagi menghasilkan muafakat kerja, mulakan dengan memupuk nilai itu dalam diri kita.
     
      Kesimpulannya, bercita-citalah menjadi individu yang mencetuskan kegembiraan dan keselesaan kepada rakan selain berusaha untuk tidak menimbulkan masalah dalam perhubungan serta persekitaran kerja. Itulah yang diharapkan oleh penulis daripada sahabat-sahabat sekalian. Sekian....

1 ulasan:

  1. "Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya." Terima kasih kerana membuat saya berfikir sejenak walaupun tidak lagi menggunakan dakwat...

    BalasPadam