" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 1 Julai 2012

Seronok Kerja 5 - Biar luka di dada, jangan luka di belakang.


      Tajuk entri di atas berdasarkan peribahasa yang membawa maksud biar kalah selepas melawan, jangan kalah kerana melarikan diri. Apatah lagi dalam kita mencari kebenaran, kadang-kadang berkehendakkan kita  melawan atau berusaha.

      Benar juga apa yang dikatakan oleh SelagiAdaGula dalam ruangan komen entri Seronok Kerja 4 - Biar putih tulang. Kata SAG ; ada kala kebenaran tidak memihak kepada kita.Penulis setuju dengan komen beliau. Kini banyak orang memperkatakan  tentang persepsi.Perkara yang tidak benar boleh jadi benar jika persepsi ramai menyatakan ia benar. Sebab itulah diperhatikan pada masa ini perang persepsi amat hebat. Jika tidak pandai menapis dan menerima bulat-bulat sesuatu perkara, maka benarlah kata SAG iaitu, ada kala kebenaran tidak memihak kepada kita. Tambahan pula, apabila keadaan terdesak dan mendesak, kebenaran mungkin tidak tertegak.

      Apa yang menariknya, kita selalu akur dengan perintah. Kita juga amat menjaga hati dan tidak mahu ia berterusan. Kita selalu percaya kebenaran itu akan muncul juga. Cuma masa yang akan menentukan. Yang baiknya mengenai suatu perkhabaran yang buruk, adalah ia boleh berubah menjadi perkhabaran yang baik sekiranya sikap diubah. Kata orang pandai, kemenangan hanyalah milik orang yang berusaha. Antara usaha ialah dengan kata. Katakanlah yang benar, walaupun pahit untuk dikatakan.

      Menulis perkataan kata, penulis teringat sajak Kata-kata dalam KOMSAS tingkatan 3, bunyinya seperti berikut:-

      Kalau kita dicerca dengan kata, jangan kita diam tak terkata.
      Pertahankan maruah kita, lawan kata dengan kata.
      Kalau mereka mengherdik dengan kata, carilah daya kata.
      Kalah kita jangan kerana putus kata.
      Kalau hidup mahu terbela, pandailah mengungkap kata.

     Setakat ini dulu komen balas penulis. Tiga perkataan yang menarik perhatian penulis iaitu kebenaran, kemenangan dan ubat. Ubat yang paling mujarab untuk kemarahan adalah doa yang panjang.

Wangsa Perkasa : bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Dialah hiasan di waktu senang dan perisai di waktu susah.

1 ulasan:

  1. Sangat setuju dengan kata-kata dari KOMSAS Ting 3, dan sememangnya benar sebab kata-kata yang ditutur dari lidah yang tidak bertulang ini seperti kata pujangga Arab sangat tajam malah lebih tajam dari mata pedang,jadi, perlu pandai mengungkap kata ...berkata-kata supaya jangan kata itu merosak budaya, bangsa, agama dan memisah hubungan sesama kita.
    Biar luka di dada, nampak dan boleh dicari penawarnya, tapi terlajak kata...sekali terluka selamanya berbekas di hati.

    BalasPadam