" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 15 Julai 2012

Sempurna ? Asalkan majoriti suka.

      Sempurna ? Macam mana ? Markah penuh 10. Orang kata membaca membentuk keperibadian, menulis membentuk kesempurnaan. Mungkin sebab itulah penulis menulis.... mencari kesempurnaan. Ada pula orang lain kata, kita tidak perlu menjadi sempurna sepanjang waktu agar orang menyukai kita. Sesetengah orang pula berkata, kebaikan hati lebih penting daripada kesempurnaan. Semua orang mengidamkan kesempurnaan.

      Selagi namanya manusia, kesempurnaan sukar dicapai. Tambahan pula, masa berlalu begitu pantas dan sentiasa mendahului kesempurnaan itu sendiri. Hari ini kita kata sempurna, tapi hari esok tidak lagi.

     Jika melibatkan angka, kesempurnaan boleh diukur, contoh 5 + 5 = 10. 1 + 1 = 2. Andai ditulis
1 + 1 = 1, tidak sempurnalah jawapannya. Walau bagaimanapun, kalau ada orang kata 1 + 1 = 1 betul dan disokong dengan contoh, mungkin kita akan berfikir dua atau tiga kali. Orang ini tidak sempurna akalnya atau melangkaui kesempurnaan.

     Dalam aspek tertentu, angka satu boleh jadi penentu, contoh 50 dan 51. Kelebihan angka satu boleh menjadikannya majoriti. Kalau dalam pilihanraya, kelebihan satu membolehkan kerajaan dibentuk.Andai perkara ini berlaku, apa yang hendak kita katakan tentang kesempurnaan.

     Jadi, dalam hal-hal duniawi, usahlah terlalu taksub dengan markah sempurna 10 tersebut.Orang kata, kita bukannya sempurna. Perkara yang perlu diusahakan adalah penambahbaikan.Begutu jugalah dalam organisasi; biarlah dua atau tiga orang tidak suka, asalkan majoriti suka.

     Walaupun pepatah kata cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, namun beberapa orang ini sengaja menganggah pepatah ini. Kalau boleh biar semua orang dengar hatta ketua organisasi sekalipun. Kadang-kadang ibarat rebung tidak miang, bemban pula miang, maknanya yang terlibat diam, orang lain pula yang bising. Orang yang bising pula bak biduk upih, pengayuh bilah bermaksud tiada keupayaan untuk melaksanakan kerja. Masing-masing ada pendapat tentang kebenaran. Kata pepatah, bolehkah matahari hendak dilindungi dengan nyiur yang bermaksud; kebenaran tidak mungkin dapat disembunyikan.  Jadi, tunggu dan lihat sahaja.

     Perkara sebegini merupakan asam garam organisasi. Hal ini dianggap biasa dan sekiranya tidak berlaku, ia adalah luar biasa. Cerita-cerita gosip ini akan berlalu bersama angin yang lalu dan dianggap gosip basi. Apa yang penting menurut seorang ketua organisasi yang ditemui ialah kita laksanakan tugas yang diamanahkan tanpa beberapa orang ini. Hal ini kerana dibelakang kita masih ramai yang sanggup bekerja bersama . Tambahan pula, semestinya ketua organisasi seperti kayu yang berakar tunjang tak endahkan ribut, yang bermaksud; orang yang mempunyai asas kuat tidak takut susah.

     Penulis mengucapkan terima kasih kepada SelagiAdaGula kerana meluangkan masa menulis komen dalam entri Seronok kerja 5, biar luka di dada. Kata beliau; terlajak kata... sekali terluka
 selamanya berbekas di hati. Itu yang sesetengah orang kata, kebaikan hati lebih penting daripada kesempurnaan. Apapun, biar apa yang berlaku di organisasi, usahlah dibawa ke rumah ataupun disimpan di dalam hati. Biduk lalu kiambang bertaut. Doa penulis agar baik kesudahan.

      Penulis ada terbaca sebuah sajak di dalam surat khabar yang amat menarik untuk direnungi bersama. Berikut adalah sebahagian daripada sajak tersebut :-

         Jika kau tak dapat menjadi seperti batu permata yang menghiasi puteri jelita,
         jadilah seperti batu-bata yang boleh mengukuhkan kota,
         asalkan bukan batu di telaga yang berlumut tidak berharga.

         Jika kau tak dapat menjadi lebah yang mengeluarkan madu,
         jadilah seperti lembu yang boleh memberi susu,
         bukan seperti pacat dan lintah yang hanya menghisap darah.

Wangsa Perkasa : Bukanlah sesempurna mana. Jika dapat menjadi penulis......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan