" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 26 Mac 2011

Kuala Lumpur, Ikatan Kekeluargaan dan Hospital Kuala Lumpur

      Suatu hari pada 7.3.2011, adik ipar penulis yang berada di pusat pemulihan orang kurang upaya penglihatan  di serang epilepsi. Adik ipar penulis hilang penglihatan apabila berlaku pendarahan pada retina mata beliau. Sudah hampir 3 tahun dia menjadi buta. Apabila mendapat berita tersebut, penulis bersama isteri serta dua anak perempuan telah bergegas ke Kuala Lumpur.
      Sebut sahaja Kuala Lumpur, ia akan merisaukan penulis sebab rangkaian jalan rayanya yang bersimpang siur akan menyebabkan penulis sesat. Lagu Kumpulan Kembara Sesat di Kuala Lumpur terdengar-dengar di minda.  Belakangan ini, semakin kerap penulis perlu ke Kuala Lumpur samada berkursus/ mesyuarat atau hanya sekadar berjalan-jalan. Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur benda pertama yang penulis capai adalah peta Kuala Lumpur. Sempat juga penulis melihat lokasi Hospital Kuala Lumpur.Jalan yang berlegar di fikiran penulis adalah Jalan Raja Laut. Jalan ini yang penulis biasa.
      Apabila berada di Sungai Buluh, penulis minta isteri supaya menghubungi adik ipar. Zam, adik ipar penulis memang mahir selok-belok jalan di Kuala Lumpur ini. Sebut sahaja jalan, hotel, jejambat, simpang, lampu isyarat , semua dia tahu. Dialah talian hayat apabila perlu ke Kala Lumpur.Dia minta penulis melalui PWTC dan terus ke bulatan Jalan Pahang.Siap beritahu berapa jejambat yang perlu dilalui. Dia memang handal. Penulis selamat sampai ke Hospital Kuala Lumpur tanpa sebarang masalah atau tidak sesat di Kuala Lumpur.
      Hospital Kuala Lumpur merupakan sebuah bangunan lama, sesak dengan kereta dan jalannya agak sempit.Memang payah hendak dapatkan parkir di HKL. Penulis sekeluarga terus ke unit rawatan rapi (ICU) kerana adik ipar penulis ditahan di sana.Walaupun sampai pada pukul 4.00 petang tetapi masih perlu tunggu sehingga waktu melawat pada pukul 4.30 petang, barulah kami dibenarkan untuk melawat. Itupun cuma 2 orang sahaja. Sementara menunggu di luar bilik ICU, seketika keadaan menimbulkan tandatanya penulis kerana kelihatan Ketua Polis Negara dengan beberapa pegawai polis pantas masuk ke ICU. Kami yang menunggu di luar dikejutkan dengan bunyi perkataan yang kuat iaitu " beri laluan " "beri laluan". Dalam fikiran penulis terlintas mungkin sesuatu perkara telah berlaku sehingga Ketua Polis Negara turun ke ICU.
      Tibalah giliran penulis melawat adik ipar yang diserang epilepsi. Penulis melihat mukanya sembab, mungkin kerana kesan jatuh. Penulis melihat kemudahan di bilik ICU lengkap serba serbi. Dengan kelengkapan yang dikawal komputer, pasti pesakit akan sentiasa dipantau rapi. Adik ipar penulis berkata, walaupun hospital ini nampak lama tetapi ia dilengkapi dengan peralatan yang canggih.
      Seperkara lagi, penulis melihat ikatan kekeluargaan sebelah isteri penulis amat rapat sekali. Sepupu isteri penulis yang kebetulan seorang jururawat di HKL telah menolak untuk pergi berkursus walaupun telah berada di atas bas untuk berangkat. Begitu juga dengan adik beradik yang lain yang begitu prihatin sekali dengan kesihatan adik bongsu mereka. Semenjak kematian ayah dan ibu  mereka,  ikatan kekeluargaan semakin kukuh terjalin. Begitu juga dengan sepupu mereka yang bergegas datang dari Melaka.

      Kesimpulannya, cerita ini memberi pengajaran kepada penulis iaitu jika suatu pekerjaan perlu dilakukan, ia perlukan perancngan yang rapi dan jangan lupa untuk bertanya. Kita juga tidak boleh menilai sesuatu itu hanya dengan tanggapan pertama. Ikatan kekeluargaan yang kukuh dan utuh akan memberi kekuatan dalaman yang tidak boleh digambarkan. Perkara-perkara yang disebutkan di atas boleh dijadikan ukuran untuk menjadi wangsa perkasa. Sekian. Jumpa lagi dicerita berikutnya.
     
     
     
     
 

1 ulasan:

  1. terharu membaca catatan di atas. Orang yang sakit memang sangat memerlukan sokongan keluarga. ikatan kekeluargaan ibarat jari jemari tangan kita yang saling memerlukan. ikatan kekeluargaan adalah sesuatu yang sangat berharga dan tiada tolok bandingnya. Oleh itu sayangi keluarga anda tak kira siapa pun mereka.

    BalasPadam