" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 30 Januari 2012

Kaki 3 dan Dia


meneliti borang opsyen

      Antara SSM dan SBPA, air kakinya tidak sama.Harapan penjawat awam terhadap SBPA amat tinggi terutama untuk meningkatkan taraf hidup dan perubahan skim ini diharapkan tidak seperti kaki untut dipakaikan gelang. Penjawat awam menyambut baik usaha kerajaan menyemak semula SBPA. Kelak, semakan semula SBPA pasti dapat memuaskan hati semua pihak.Apabila timbul rasa ketidakpuasan hati dikuatiri akan bertambah banyak kaki lawan, kaki menyumpat, kaki belit, kaki gaduh dan kaki bangkang. Kepada mereka ini, ingatlah pesan bestari; berjalan peliharakan kaki. Hasil semakan  SBPA nanti, akan lahirlah penjawat awam yang cepat kaki dan bukannya berat kaki. Penulis yakin keceriaan wajah akan jelas terpancar tiga bulan lagi.

Guru turut bersyukur dan berterima kasih atas pemberian
   
       Sejarah dan pengalaman lepas menyedarkan kita bahawa untuk berjaya sangat sukar, untuk gagal sangat mudah bak kata pepatah mendaki bukit berkaki dua, menuruninya berkaki seribu.Kredit sepatutnya diberi kepada kerajaan kerana telah berjaya mengharungi detik sukar dan berjaya membina tamadun bangsa. Walaupun melalui detik sukar , berkat sabar dan ikhlas  'telaga di kaki bukit' telah ditemui. Syukur dan terima kasih kerana jiwa rakyat difahami dan diselami melalui pemberian 'telaga' (rezeki). Antaranya seperti bonus sebulan gaji, RM 100.00 untuk pelajar sekolah, BRIM dan terbaru SARA 1Malaysia. Ibu penulis turut menerima BRIM dan hasrat beliau untuk ke klinik pakar turut tercapai.

      Gagasan atau idea PM ini sepatutnya dipuji dan disokong kerana ia mampu mengurangkan beban hidup rakyat yang rata-rata berpendapatan rendah. Hal ini demikian kerana kebanyakan rakyat berselimut kain cukin; ditutup kepala kaki terbuka, ditutup kaki kepala terdedah.Dalam banyak perkara yang telah dilakukan masih ada umat bangsa ibarat meninggalkan kura-kura di kaki, mengejar burung terbang.Kelak nanti tidak ada apa yang tinggal untuk diwariskan.

      Golongan ini asyik membicarakan rumput di halaman rumah orang, padahal di halaman sendiri rumput sampai ke kaki tangga.Dalam aspek lain, langit menimpa kepala, bumi memegang kaki. Terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahnya.Mencium tapak kaki ( minta ampun) pengubatnya.

     Akhirulkalam, punyalah baik orang kita hingga dikatakan kita terbuka, bersederhana dan bertoleransi. Wangsa Perkasa apabila buat baik berpada-pada kerana apabila diberi betis, mungkin ada yang berkata paha pun hak mereka. Jika itu terjadi ' apa nak dikata '


Cerita kaki.
                  Penulis berpeluang menghadiri Program Tunai Janji MB Perak pada 29. 1. 2012. Melalui penceritaan beliau, penulis dapat rasakan 'titik sentuhan' MB Perak ini. Hati beliau sememangnya ikhlas.
Ingin sekali penulis menulis tentang hati.

Isnin, 9 Januari 2012

Tentang Kaki 2 dan Dia


      Tahun 2011 telah berlalu dengan 1001 peristiwa positif dan negatif. Segala rintangan dan cabaran telah berjaya ditempoh. Hal ini mendewasakan kita. Kemakmuran negara juga telah dinikmati dan dikongsi bersama. Contohnya bantuan RM 100.00 untuk murid-murid sekolah, baucer buku RM 200.00, bonus setengah bulan gaji kepada penjawad awam, bantuan rakyat 1Malaysia berjumlah RM 500.00 dan sebagainya membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat. Kesimpulannya, kita telah melangkah dengan kaki kanan ke tahun 2012.Tahun ini diharapkan membawa seribu satu tuah kepada agama, bangsa dan negara.

      Membudayakan amalan gaya hidup sihat tentunya sentiasa diberi perhatian pada tahun 2012.Jika tidak masakan jangka hayat masyarakat kini semakin meningkat. Walau bagaimanapun dalam kes-kes tertentu ia seperti telah sebati dalam diri. Contohnya, lihat saja kes penyakit patah tulang kaki 50 kali yang dialami oleh Nurul Fatihah Hashim 16 tahun. Perkara yang menarik perhatian penulis ialah kejayaan beliau yang mendapat 5A dalam UPSR. Kejayaan boleh dicapai kalau ada kesungguhan.

 
   

    Drama Tentang Dhia masih menjadi bualan dalam kalangan peminat. Antara topik yang menjadi bualan ialah ketidakpuasan hati segelintir peminat berkaitan mentua yang menggunakan ilmu hitam terhadap menantunya. Persoalannya mengapa tiada apa-apa yang terjadi kepada mentua sedangkan tragedi hanya menimpa kepada yang terkena ilmu hitam. Betul juga apa yang dia katakan. Peristiwa 25 paku dalam kaki tidak dapat dirungkai oleh perubatan moden. Kepada yang terkena sahaja yang tahu akibatnya. Kita juga sering disogokkan dengan filem dan drama berkaitan ilmu hitam ini.Adakah ia memang menjadi budaya kita?


      Akhir sekali penulis merakamkan penghormatan yang tinggi kepada adik Muhammad Hadi Darus 15, yang dilahirkan cacat kedua-dua belah tangan dan menggunakan kaki untuk menulis berjaya memperoleh keputusan PMR 9A. Benarlah kata orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa  tahu.


Cerita kaki
      Nasib kita tidak serupa. Ada yang hidup mewah dan ada yang dihimpit kesempitan.Dalam negara yang makmur ini, ada insan gelandangan hidup di kaki lima.