" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 3 Mac 2012

Kisah Hati 3

Pengajaran 1

      "Cikgu, hati itu apa." Tanya seorang pelajar.
      " Hati. Hati itu perasaan. " jawab penulis.
     " Cikgu, mungkin hati dia sedang tergores. " sambil menunjuk ke arah seorang lagi pelajar.
      " Kenapa ?" Sambil melihat ke arah pelajar yang dimaksudkan.
      " Bapa dan emak dia sudah bercerai. Samalah seperti Iman Zulaikha dalam novel ini." jawabnya.

Pemerhatian penulis tertumpu kepada pelajar yang dimaksudkan itu. Pelajar ini mungkin sedang makan hati berulam rasa (sangat sedih). Tapi melalui riak wajah, tidak pula menunjukkan debaran hati ( resah dan gelisah). Harap-harap gadis ini kuat hatinya ( cekal ). Kata hati penulis.

      " Siapa boleh jelaskan tema novel Erti Sebuah Pengorbanan karya Zaihanim bt Zainal Abidin ini," tanya penulis kepada pelajar-pelajar.
      " Saya cikgu. " Pelajar yang menjadi perhatian penulis tadi mengangkat tangannya.
     " Ya, sila beri pendapat awak, " pinta penulis.
      " Pada pendapat saya cikgu, novel ini bertemakan kegigihan dan kecekalan hati seorang anak yang menjadi mangsa perceraian kedua-dua orang tuanya dalam menghadapi cabaran. Iman Zulaikha berusaha dengan sabar untuk menyatukan bapa dan ibunya semula. Iman juga tidak mengalah terhadap setiap masalah yang datang.Dia tetap memberikan tumpuan tergadap pelajarannya. Akhirnya dia berjaya. Amacam cikgu," jelas pelajar itu.

      " Bagus." Lega hati penulis. Pelajar ini dapat mengawal hatinya.
      " Dengar semua. Kisah remaja seperti Iman Zulaikha ini boleh dijadikan contoh. Lihat bagaimana dia mengharungi segala cabaran dan rintangan demi  mencapai matlamat dan kejayaan. Itulah erti sebuah pengorbanan kepada dia. Awak pula bagaimana?  Tepuk dada tanya hati." Penulis tutup pengajaran pada hari itu.

Pengajaran 2

      " Cikgu ".
      " Ada apa yang hendak ditanya. Kan saya suruh baca secara senyap dan hayati cerpen ini." kata penulis.
      " Cikgu ni baik hati," kata pelajar yang sama semasa perbincangan novel ' Erti Sebuah Pengorbanan ' dahulu.
      Jawab penulis pula, " semua cikgu baik hati dan layan semua pelajar sama. Tak ada beza".
      " Hari ini cikgu baik hati tapi hati sedih. Sebab wajah cikgu nampak muram. Tak macam selalu ", jelas pelajar itu.

      Penulis terdiam sebentar. Kata-kata pelajar ini seolah-olah menunjukkan bahawa wajah adalah cermin hati. Hal ini juga seperti kata pepatah muka manusia itu sebaik-baik perisai bagi hati. Wajah muram penulis mungkin kesan daripada pembacaan cerpen ' Anak Penggunting Rambut ' yang baru saja penulis habis baca sebelum ke kelas ini. Cerpen ini memang menyentuh hati penulis. Cerpen ini juga penulis minta pelajar-pelajar baca secara senyap dan cuba hayati.

      " Kan saya suruh awak baca secara senyap dan cuba hayatinya ", kata penulis kepada pelajar tadi dan terus berjalan ke pelajar lain.

      Suasana kelas tidak seperti selalu. Keadaan senyap. Kedengaran hanya suara dari kelas sebelah. Soalan yang berlegar dalam fikiran penulis adakah mereka ini sedang menghayati cerpen atau hanya menurut arahan penulis supaya senyap. Melalui tingkah laku, riak wajah dan bahasa badan, penulis jangkakan mereka cuba menghayati cerpen ini.


     Sebelum masuk waktu asar, jenazah Manis dikebumikan.
     Pada petang yang penuh kesayuan itu, aku menggali lubang kecil. Rambut Manis yang kukutip di hamparan  cadar, di celah-celah sikat rambutnya, disebalik sarung bantaalnya, semuanya kutanam. Manis abah ingin membelai rambutmu. Abah tak mahu menggunting rambutmu lagi.
     " Manis sayang akan rambut ni, abah." ujar Manis perlahan.
     "Manis faham sekarang, harga sehelai rambut buat abah, Manis sendiri mula berasa sayang apabila sehelai rambut Manis diterbangkan angin. Manis tak terdaya untuk menyimpan rambut Manis dengan baik, abah. Rambut Manis gugur setiap hari."
      "Manis tak mampu abah..." Ucapan terakhir Manis itu terakam kuat dalam sanubariku.
     Manis, abah sudah terlalu  tua untuk meneruskan kerja menggunting rambut ini. Biarlah abah berhenti di sini. Abah tak mahu memegang gunting lagi. Abah hanya mahu merinduimu, Manis.
     Manis, anak abah, walaupun tak berambut pun, senyumanmu tak berubah. Biarlah kau sentiasa manis begitu. Semoga kau tidak terkilan menjadi  anak kepada penggunting rambut.
     Kenapa aku tidak pernah maklum bahawa Manis menghidap leukemia?
                                                                   
                                               ( petikan cerpen  'Anak Penggunting Rambut' )

      Ketika penulis habis membaca cerpen ini dan ketika keluar dari kelas, hati penulis terkenangkan anak rakan sejawat penulis yang menghidap leukemia. Hati sering berdoa agar dia boleh sembuh dan melalui hari-hari seperti remaja lain.


Cerita Hati
                6.45 am (2.3.2012) Sebaik sahaja  kereta  dihidupkan untuk pergi bekerja, penulis menerima SMS yang tertulis anak rakan sejawat penulis meninggal dunia. Hati penulis tersentak. Dalam perjalanan ke tempat kerja hati penulis teringatkan cerpen Anak Penggunting Rambut. Anak rakan sejawat penulis juga meninggal dunia disebabkan leukemia. Alfatihah... Di tempat kerja juga ada berlaku ketidakpuasan hati. Bolehkah hati yang panas menjadi  sejuk? Caranya mungkin seperti peribahasa berikut iaitu batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Harap-harap ia berjaya.


     ...............................
     Sayang, damailah kau di sana, di sisi Tuhan Yang Esa.
                                                             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan