" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Jumaat, 10 Jun 2011

Budaya Apa Ya ? Budaya Ilmu dan Budaya Penyayang

       Bulan April  2011 genap setahun  penulis berada di institusi pendidikan yang baru. Selama setahun ini banyak pengalaman baru yang dapat dipelajari. Antara yang menarik perhatian penulis sudah semestinya pengalaman berinteraksi dengan pentadbir dan staf baru. Selama setahun ini, antara soalan yang sering ditanya oleh sahabat-sahabat  adalah tentang budaya yang ingin diwujudkan di institusi baru ini. Budaya apa ya?
      Hasil pemerhatian penulis melalui borang pemantauan yang diterima, budaya yang ingin dilihat di institusi pendidikan ialah Budaya Ilmu dan Budaya Penyayang.
      Dalam membina Budaya Ilmu, membaca adalah kuncinya. Penulis terbaca kata hikmah berikut iaitu :-            

" Membaca menjadikan diri anda sebagai seorang lelaki, menghadiri persidangan sebagai persediaan menjadi lelaki yang sebenar dan menulis menjadikan anda lelaki sejati."


      Sebagai renungan juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya ( meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat." - Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

      Dalam pembinaan Budaya Ilmu, penulis ingin sertakan Gurindam berikut :-

      Jika anda jadi pelajar, jangan malas hendak belajar.
            Jika anda menuntut ilmu, jangan sekali berasa jemu.
                   Jika belajar tidak jemu, banyak ilmu akan ditemu.
                         Jika rajin membaca buku, otak cerdas tidak beku.
                                Banyak membaca fikiran kaya, rajin berusaha pasti berjaya.
                                      Berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan suka tangguh-tangguh.
                                            Sudah tahu belajar lagi, banyak untung tiada rugi.

      Dalam konteks organisasi tempat penulis bertugas, Program Nilam yang dilancarkan pada 14 Februari 2011 dan Bulan Akademik sepanjang bulan April merupakan antara langkah yang dapat membudayakan ilmu di organisasi. Selain itu, Program Pusat sumber yang akan dilaksanakan, dapat memberi nilai tambah kepada pembinaan Budaya Ilmu.
      Kesimpulannya, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Membaca Memberi Pengetahuan. Pengetahuan diikaitkan dengan Kuasa. Ilmulah yang menentukan watak dan pembangunan insan. Manusia dikenal dengan nilai ilmu yang ada padanya. Malah ilmulah yang menentukan martabat dan wibawa diri seseorang. Ilmu jugalah yang mencirikan sesuatu tamadun manusia dan tamadun sesuatu bangsa. Wangsa Berilmu, Wangsa Perkasa.


     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan