" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 5 Mac 2013

Pilihan - Sabah ; penempatan

      Pilihan pertama Sabah. Pilihan ke-2 juga Sabah. Itulah pilihan penulis semasa mengisi borang penempatan setelah tamat program Diploma Pendidikan. Kenapa Sabah? Ada orang kata cepat proses penempatan dan pasti dapat. Apabila surat sampai ke rumah, penulis tidak terkejut cuma persolannya di mana? Menjadi seorang pendidik bukanlah pilihan pertama kebanyakan guru. Mungkin kerana zaman meleset lewat 1980an menyebabkan kerjaya perguruan menjadi pilihan. Tapi tak apa bak kata orang tak kenal maka tak cinta. Bagi penulis, menjadi seorang guru antara cita-cita penulis yang tercatat dalam kad 001 sejak bersekolah lagi.

      Sabah menarik juga untuk diterokai. Sabah kaya dengan adat dan budaya. Gunung Kinabalu memang antara impian penulis untuk sampai ke kemuncaknya. Sabah negeri di bawah bayu. Lagu tentang Sabah sering didengari di TV. Penduduk yang mengandungi lebih 35 etnik hidup dalam harmoni. Lagu jambatan tamparuli menjadi siulan penduduknya. Memang berbalai ditempatkan di sini. Tentu banyak cerita yang jadi kenangan manis atau pahit.

     ' Hati-hati apabila di sana. Pandai-pandailah bawa diri. Ilmu perlu penuh dalam dada. Jangan kacau anak dara orang'. Itulah antara pesanan yang disampaikan oleh ibu dan adik beradik penulis. Ada juga cerita-cerita yang kurang enak didengar. Semua kata-kata tersebut,  penulis jadilah panduan. Ilmu apa yang ada dalam dada penulis? Ilmu geografi adalah. Asap rokok juga bersarang dalam dada. Apabila telah dipanggil bertugas maka panggilan tersebut penulis sambut demi agama bangsa dan negara. Lagipun bukannya pergi berjuang di medan perang, cuma berjuang di medan pendidikan.

      Menaiki kapal terbang merupakan pengalaman pertama penulis. Hati sedikit gembira apabila ramai kawan-kawan menaiki kapal terbang yang sama. Kami dikumpulkan di SBP Sabah di Kota Kinabalu. Selepas taklimat, penulis dikehendaki menaiki sebuah kapal terbang lagi. Fokker 50 meluncur meninggalkan Kota Kinabalu. Penulis mula pening kepala apabila melintasi 'air pocket' sebab kapal terbang akan menjunam tiba-tiba. Rasa nak melayang nyawa dibuatnya. Hampir 40 minit kemudian kapal terbang mendarat di lapangan terbang yang agak kecil, dan bandarnya agak kecil yang dikenali Lahad Datu. Menung panjang juga dibuatnya

     Catatan terhenti apabila berita di Buletin Utaama TV3 menunjukkan kapal terbang pejuang negara menggempur sebuah kawasan di Lahad Datu. Ada pihak menuntut penempatan.

Wangsa Perkasa; Sabah menjadi pilihan. Bukan hanya pihak dalam negara malah pihak luar. Tentu ada yang menarik tentang Sabah. Jika tidak dijaga keharmoniannya, Sabah boleh menjadi zon konflik. Selamat berjuang wira-wira wangsa perkasa.