" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Rabu, 25 April 2012

Hati kena seronok

   
     Alhamdulillah, syukur dengan izin-Nya jua penulis sekali lagi dipilih untuk ditempatkan di sebuah institusi pendidikan yang lain. Ia sebuah institusi pendidikan yang penuh dengan sejarah dan tradisi kecemerlangan.

      " Bagus sekolah tu, terkenal dan cakap orang putih." ujar ibu penulis. Itulah persepsi ibu penulis terhadap sekolah itu. Institusi ini sememangnya ibu penulis kenal sebab mungkin kedua-duanya hampir seusia. Cuma institusi pendidikan ini lebih 14 tahun berbanding usia ibu penulis yang berumur 86 tahun.

      Pesan ibu lagi, " di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau, mengaum. Pandai-pandailah menyesuaikan diri."

      Penulis hanya tersenyum mendengar kata-kata ibu. Itulah kata-kata perangsang yang disampaikan oleh ibu. Kata bijak pandai setiap orang memerlukan kata-kata perangsang sebagai motivasi. Kata-kata ibu akan tersemat di hati. Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang menelefon, yang memberi perangsang di blog mahupun pelajar-pelajar.
   
      Suatu hari di pasar malam, penulis bertembung dengan bekas guru. Beliau baru sahaja bersara sebagai pensyarah di IPG berdekatan. Kami saling menyapa dan beliau bertanya adakah penulis masih di tempat lama.
      " Saya baru seminggu bertukar tempat bertugas. Pergerakan setara." jawab penulis.

      "Bagus le tu. Sebagai menambah pengalaman sebelum menjadi pengetua." Kata beliau.
      "InsaAllah" Jawab penulis.
   
      " Mad, pesan saya, jangan marah orang depan orang lain. Orang tak suka. Nanti mereka tak seronok bekerja. Kita kena ada keseronokan dalam bekerja." jelas beliau.

      " Ya cikgu. Ingatan cikgu akan saya ingati. Saya mohon diri dulu." Penulis terus berlalu ke tapak pasar malam.

      " Assalamualaikum cikgu. Macam mana tempat baru. Seronok ke ?" Tegur beberapa pelajar. Mereka ini memang sentiasa penulis temui di pasar malam ini.

      " Walaikumsalam. Okay. Kita kena seronok walau di mana kita berada. Positif. Awak jangan lupa untuk belajar dan terus belajar." tegas penulis kepada beberapa pelajar tersebut.

     Peristiwa di atas dapat penulis simpulkan bahawa kita memerlukan kata-kata perangsang demi meningkat motivasi dalam sesuatu perkara. Jika kita bekerja, bertambaah rajinlah kita kelak. Seperkara lagi keseronokan dalam bekerja juga menjadi ramuan dalam berorganisasai. Hal ini sebab soalan yang sering ditanya apabila kita berada di organisasi baru ialah seronok ke....

Cerita hati ; cuba untuk menenangkan hati dan banyakkan bersabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan