" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 24 Jun 2012

Seronok Kerja 4 - Biar Putih Tulang ..


      Analogi yang ditulis oleh SelagiAdaGula dalam ruangan komen di entri Seronok Kerja 3 menarik perhatian penulis. Analogi yang diberi dalam maksudnya. Penulis mengambil masa yang agak lama untuk memahami maksud tersurat dan tersirat analogi tersebut.

      Analogi yang ditulis berkaitan pelajar dan matematik. Sudut pandangan penulis,  matematik tiada cacat celanya. Hala tujunya amat jelas. Bahasa matematik membantu visi tercapai. Tertib dan aturan disusun supaya ia mudah difahami. Langkah demi langkah jelas maksudnya. Jawapannya objektif. Matematik selalu menjadi simbol kemenangan. Dalam demokrasi, matematik sangat penting kerana ia menjadi angka penentu. Apa yang diperlukan cuma untuk memahami. Cubalah untuk memahaminya. Tentu sahaja kita akan seronok bersamanya. Mana tahu ia mungkin akan mengagumkan.

      Penulis setuju bahawa matematik telah disetkan dengan sebegitu rupa. Dari sudut pandangan psikologi apabila kita telah setkan suatu perkara itu pesimis, maka pesimislah jadinya. Pelajar tadi perlu direset kembali mindanya ke arah optimis. Dalam hal matematik, katakan bahawa matematik itu seronok untuk difahami.Maka, mudahlah ia untuk difahami.

     Kalaupun pelajar tadi boleh ditukar atau berpindah ke sekolah lain, matematik tetap ada. Kenapa? Matematik adalah mata pelajaran teras. Hendak atau tidak, ia perlu dipelajari dan difahami. Kitalah yang mesti memulakan langkah memahami matematik.

     Begitulah sedikit ulasan penulis terhadap komen SelagiAdaGula. Penulis percaya SelagiAdaGula seorang yang mempunyai semangat 3K iaitu kepintaran, kecekapan dan ketangkasan. Semangat itulah yang penulis hormati dan ingin bersama memiliki. Penulis teringat lagu ' Biar putih tulang, jangan putih mata ' nyanyian kumpulan Dinamik. Antara lirik yang menarik perhatian ....

      ......Patah pujangga biar putih tulang, jangan putih mata dan kecewa.
            Biarpun hilang ke manapun jua
            Namun semangatku
            Tetap bersamamu .....


Wangsa Perkasa : Kini, di tempat baru penulis bertugas, rakan sejawat ialah guru matematik masa bersekolah dulu. Walaupun matematik tak bagus mana, penulis tidak salahkan matematik. Masih cuba untuk terus memahaminya.

Isnin, 18 Jun 2012

Seronok Kerja 3

      Betul juga apa yang diulas oleh SelagiAdaGula iaitu ada manusia yang tak seronok melihat orang lain seronok bekerja di ruangan komen tajuk Seronok Kerja 2. Melalui pengamatan penulis yang menghadiri kursus, mesyuarat, pembacaan atau perbualan dengan ketua jabatan mengiyakan bahawa dalam setiap organisasi memang terdapat orang jenis ini. Ada saja yang tak kena.

      Perkara ini bolehlah dianggap kudis dalam organisasi. Jika tidak ditangani mungkin ia boleh menjadi barah kepada organisasi, yang akan merencatkan proses kecemerlangan. Banyak cadangan untuk mengatasi masalah ini dan ada kalanya ia sesuai mengikut konteks. Perkara ini selalunya berlaku antaranya akibat individu itu lama berkhidmat di sesebuah organisasi. Contohnya jika di institusi pendidikan seperti sekolah banyak dikatakan akan wujud 'sekolah dalam sekolah'.Mungkin suasana baru atau tempat baru dapat mengubah perspektif individu berkenaan. Hal ini selalunya berkait dengan sikap. Justeru, cubalah mulakan dengan memupuk nilai  dan sikap keseronokan bekerja dalam diri terlebih dahulu.

     Macam mana hendak benar-benar merasai keseronokan bekerja ? Ada pakar menyatakan keseronokan bekerja akan dirasaai apabila mengalami kejemukan, kesusahan, kepenatan, rungutan dan sebagainya.Tapi perkara ini berjaya diatasi. Selain itu, berusaha untuk mencapainya.

      Syukur. Bersyukur dengan kerja. Beruntung dengan kerja yang dimiliki mampu menyuburkan rasa syukur. Kalau dapat dibayangkan kesusahan membanting tulang, memerah otak dan keringat tentu sahaja kita akan seronok bekerja, apatah lagi titik peluh yang keluar adalah halal.

     Setakat ini adakah anda gembira? Cubalah untuk bergembira dan menggembirakan orang lain. Nescaya kerjapun jadi seronok.Macam mana hendak gembirakan orang lain. Bukannya susah; imbuhan, ganjaran dan penghargaan. Boleh juga dicuba 3 S ( Senyum, Sapa dan Sopan ).Selain itu, hormat-menghormati sesama rakan dan ketua jabatan. Jangan lupa berkongsi rezeki dengan keluarga dan masyarakat yang akan menimbulkan perasaan kepuasan diri sendiri.

      Akhir sekali doa. Berdoa dan terus berdoa.....

Wangsa Perkasa : Berdoa ketika dalam kesenangan atau kelapangan.

Jumaat, 8 Jun 2012

Seronok Kerja 2


      Seronok kerja? Seronok. Bolehlah. Ok. Hakikatnya, ia tidaklah semudah menyebut a, b, c atau d. Memang betul orang kata nadi kecemerlangan dalam organisasi adalah seronok kerja. Ada juga orang kata seseorang itu tidak selama-lamanya seronok kerja.

      Namapun manusia, pelbagai perasaan seperti malas, bosan, jemu dan segan menjadi lumrah perilaku manusia. Ataupun, sebab kesesakan lalulintas, perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan pentadbiran, suami di Kelantan manakala isteri di Johor, menghabiskan setengah usia dalam organisasi dan macam-macam lagi.

      Macam-macam lagi seperti tempat kerja tidak kondusif, gelap, sesak, sempit, berkongsi tempat duduk dan kualiti peredaran udara yang tidak baik, antara penyebab kita tidak seronok kerja. Perkara ini
sekaligus akan menjejaskan prestasi dan produktiviti.

      Hal ini lama kelamaan akan menimbulkan rungutan, aduan dan perselisihan mahupun konflik atau sikap menentang. Walaupun ia sebagai asam garam di tempat kerja, jika tidak ditangani secara berkesan kecemerlangan organisasi akan terjejas.

      Jadi, kita kena seronok kerja. Seronok kerja. Seronok kerja. Persoalannya, macam mana kita nak seronok kerja?

Wangsa Perkasa : masih ingat lagi seronok kerja sebagai satu nilai dalam tonggak 12.







Jumaat, 11 Mei 2012

Seronok Kerja 1



                                                     Kerja       Kerja        Kerja     Kerja

      Ada orang seronok kerja dengan kerajaan. Ada pula yang lebih seronok bekerja di sektor swasta. Ada yang lebih seronok bekerja sendiri. Ada juga yang seronok tidak bekerja. Itu ialah pendapat orang. Walau bagaimanapun, ramai pencari kerja di luar sana yang hati mereka tidak seronok kerana tidak bekerja.

      Ada anak yang dileteri oleh emak kerana malas mencari kerja. Ada emak yang risau kerana anaknya asyik bertukar kerja. Ada emak yang kuatir anaknya seolah-olah menjadi hamba kerja.Ada emak yang dikasari kerana anaknya berhentikan kerja. Ada emak yang menangis kerana anaknya tertekan dek kerja. Ada emak yang bahagia kerana anaknya pandai membahagikan kerja.

     Ada negara tidak dapat menyediakan kerja kepada penduduknya. Ada negara yang galak penduduk luar datang bekerja. Ada negara yang runtuh kerana penduduknya yang tidak bekerja bangun memberontak. Ada pula penduduk negara ini seronok yang kerjanya turun merusuh.Tidak ada kerja betul penduduk ini. Ada yang seronok buat kerja ini. Tapi ramai yang tidak seronok mereka buat kerja ini.
Kerja   Kerja    Kerja     Kerja..

Nota kerja : Kunci Kecemerlangan Dalam Organisasi Adalah Keseronokan Bekerja.

Wangsa Perkasa; di sebalik seronok bekerja ada nikmatnya. Selamat Hari Ibu..

Rabu, 25 April 2012

Hati kena seronok

   
     Alhamdulillah, syukur dengan izin-Nya jua penulis sekali lagi dipilih untuk ditempatkan di sebuah institusi pendidikan yang lain. Ia sebuah institusi pendidikan yang penuh dengan sejarah dan tradisi kecemerlangan.

      " Bagus sekolah tu, terkenal dan cakap orang putih." ujar ibu penulis. Itulah persepsi ibu penulis terhadap sekolah itu. Institusi ini sememangnya ibu penulis kenal sebab mungkin kedua-duanya hampir seusia. Cuma institusi pendidikan ini lebih 14 tahun berbanding usia ibu penulis yang berumur 86 tahun.

      Pesan ibu lagi, " di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau, mengaum. Pandai-pandailah menyesuaikan diri."

      Penulis hanya tersenyum mendengar kata-kata ibu. Itulah kata-kata perangsang yang disampaikan oleh ibu. Kata bijak pandai setiap orang memerlukan kata-kata perangsang sebagai motivasi. Kata-kata ibu akan tersemat di hati. Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang menelefon, yang memberi perangsang di blog mahupun pelajar-pelajar.
   
      Suatu hari di pasar malam, penulis bertembung dengan bekas guru. Beliau baru sahaja bersara sebagai pensyarah di IPG berdekatan. Kami saling menyapa dan beliau bertanya adakah penulis masih di tempat lama.
      " Saya baru seminggu bertukar tempat bertugas. Pergerakan setara." jawab penulis.

      "Bagus le tu. Sebagai menambah pengalaman sebelum menjadi pengetua." Kata beliau.
      "InsaAllah" Jawab penulis.
   
      " Mad, pesan saya, jangan marah orang depan orang lain. Orang tak suka. Nanti mereka tak seronok bekerja. Kita kena ada keseronokan dalam bekerja." jelas beliau.

      " Ya cikgu. Ingatan cikgu akan saya ingati. Saya mohon diri dulu." Penulis terus berlalu ke tapak pasar malam.

      " Assalamualaikum cikgu. Macam mana tempat baru. Seronok ke ?" Tegur beberapa pelajar. Mereka ini memang sentiasa penulis temui di pasar malam ini.

      " Walaikumsalam. Okay. Kita kena seronok walau di mana kita berada. Positif. Awak jangan lupa untuk belajar dan terus belajar." tegas penulis kepada beberapa pelajar tersebut.

     Peristiwa di atas dapat penulis simpulkan bahawa kita memerlukan kata-kata perangsang demi meningkat motivasi dalam sesuatu perkara. Jika kita bekerja, bertambaah rajinlah kita kelak. Seperkara lagi keseronokan dalam bekerja juga menjadi ramuan dalam berorganisasai. Hal ini sebab soalan yang sering ditanya apabila kita berada di organisasi baru ialah seronok ke....

Cerita hati ; cuba untuk menenangkan hati dan banyakkan bersabar.

Rabu, 11 April 2012

Kisah Hati 5 - Ikhlas di hati

      Guru datang dan pergi. Apatah lagi jika berjawatan. Tetapi tugas guru tetap satu iaitu mengajar. Maka, mengajar, mengajar dan terus mengajar menjadi amalan kita. Jangan jemu untuk mengajar. Pendek kata ikhlas dalam mengajar perlu ada di dalam hati. Begitulah juga penulis. Penulis selalu mengingatkan hati supaya ikhlas dalam mengajar. Pelajar boleh nampak keikhlasan kita sebenarnya. Ada juga orang bertanya penulis macam mana nak lihat ikhlas. Susah juga persoalan ikhlas ini. Penulis ada terbaca ikhlas seperti seekor semut hitam di atas batu hitam di dalam gelap gelita. Ia ada...

      Perkara inilah juga penulis jelaskan buat pertama kalinya apabila mengajar. Selain itu tegas penulis juga setiap pelajar tugas mereka ialah belajar. Oleh itu belajar dan terus belajar sepatutnya menjadi amalan setiap pelajar. Tegas penulis, hanya dengan belajar akan menjamin masa depan. Hanya dengan pendidikanlah kita dapat keluar dari putaran ganas kemiskinan.

     Selain daripada belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, sekolah juga tempat kita belajar aspek-aspek lain. Kita belajar cara beradap. Kita belajar untuk bersatu dalam kepelbagaian. Kita belajar untuk mempunyai semangat. Dalam kontek ini, kita belajar untuk mempunyai semangat Setiarian. Bentuklah ia dan pasti semangat ini akan kekal tersemat di hati.

      Semangat ini asasnya bermula apabila tautan hati antara guru dan pelajar terjalin. Jangan ada tembok pemisah. Jika ada runtuhkan ia seperti runtuhnya Tembok Berlin. Tautan hati antara guru dan pelajar merupakan 'turning point' dalam pemindahan ilmu. Tepuk dada tanyalah hati.

      Kepada Pengetua dan rakan-rakan guru, terima kasih kerana menerima penulis seadanya di institusi ini. Penulis tahu penulis tidaklah sehebat mana. Penulis sedar penulis tidaklah sebagus mana. Tetapi penulis rasa dan yakin bahawa penulis seorang penyayang dan pencinta. Penulis menyayangi dan menyintai hubungan, persekitaran, damai dan ilmu. Kalau boleh penulis mahu mengelak sebarang konflik. Pendek kata kejayaan yang gemilang adalah milik kita bersama.

      Hendak bergurindam, penulis kurang pandai. Walau bagaimanapun izinkan penulis berlagu. Lagu ini lagu yang menaikkan semangat sejak penulis dibangku sekolah hinggalah penulis menjadi pendidik. Semangat itu terus mekar di hati penulis. Lagu yang dimaksudkan bertajuk Seroja.

     Mari menyusun seroja bunga seroja hahahaha
     Hiasan sanggul remaja puteri remaja.

     Rupa yang elok dimanja jangan dimanja hahahaha
     Pujalah ia oh kadar sekadar saja.

     Mengapa kau bermenung oh adik berhati bingung
     Janganlah engkau percaya dengan asrama.

     Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
     Marilah kita bersama memetik bunga.

      Terima kasih. Akhirul kalam,
      Wangsa membaca, wangsa berjaya,
      Wangsa membaca, wangsa perkasa.
   



   

Khamis, 29 Mac 2012

Kisah Hati 4 - Hati hati di Organisasi


      Rela Hati
     
      Besar hati penulis apabila menjadi sebahagian daripada organisasi. Organisasi ini semakin dekat di hati.
Pada mulanya debaran hati tetap ada. Kini, lega hati sebab organisasi semakin mantap dan cemerlang dalam aspek visi dan misi.
Lembut Hati
   
      Rela hati, sepenuh hati, lurus hati, lembut hati, kuat hati, cerah hati, bulat hati dan memadu hati, itulah budaya kerja  yang subur di organisasi. Apabila bekerja, kita bekerjalah dengan suka hati dan bukannya kerja ikut suka bak kata pepatah 'biar badan penat, asalkan hati suka.'

Memadu Hati
     
      Kalau boleh disimpulkan budaya kerja di atas seperti kata pepatah, 'hati gajah sama dilapah; hati kuman sama di cecah.' Kalau bekerja dengan hati rela, kerja yang berat terasa ringan. Kalau bekerja kerana dipaksa, terasa sangat berat iaitu ' berat hati, beratlah tulang.'

Kuat Hati
     
      Yang penting sama ada kita hendak atau tidak hendak. ' Hati hendak semua jadi' yang membawa maksud kalau kita mahu semua dapat dibuat. Jika menyuruh orang yang tidak mahu, banyaklah pula helahnya ibarat kambing panjang janggutnya, hati enggan banyak jawaabnya. Janganlah begitu. Kadang-kadang janganlah diikut kata hati, sebab ' ikut hati mati.'

Bulat Hati
     
      Kerjaya ini berurusan dengan manusia. Cabaran kita memanusiakan manusia. Bukan senang hendak menjaga hati manusia. Tindakan kita adakala menggores hati orang atau menggunting hati orang hingga menjadi buku dalam hati dan orang itu makan hati berulam jantung. Apa yang boleh kita katakan?

Cerah Hati
      
      Oleh itu, penulis selalu mengingatkan hati supaya fikir baik-baik sebelum bertindak ' padang perahu di lautan, padang hati di fikiran. Penulis setuju dengan pepatah ' hati orang yang bodoh di mulutnya, dan lidah orang yang itu di belakang hatinya.Tegasnya, orang yang hatinya tenang selalu dapat menahan diri daripada mencari masalah.

Cerita hati :
                 Biar kain buruk dipakai, asal pandai mengambil hati. Kerjaya ini menuntut penulis mencuri hati orang. Wangsa Perkasa membelah dada untuk melihat hati.