" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 27 Jun 2011

Salam Sahabat. Bejabat Tangan Kita.




 Alhamdulillah, hasrat penulis untuk membudayakan salam dan berjabat tangan antara guru dan murid menampakkan hasil. Hal ini penulis katakan kerana ia berlaku pada diri penulis sendiri. Jika dahulu tidak ada murid yang bersalam dengan penulis semasa berselisih, keadaan telah berubah. Siap cium tangan lagi. Tidak kisah jika ia hanya lakunan, tapi perkara yang baik jika dilakukan berterusan kelak akan menjadi budaya. Aktiviti salam dan cium tangan memang penulis terapkan semasa penulis di dalam kelas. Wajib salam dan cium tangan jika murid lewat masuk ke kelas.
      Dalam kalangan guru lelaki penulis perhatikan budaya salam dan berjabat tangan ini menjadi kelaziman mereka. Sejak hari pertama penulis melapurkan diri di instutusi pendidikan ini sehinggalah sekarang, budaya salam terus kekal menjadi budaya guru lelaki terutamanya apabila berjumpa buat kali pertama pada waktu pagi di tapak perhimpunan. Justeru, membudayakan salam dan berjabat tangan  memberi nilai tambah kepada diri serta sahabat.
      Seseorang yang melakukannya tidak rugi kerana ia seolah-olah ucapan selamat, pembuka dan penutup bicara. Selain itu, ia juga sebagai ucapan kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan. Apatah lagi jika salam dan berjabat tangan dimulakan dengan ucapan salam, pastinya ia memberi impak yang positif seperti mengeratkan silaturahim.
      Hubungan baik  warga organisasi antara penentu keselesaan  bekerja. Melalui ucapan salam dan berjabat tangan, hati bersedia berbicara dan mampu mengikis penyakit hati seperti benci, prasangka dan hasad di samping memancarkan keselesaan rasa selain mendapat pahala.
      Sangat menarik jika ucapan salam dan berjabat tangan  ini dihalusi supaya menjadi mudah dibudayakan dalam kehidupan termasuk dalam organisasi. Oleh itu jadikan lidah sebagai modal perkhidmatan dan pengukuh silarurahim supaya keuntungan dunia dan akhirat dapat diraih melalui keunikan anugerah ucapan salam dan berjabat tangan.

Sekian...

Selasa, 21 Jun 2011

Kerjasama dan Perpaduan

      Selama penulis menjejak langkah di institusi ini, penulis menyeru sahabat-sahabat dan rakan sejawat supaya tidak mengabaikan kejayaan yang telah dicapai bahkan menghargai segala yang diperolehi dan melipatgandakan usaha untuk meningkatkannya.
      Dalam konteks ini kerjasama dan perpaduan berkait rapat antara kedua-duanya bagaikan aur dengan tebing. Bagi penulis, keharmonian amat penting dalam menjayakan Misi danVisi Institusi.
      Kerjasama merupakan salah satu unsur terpenting untuk mencapai perpaduan. Nilai kerjasama hendaklah dipraktikkan di institusi apatah lagi Institusi Pelajaran. Peribahasa yang menyatakan berat sama dipikul ringan sama dijinjing hendaklah dijadikan pedoman. Kerjasama dalam kalangan kita seperti yang terungkap dalam peribahasa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni sewajarnya dipraktikkan.
      Kerjasama perlu digerakkan sepanjang kita bertugas dan berjuang bersama-sama untuk mengekalkan perpaduan demi keharmonian institusi seperti peribahasa bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

      Sekian daripada penulis dan sama -sama kita renungkan...

Ahad, 19 Jun 2011

Sempena Hari Bapa - 19 Jun 2011. 3 Catatanku.

Akulah Awan itu 1
Masih aku ingat telatah serta gelak ketawa ketika mereka kecil.
Anakku sudah melangkah ke alam yang lebih mencabar.
Namun, masa depan mereka masih menjadi keutamaanku.

Akulah Awan itu 2.

Acap kali aku dambakan awan itu memayungi dan melimpahkan kasih.
Namun, sedari kecil awan itu sudah pergi.
Kini, akulah awan itu kepada anak-anak aku.

Titip rindu buat ayah...Ayah, walaupun sejak kecil ayah pergi, kasih ayah tetap dirasai.Ayah dalam hening sepi, aku rindu ...ayah.

Sabtu, 11 Jun 2011

Selamat Menyambut Hari Ibu - 8 May

      Pada bulan May, banyak sambutan diadakan. Antaranya Hari Ibu pada 8 May. Penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu. Penulis mengabadikan Sambutan Hari Ibu ini kepada 3 bahagian iaitu:-

      1. Untuk Isteri penulis yang amat dicintai. Terimakasih kerana telah mendidik putra dan puteri pewaris
          Wangsa Perkasa. Penulis berjanji akan selalu menjaga dan menyintaimu.

      2. Untuk semua wanita seluruh dunia. Anda adalah inspirasi kerana tangan yang menhayun buaian akan
          menggoncang dunia.

     3. Untuk Ibu penulis yang amat dicintai. Pahit maung 86 tahun belum cukup dibalas berbanding kasih sayang
         yang dicurahkan.

Untuk Isteriku, juga seorang Ibu yang lebih banyak mendidik Wangsa, Perkasa, Ainun, Pesona. Aku Janji akan selalu menjaga dan menyintaimu.