" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Jumaat, 13 Mei 2011

Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Menunjukkan Bangsa. Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa

aku menanya dalam diri
celana dalam pasti dari luar negeri
dan ubat jerawat dibeli mengikut arahan iklan mana
kucari diri Malaysianya tapi yang kutemui ........
namun bahasanya aku tidak mengerti
dua patah Melayu ditimbun sepuluh Inggeris
dipinjam dari majalah anak muda
aku tunduk mencari Malaysianya
yang mungkin terjatuh ke bawah kerusinya.


'Anak Global' SN, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh

Bermulanya Wangsa Perkasa.

Isnin, 2 Mei 2011

Satu hari di bandaraya Ipoh

Klinik Kesihatan Gunung Rapat

      Suatu hari pada 16.3.2011, penulis memanfaat cuti penggal dengan aktiviti jalan-jalan di bandaraya Ipoh. Walaupun penulis tinggal di Ipoh, masih ada ruang untuk aktiviti bersama keluarga. Sebelah pagi penulis ke Klinik Gigi Gunung Rapat akibat daripada gusi yang membengkak. Bila kita sakit gigi, perasaan bengang mula meningkat dan kalau boleh satu dunia hendak dimarahi.. Penulis ingin merakam ucapan terima kasih atas layanan mesra yang diberi oleh doktor dan khidmat kaunter. Teruskan khidmat mesra ini kepada semua pelanggan atas slogan Penyayang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan. Daripada pemerhatian penulis, klinik ini juga mengamalkan program 5 S.  Periodontium nama penyakit diberi. Jika tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan gigi. Antara tanda-tanda gejala penyakit ini ialah :-
      - gusi merah, bengkak dan mudah berdarah.
      - mulut berbau.
      - gigi menjadi longgar/ jarang/ memanjang.
      - nanah terjadi di bahagian gusi
      - sakit dan tidak selesa semasa mengunyah makanan.
      - kehilangan gigi.

      Penulis sempat berkenalan dengan salah seorang pesakit Mohd Norzila namanya. Sambil berbual dia menceritakan anaknya yang terlibat dalam kemalangan bangunan runtuh di Jalan Ashby Ipoh suatu ketika dulu. Sehingga kini kes tersebut masih tergantung tiada jalan penyelesaian. Dalam nada kecewa beliau sedih diperlakukan sedemikian dan berharap Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan kes ini seberapa segera. Beliau sempat e-mailkan butiran kes kepada penulis. Penulis berdoa agar beliau teruskan berjuang untuk kebenaran anaknya itu.
Anak penulis bergambar kenangan di kubu perlindungan serangan udara.

      Sebelah petang Muzium Perak dilawati. Ketika itu kami sahaja pengunjung yang ada. Kenapalah Ipoh tidak ada muzium yang lebih besar sebab ia dinamakan Muzium Perak. Muzium Taiping lebih menarik lagi berbanding muzium di Ipoh.Bahan yang dipamirkan tidak ada yang istimewa selain daripada peralatan perlombongan dan gambar-gambar awal Ipoh. Di belakang terdapat bangunan galeri seni tetapi tiada pameran dan bangunan juga agak usang malah ditutup. Tiadakah usaha untuk dirikan Galeri Seni Negeri yang setanding dengan Balai Seni Lukis Negara?

     Dari muzium penulis ke Taman Jepun yang terletak bersebelahan dengan gelanggang lumba kuda. Kekurangan tempat meletak kereta menyukarkan pengunjung datang ke sini, selain kawasan taman yang kecil dan tiada ciri-ciri istimewa yang boleh dijadikan aktiviti keluarga selain hanya bersantai.

      Berhampiran dengan Taman Jepun terletaknya Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak. Berehat minda seketika sambil membaca sekejap dan melihat anak-anak membaca. Tidak ramai kelihatan pengunjung di sini.Penulis juga ditegur oleh salah seorang petugas yang merupakan bekas anak murid. Perpustakaan ini juga ke arah pensijilan 5 S. Setakat dua hari ini, sudah 3 jabatan kerajaan yang mengamalkan 5 S.
      Destinasi seterusnya adalah Parkson. Destinasi wajib jika berkunjung ke Parkson ialah melihat dan membeli buku di kedai buku popular. Kebetulan ada pameran buku popular di ruang legar, 4 buah buku juga sempat di beli. Kebanyakan tajuk buku cerita yang dibeli berkaitan cerita alam sekitar.Mungkin anak-anak penulis akan menjadi pecinta alam suatu hari nanti? Penulis berharap juga generasi muda dapat menjaga hubungan manusia dengan alam ini sebab alam sekarang sedang menunjukkan kemarahannya akibat perbuatan kita.
      Kebetulan juga ada tayangan filem Hikayat Merong Mahawangsa di panggung di atas, kami terus menonton filem tersebut. Memang menarik dan terhibur sekali. Yang pasti filem ini boleh dijadikan penanda aras kecemerlangan anak bangsa kita dan contoh wangsa perkasa.
      Akhirulkalam memetik mutiara kata ' berjalanlah kerana berjalan seperti air yang mengalir'. Sebagai penduduk bandaraya Ipoh, penulis berpendapat bahawa Ipoh merupakan sebuah bandaraya yang tenang, aman dan damai serta boleh relax ketika memandu. Walau bagaimanapun, ssuatu perlu dilakukan oleh pihak berkenaan supaya Ipoh dapat menarik pelancong luar datang berkunjung ke sini. Wujudkanlah suatu yang istimewa seperti pekan rabu, dataran bercayaha  Masjid Zahir di Alor Setar atau seni taman yang boleh bersantai sepeti di Seremban?

Pejabat Pendaftaran dan Gunung Lang


Gunung Lang masih kurang mampu menarik pelancong luar.

     Suatu hari pada 15.3. 2011, penulis telah pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara di Ipoh untuk membuat kad pengenalan anak perempuan yang  telah berusia 12 tahun. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia yang berusia 12 tahun memiliki kad pengenalan. Perkara yang menarik penulis lihat di pejabat ini ialah amalan 5 S yang diterapkan dalam organisasi tersebut. Perubahan memang ketara apabila amalan 5 S ini diamalkan. Persekitaran di pejabat ini 2 tahun lepas semasa penulis datang di sini bagi membuat kad penganalan anak lelaki penulis memang berbeza sekali berbanding sekarang. Penulis masih teringat lawatan penanda aras organisasi penulis ke Pejabat SUK Perak berkaitan amalan 5 S seperti yang tercatat dalam blog ini. Sehingga kini objektif lawatan penanda aras amalan 5 S di organisasi penulis masih belum menampakkan hasil.
      Perkara lain yang menarik perhatian penulis adalah kempen 3 S yang dilakukan oleh pejabat Imigresen yang terletak di hadapan Pejabat Pendaftaran. Amalan 3 S yang dimaksudkan ialah Senyum, Sapa dan Sopan. Penulis berpendapat semua organisasi atau jabatan kerajaan sedang menuju ke arah penambahbaikan.Masing-masing sedang melaksanakan tranformasi. Terlintas di fikiran penulis, organisasi tempat penulis bertugas. Bersediakah mereka ??

      Setelah selesai urusan di sana, penulis dan keluarga mengunjungi Gunung Lang yang terletak berhampiran dengan Pejabat Pendaftaran. Ipoh memang kaya dengan khazanah alam semulajadi terutama bukit batu kapur. Bukit batu kapur mempunyai pandang darat yang tersendiri seperti staligtit dan staligmit serta aliran sungai di dalamnya. Walau bagaimanapun di Ipoh, penulis melihat bukit batu kapur telah diteroka untuk tujuan ekonomi seperti projek kuari. Sangat kurang batu kapur ini dijadikan produk pelancongan. Kalau adapun seperti Gunung Lang, ia kurang mampu menarik pelancong luar datang. Penerokaan bagi tujuan keagamaan seperti Perak Tong mahupun Sam Poh Tong hanya menarik pelancong beragama Buddhis. Oleh itu pihak berkenaan seperti  MBI perlulah memikirkan bagaimana pemandangan batu kapur yang menarik ini dapat dimanfaatkan dan mampu menarik pelancong dari luar datang bercuti-cuti di Ipoh.





Isnin, 18 April 2011

Jalan-jalan di Kuala Lumpur 7 - Remaja Kita

      Kami beredar dari gerai Sup Pak Abu pada jam 7.30 malam. Melalui Jalan Tunku Abdul Rahman waktu sebegini mungkin akan meresahkan, kata Zam. Beliau merujuk kepada aktiviti kumpulan penunggang motorsikal yang bergelendangan di sekitar jalan ini. Ketika kami berhenti di lampu isyarat, kedengaran bunyi bingit dari arah belakang. Hampir berpuluh motorsikal di hadapan, kiri dan kanan kereta. Keadaan ini merisaukan penulis kerana tingkah laku mereka mendatangkan bahaya kepada kereta-kereta yang terdapat di situ. Di sebelah kanan kereta kelihatan seorang remaja perempuan Melayu yang bertindik di hidung dan lidah, manakala ' rider ' seorang remaja berketurunan India. Benarlah kata orang,  masalah ' mat rempit ' di Kuala Lumpur ini memang sukar dibendung.
      Melalui Jalan Raja Laut menampakkan lagi gejala ' mat rempik ' yang sukar dikawal. Di tepi-tepi jalan sepanjang Jalan Raja Laut ini dipenuhi dengan kumpulan-kumpulan motorsikal sedang melepak sakan. Kelihatan beberapa kumpulan motorsikal yang menunggang laju sambil mendapat sorakan kumpulan yang lain.
      Pasukan polis sentiasa mengadakan operasi membanteras kegiatan 'mat rempit' ini. Namun kegiatan ini masih tiada kesudahannya. Yang menjuarai kegiatan ini kebanyakannya remaja Melayu dan perkara inilah yang menggusarkan penulis dan masyarakat. Penulis menyokong sebarang usaha yang dilakukan untuk mengatasi gejala ini walaupun adakalanya kelihatan pihak polis yang dipersalahkan.Itulah minda orang kita!
Akhirnya, sampai juga kami ke HKL.

      Sebelum pulang ke Ipoh, penulis sempat singgah ke Taman Tasek Titiwangsa. Walaupun pada waktu petang sebegini keadaan amat temteram dan mendamaikan, namun kurang kelihatan pengunjung di sini. Sesuatu perlu dilakukan supaya Taman Tasik Titiwangsa ini kembali menjadi tarikan pengunjung dan pelancong. Perkara kurang sopan yang dilakukan oleh remaja terutamanya pada waktu malam perlulah ditangani oleh pihak berwajib. Hal ini demikian kerana remaja inilah pewaris kepimpinan negara masa hadapan. Aktiviti yang sihat seperti aktiviti kereta kawalan di bawah haruslah diterapkan dalam kalangan remaja kita.

        Aktiviti kereta kawalan dapat mengelakkan remaja daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak bermoral.




Ahad, 17 April 2011

Jalan- jalan di Kuala Lumpur 6 - Sup Istimewa dan Up Town Selayang.

                                                             Gerai Sup Haji Abu

      Apabila ditanya ke mana nak minum, Zam kata " kita pekena sup istimewa Haji Abu ". Penulis hanya ikut saja. Kami dibawa melalui Kampung Baru yang akan dibangunkan oleh kerajaan. Terlihat menara tinggi yang baru dibina di masjid Kampung Baru. Zam turut bercerita tentang pengalamannya yang berada sekitar Masjid Kampung Baru sekitar tahun 1998, semasa 'reformasi dahulu'. Penulis khusyuk mendengar ceritanya.
      Kami dibawa ke Jalan Doraisamy untuk menikmati sup Haji Abu. Sup Haji Abu memang terkenal dalam kalangan warga kota dan pelancong. Setiap malam gerai ini dipenuhi dengan pelanggan hingga ke larut malam.Pelbagai jenis sup dihidangkan seperti sup kambing, daging, sup ayam dan lain-lain. Dengan RM 22.00 kami dihidangkan dengan 3 mangkuk sup ayam dan 2 buku roti. Memang menyelerakan. Sekali rasa macam nak lagi dan habis licin.
      Perbualan dengan Zam membawa kami kepada persoalan mengapa tidak ada pengusaha Melayu yang boleh menghasilkan sup sebegini hingga menjadi bualan orang sehingga boleh datang dari jauh untuk menikmatinya? Restoran Sup Anis Utara boleh dijadikan perbandingan.

      Apabila bercerita bab makan, penulis teringatkan peristiwa semalam. Kami dijemput oleh sepupu isteri makan malam di rumahnya di Selayang. Oleh kerana berasal dari Melaka, hidangan yang disajikan sudah tentulah masakan asam pedas. Memang sedap dan menyelerakan. Pujian ikhlas penulis berikan kepada mereka. Man, suami sepupu isteri penulis menambah, asam pedas ini belum cukup 'power' jika dibandingkan asam pedas di sebuah restoran di Melaka. Beliau menambah jika dicuba pasti terangkat kopiah. Ha ha ha ha  ha, kami ketawa beramai-ramai.
      Sebelum pulang ke Rawang,  kami singgah di 'Up Town' di Selayang. Pemandangan macam biasa seperti pasar malam di tempat lain juga.Barangan yang dijual tiada yang istimewa. Penulis meninjau-ninjau barangan  di setiap gerai. Jika tiada disediakan tempat berjual, dimanalah lagi mereka ini akan berniaga untuk meningkatkan taraf ekonomi. Di Jalan Chow Kit, peniaga kita telah pupus. Harapan penulis agar 'Up Town Selayang' ini dapat bertahan lama demi kelangsungan ekonomi kaum kita. Yang menjadi kerunsingan penulis hanyalah penggunaan 'Up Town' ? Penulis teringat antara lirik lagu berikut:-

                                                    Indahnya bumi kita ini,
                                                    Warisan berkurun lamanya,
                                                    Hasil mengalir ke tangan yang lain,
                                                    Pribumi merintih sendiri.

Gerai Sup Haji Abu terletak di tepi jalan Doraisamy 

Up Town Selayang