" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 25 Jun 2013

Perpaduan boleh dipupuk?

      Ramai yang bersetuju ancaman dalaman utama negara ialah perpaduan. Belakangan ini isu ini diperkatakan di kedai kopi mahaupun di media arus perdana. PRU 13 mendedahkan  perpaduan kaum di Malaysia akan melalui suatu tempoh masa yang panjang. Diketahui umum pemerintah kini ialah kaum Melayu dan pembangkang ialah kaum Cina. Jadi, bila hendak berpadu dan harmoni jika kasilnya akan menjadi syak dan prasangka. Mungkin boleh disimpulkan perpaduan kaum di Malaysia suatu yang palsu, tenang di atas tapi bergolak di dalam.

      Apa yang diketahui umum, di satu pihak perpaduan kaum dipupuk, manakala di pihak satu lagi jambatan perpaduan cuba diruntuhkan. Walau bagaimanapun, janganlah mudah mengalah berkaitan hal perpaduan kaum ini. Pupuklah ia sebab masih ada cahaya di hujung terowong. Pada suatu hari kelak salam perpaduan yang dihulur pasti ada yang menyambut.

     "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Prinsip hidup inilah yang menjadikan rakyat Malaysia hidup dengan harmoni. Majlis rumah terbuka pelbagai kaum pada setiap tahun membolehkan rakyat yang berbilang kaum meraikannya bersaama-sama.

     Masyarakat setempat boleh menganjurkan Hari Keluarga. Acara seperti sukaneka, gotong-royong dan lain-lain dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

     Jika ada yang berterusan mencabar keamanan dan mencetuskan isu-isu sensitif, kerajaan disarankan mengenakan tindakan undang-undang. Hal ini demikian supaya provokasi dapat dibendung dan pertelingkahan sesama sendiri dapat dielakkan. Sesetengah pihak secara sengaja cuba mengganggu-gugat keamanan negara.

     Akhirnya, semestinya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana bahasa adalah instumen perpaduan yang utama. Kita perlu ada kehendak politik untuk melaksanakannaya.

     Kesimpulaannya, semua pihak harus berlapang dada dan mengetepikan kepentingan peribadi dalam memupuk perpaduan demi kelangsungan negara bangsa yang aman, harmoni dan sejahtera.

Wangsa Perkasa ; Cuba bersikap toleransi dalam hal ini.

Selasa, 18 Jun 2013

Cabaran Mendatang

            Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

      Kita sering mendengar terutama melalui motivator yang mengingatkan kita supaya berani menghadapi cabaran. Demi kelangsungan hidup, cabaran yang datang perlu ditangani. Cabaran yang perlu dilalui pula bergantung kepada status seseorang. Misalnya, jika seorang pelajar tentu sekali cabaran nya adalah berkaitan kecemerlangan. Cabaran seorang doktor berkaitan dengan penyakit dan ubat. Seorang ahli politik, dikatakan orang berkaitan dengan persepsi. Cabaran seorang doktor dan politikus berkaitan kebolehpercayaan. Orang lebih percayakan seorang doktor berbanding seorang politikus. Negara juga berhadapan dengan cabaran terutama cabaran masa depan.

      Sebelum PRU 13, cabar mencabar menjadi kelaziman. Masing-masing menanam persepsi, merekalah di pihak yang benar. Pasca PRU 13 pula, tinggal sebelah pihak saja yang berterusan denagn kegiatan mencabar dan terus mencabar. Manakala di pihak pemerintah lebih tertumpu ke arah menunaikan janji. Cabaran yang dilemparkan kelihatan kurang disambut dan disahut. Dalam hal tertentu ramai tertunggu-tunggu reaksi dan tindakan.

      Cabaran yang tidak disambut dan disahut, dikuatiri kelak menggugat keamanan negara. Cabaran masa depan negara tentu sekali untuk mengekalkan keamanan. Banyak perkara yang boleh dibina bila negara aman. Cabaran daripada pihak membangkang seperti mengadakan demontrasi jalanan  boleh dikategori sebagai ancaman dalaman yang menggugat keamanan negara. Banyak tamadun negara runtuh bermula dari ancaman dalaman. Contoh negara? Sebahagian besar oarang boleh sebut.

      Persoalannya, apakah ancaman dalaman yang dihadapi negara? Keputusan PRU 13 mengesahkan bahawa isu perpaduan kaum adalah ancaman yang boleh jadi tiada noktah. Betul juga kata orang bahawa sejarah tidak pernah menipu dan akan berulang ( mungkin cuma pemainnya berbeza dan dalam bentuk lain )

Wangsa Perkasa : Wangsa Melayu belum cukup mantap untuk menangani cabaran apatah dalam persaingan di padang dan lapangan.

     

Ahad, 12 Mei 2013

Selamat : Sekali lagi ; dulu dan kini dengan perkenan-Nya

      Assalamualaikan dan Sejahtera atas kamu.

      Hari ini ahad 12 Mei 2013 bermakna telah seminggu barlalunya PRU 13. Seminggu dulu tumpuan semestinya ke atas keputusan PRU 13. Debaran demi debaran menanti seluruh penduduk Malaysia. Dikatakan PRU 13 adalah ibu dan kemuncak pilihanraya.Spekulasi angin perubahan kuat melanda negara. Malaysia dikatakan akan berkerajaan baru Gendang kemenangan dipalu sebelum pilihanraya lagi.

     'Siapa menang? ' Tanya ibu. 'Najib menang ke?' Tanya ibu lagi.
     'Tempat kita kalah tapi PM Najib menang dan Ibu Pertiwi masih diperintah oleh BNi'. Jawab penulis.
     'Alhamdulillah syukur kepada Allah' balas ibu.

     Apabila menulis tentang ibu, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar ibu. Terima kasih juga kepada Siti Zabidah atas ulasan dalam entri penulis ' Pilihan raya 13 ; Pesan Ibu. Penulis bersetuju dengan pandangan beliau bahawa anak-anak mestilah tahu asal-usul dan sejarah kesusahan agar akhirnya tahu membalas budi. Pn Siti Zabidah, pantun pn saya jawab :-
         
            Kasih ibu membawa ke syurga,
            Dikenang hingga ke hujung nyawa,
            Janganlah kita alpa dan leka,
            Jadilah wangsa gagah perkasa.

     Alhamdulillah syukur kepada Allah sebab BN yang diterajui UMNO memerintah lagi. Walaupun saingan sengit dan mendapat majoriti mudah, itu sudah memadai. Banyak pengajaran dan cabaran hasil pilihanraya kali ini. Yang pasti syukur kerana Allah kerana tidak memperkenankan doa Karen Dunham, Pengarah Living Bread International Church agar rakyat  Malaysia bangkit bagi mewujudkan ' Kerajaan Baru' seperti di TouTube bertajuk ' Malaysia Prophecy from Jerusalem'. Selain itu, Allah juga tidak perkenankan doa 2 beradik yang berdoa agar UMNO musnah. Hakikatnya UMNO terus kukuh mendominasi dan kekal memerintah. Selamat Menyambut Hari UMNO ke-67. UMNO bukan rasis. Malah bukan Melayu adalah rakan kongsi.

      Sembang-sembang kedai kopi penulis dengan kekawan sebelum pilihanraya juga tepat iaitu pada PRU 13 ini, masyarakat Cina yang diapi-api oleh DAP akan 'all out' mengundi untuk merebut kuasa. Hal ini dibuktikan pada PRU 12 di negeri Perak dan beberapa negeri lain. Jadi tidak mustahil pada PRU 13 ini mereka boleh merebut Putarajaya. Jaangkaan mereka meleset kerana ketentuan Ilahi jua, ramai orang Melayu telah kembali menyokong BN yang diterajui UMNO. Sokongan kepada UMNO bertambah di Parlimen mahupun DUN. Jika Melayu masih tidak sedar dan berterusan bertelagah dan berpecah, mungkin perkara buruk akan berlaku pada PRU 14 kelak.

     Pasca pilihanraya menampakkan siri bantahan dan provokasi perkauman yang berlebih-lebihan. 2 watak utama yang berterusan meniupkan api bantahan dan perkauman ialah DS Anuar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Persoalannya adakah mereka ini mahu mengulangi sejarah lalu iaitu peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Menurut sumber, Lim Kit Siang adalah antara individu peniup api perkauman dalam peristiwa tersebut. Mungkinkah DS Anuar sebagai watak baru yang mahu mengheret pula sebilangan orang Melayu dalam siri baru Peristiwa 13 Mei 2013. Ketika ini (malam ini) DS Anuar menghimpun pengikutnya di Ipoh Perak dalam 'Blackout 505' dan di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang. Esok 13 Mei 2013. Banyak kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.

     Nampaknya cabaran PM Najib lebih getir berbanding ayahandanya Tun Abdul Razak. Jika Tun Abd Razak hanya berdepan dengan Lim KIt Siang tapi anaknya DS Najib terpaksa berdepan dengan dua individu yang penuh dengan dendam iaitu Lim Kit Siang dan DS Anuar Ibrahim. Bukan ini masanya tapi Demi Masa, sesungguhnya orang Melayu akan mengalami kerugian. DS Najib menyebut Lailahaillallah tapi Lim Kit Siang menyebut Inikalillah (kalau tak salah penulis boleh bermaksud aku lah Allah). Antara jawapan, kali-kali kalahlah....

Wangsa Perkasa : sentiasa berterusan mengharap bangsanya bersatu dan berjaya. Tidak lupa kepada para jururawat, Selamat Hari Jururawat. Kalau boleh rawatlah hati-hati anak bangsa supaya terus mengenang budi dan menabur budi demi kelangsungan bangsa.

Sabtu, 4 Mei 2013

Pilihan raya 13. Pesan Ibu

    Assalamualaikum.  Selamat sejahtera atas kamu.

      Esok, Wangsa Perkasa akan turun ke peti undi. Pilihan sudah ada. Walau bagaimanapun dalam membuat keputusan, Wangsa Perkasa turut juga mendapat sudut pandangan seorang ibu. Kata orang, kata ibu menyimpan 1001 pandangan. Apatah lagi ibu yang mengalami sendiri peristiwa sebelum dan selepas kemerdekaan.

      Ibu kata, tak cukup ke dengan kemerdekaan yang dikecapi. Kita memerintah sendiri. Ibu juga kata, masa susah dulu Wangsa Perkasa dibantu mendapatkan pengetahuan dan biasiswa. Jika tidak keraana DEB usah mimpi Wangsa Perkasa berada seperti di kedudukan sekarang. Tambah ibu lagi, nikmat aman  dan sentosa selalu mudahkan kita beribadat pada Yang Maha Esa. Tanya ibu lagi apakah yang Wangsa Perkasa mahi lagi. Pesan ibu, jadilah anak yang kenang budi.

      Benar kata ibu, aku perlu mengenang budi.
Jika tiada dasar DEB, tiadalah aku seperti sekarang.
Jika tiada kesinambungan, tiadalah bumi untuk dipijak, tiadalah langit untuk dijunjung.
Jika tiada nikmat yang diberi, tiadalah aman dan sentosa sebegini.
Benar kata ibu, aku perlu mengundi pada parti yang berbudi.


Khamis, 2 Mei 2013

Pilihan Raya 13

       Salam Sejahtera Atas Kamu

      Tiga hari lagi, lebih 13 juta pengundi akan turn ke peti undi intuk memilih. Ada orang kata pilihan raya 13 ini akan sengit dan akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Tranformasi vs Reformasi. Hakikatnya apa yang dijanjikan ialah mutu. Ada orang kata mutu itu subjektif. Tak ada nilai angka untuk menyukatnya. Maknanya bukan semua ukuran terletak pada angka. Banyak juga kita kena ukur dengan rasa, pengalaman dan pemikiran.

      PRU ke-13 ini, penulis akan turun ke peti undi buat kali ke-3. Pada  PRU 1990 dan 1995, penulis berada di Sabah. Apa yang boleh dilakukan cuma memerhati. PRU 1986 pula, penulis masih di menara gading. Semasa di menara gading, golongan mahasiswa juga terbahagi kepada 2 iaitu menyokong kerajaan dan menyokong pembangkang. Penulis ada juga mencuba nasib bertanding tetapi tewas. Sejak itu juga, penulis mula terdedah dengan politik dan parti.

      Kini, murid-murid sekolah rendah lagi dah pandai bercakap tentang politik dan parti. Perkara ini berlaku pada anak penulis. Anak penulis pula mendengar cakap penulis iaitu murid-murid sekolah tidak perlulah bercakap tentang politik dan parti di sekolah. Itu jawapan anak penulis kepada kawannya, Pepatah kata, ' melentur buluih biarlah dari rebungnya '. Anak-anak masih kecil dan usahlah disogokkan dengan tingkah laku membenci pemimpin dan sebagainya. Bukanakah lebih elok jika diterapkan semangat untuk menjadi bangsa yang bertradisi kecemerlangan ilmu?

      Tadi penulis kata, banyak juga kita kena ukur dengan rasa, pengalaman dan pemikiran. Hampir 30 tahun penulis mengikuti dan memerhati perjalanan pilihan raya dan parti. Persoalannya, melibatkan pilihan. Jika melibatkan rasa dan citarasa memang mudah. Contohnya antara mee udang Kuala Sepetang dengan mee udang Sg. Dua, penulis pilih mee udang Sg. Dua. Contoh lain, antara laksa Kuala Perlis dengan laksa Kuala Kedah, penulis pilih laksa Kuala Perlis. Jika melibatkan agama bangsa dan negara, pastinya bukan setakat rasa, tapi aspek pengalaman dan pemikiran perlu diambil kira.

     Antara BN dan PR yang mana hendak dipilih? BN dilihat lebih konsisten dalam perjuangannya. PR pula lebih kepada pakatan palsu yang bermatlamatkan menumbangkan kerajaan BN. Perjuangan BN nampak hala tujunya, manakala PR nampak bercapah hala tujunya.

      Kesimpulannya, walaupun kerajaan BN ada kelemahan, tapi kelemahan dibaiki dan janji pula ditepati. Alhamdulillah dan InsyaAllah kerajaan BN akan kekal memerintah. Wangsa Perkasa perlu sepakat dalam hal ini.

Wangsa Perkasa; sejak dulu pilihan telah ada.

     

Sabtu, 20 April 2013

Pilihan ; 13 ?

                Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Atas Kamu.

      Membuat pilihan bukan mudah. Tidaklah semudah menyebut 1,2 dan 3. Bagi sesetengah individu, untuk memilih nombor pendaftaran kereta barupun ada pantang larangnya. Antara angka yang ingin dielakkan ialah angka 13. Kalau diperhatikan, nombor rumahpun angka 13 tiada. Di taman perumahan penulis selepas nombor 11 adalah 15. Di hotel pula, selepas aras 12 ialah aras 12A dan 14. Maknanya nombor 13 bukanlah pilihan.

     Selain itu, siri drama hanya setakat 13 semusim. Penulis masih ingat juga, dahulu juara carta lagu hanya setakat 13 minggu. Minggu berikutnya, lagu tersebut akan berada di tempat ke-2. Jelaslah angka 13 mempunyai impaknya yang tersendiri. Filem 'Friday 13' memberi impak triller kepada penonton hingga ada yang diserang sakit jantung. Peristiwa '13 Mei' pula menguji perpaduan kaum dalam kalangan kita.

      Tahun 2013 juga menarik untuk dikatakan. Penulis melihat kalendar kuda jelas menunjukkan 2013 bersama gambar ular. Tahun 2013 ialah tahun ular bagi masyarakat Cina. Kata sesetengah orang, hati-hati pada tahun 2013 ini. Hal ini demikian kerana akan berlaku perkara belit membelit seperti sifat ular. Pepatah Melayu juga ada memperkatakan hal berkaitan ular, antaranya ular berlingkar di gulung tikar yang membawa maksud, orang jahat menyamar dalam kumpulan orang-orang baik. Sebenarnya tidak ada sial majal berkaitan dengan sifat binatang ini. Yang pasti, hendaklah kita lari daripada pesakit kusta.

      Setelah 4 bulan berada dalam tahun 2013 ini, perkara belit membelit ini seperti menjadi kebiasaan pula. Kalau kita membaca surat khabar, banyak perkara yang mengelirukan terutama dalam konsisten apabila bercakap. Memang ada yang berbelit-belit macam ular. Apatah lagi ketika ini bahang PRU 13 semakin hampir. 15 hari lagi, lebih 13 juta pengundi akan mengundi dalam PRU 13. Maka banyak spekulasi di sebarkan. Bukan kerana apa. Ini semua kerana persepsi. Politik ialah persepsi dan ia juga merupakan seni. Orang kata apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar, minda akan percaya. Oleh itu, apa yang boleh dikatakan.  Ular bukan, ikan pun bukan ( belum dapat dipastikan buruk baiknya.)

      Tahniah kepada individu yang terpilih. Sungguh meriah melihat gelagat masyarakat semasa proses penamaan calon. Masing-masing menyatakan merekalah calon yang paling layak untuk mewakili penduduk setempat.Yang mereka tidak tahu adalah lagi besar pangkat seseorang, lagi besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Mereka akan dipersoalkan kelak. Jika dahulu orang menolak-nolak jawatan, tapi kini jawatan tersebut menjadi rebutan. Disarankan masa berkempen kelak, jadilah orang budiman dan mulia seperti ular menyusur akar. Ular biar mati, tanah jangan lekuk, kayu jangan patah yang bermaksud, selesailah masalah dengan cara bijaksana. Jelaslah, untung nasib calon bergantung kepada pengundi, untung sabut timbul; untung batu tenggelam.

     
Wangsa Perkasa : Seperti bangsa lain di muka bumi ini, Wangsa Melayu juga banagsa yang Allah ciptakan. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 antara lain meminta kita berkenal-kenalan antara satu sama lain. Wangsa Perkasa tetap konklusif dan konsisten.


Khamis, 11 April 2013

Pilihan : Sabah dan Teori Konspirasi

      Sabah, negeri di bawah bayu. Seindah namanaya, begitulah juga sumber alamnya. Selain flora dan fauna yang masih belum diterokai, begitu juga hasil perut buminya. Dalam aspek lain pula, Sabah dikatakan sebagai simpanan tetap jangka panjang. Menguasai dan mempengaruhi Sabah menjadikan satu kelebihan.

      Alhamdulillah, keamanan dan kestabilan politik dinikmati bersama dan hakikat ini jarang ditemui di negara-negara lain. Kerajaan secara konsisten terus mendukung dan mempertahankan konstitusi yang dipersetujui bersama. Tegasnya, atas prinsip kestabilan politik, ekonomi mahupun sosial akan menjamin keamanan dan kemakmuran yang dikecapi.

      Konsep kestabilan inilh yang dicemburui oleh sesetengah pihak. Maka keadaan ketidakstabilan diraancang sebegitu rupa demi mencetuskan huru-hara dalam negara dek kerana sikap saling mencurigai antara kaum dan seterusnya akan mewujudkan ancaman dalaman. Ancaman dalaman yang utama ialah isu perpaduan. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi bukti bahawa perpaduan kaum amat penting bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara.

      Negara juga terdedah dengan ancaman luaran. Konflik bersenjata antara 2 buah negara boleh berlaku berpunca daripada perbezaan ideologi, perbalahan politik dan persaingan merebut kuasa. Konfrantasi dengan negara Indonesia merupakan contoh konflik bersenjata 50 tahun dahulu. Kini, ancaman bersenjata berlaku lagi di Lahad Datu, Sabah. Ancaman luar datang pula dari pengganas Suluk Filipina. Sekali lagi, semasa konflik berlaku kerajaan Malaysia secara konsisten tidak mengabaikan batas atau had-had konflik yang mesti dipatuhi.

      Persoalannya, adakah ada unsur subversif disebalik isu perpaduan kaum dan peristiwa pencerobohan pengganas Suluk ini? Kenyataan kontroversi seorang warganegara mencetuskan kemarahan banyak pihak. Beliau juga ada menyebut bahawa peristiwa pencerobohan ini merupakan satu konspirasi. Masing-masing menuding jari dan media menyiarkannya ( ada teori konspirasi ). Sehingga hari ini, tiada bukti yang jelas siapa konspirator. Mungkinkah benar, teori konspirasi jika tidak dapat dibuktikan, ia sememangnya teori yang bagus.

Wangsa Perkasa : Lagu Tanah Pusaka membangkit semangat. Antara liriknya
                          Musuh melanda kugempur
                          Sungguh rela kugugur kerana
                          Kau Tanah Pusaka
                          Biar putih tulang jangan putih mata.

                          Yang kusut berjaya diselesaikan
                          Yang keruh berjaya dijernihkan