" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Rabu, 23 Januari 2013

2013 - Akal Budi 2

          Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      Salam Maulidur Rasul untuk semua. " Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam" Surah al-Anbiyaa' (ayat 107)

     Membuat keputusan berasaskan konsep wasatiyyah mendatangkan kejayaan kepada Rasulullah SAW mengembangkan syariat dan mendirikan negara Islam. Pada waktu yang sama, agama Islam dijunjung dan dimartabatkan kemuliaannya dengan tidak meminggirkan penganut agama lain. Sikap toleransi beragama ini berjaya membentuk  Piagam Madinah yang dipersetujui bersama masyarakat bukan Islam. Tegasnya, konsep wasatiyyah ini menyemai semangat bersatu padu.

     Sebaliknya semangat melampau berteraskan ideologi politik  atau perkauman menjadi pemangkin perpecahan sesama sendiri sekaligus melemahkan kuasa politik yang ada. Kuasa ini saja yang tinggal. Kalau kuasa inipun tidak mahu dijaga, maknanya rekahan di cermin menunggu masa untuk berkecai.

Wangsa Perkasa ; renungkan peribahasa ini , dalam kilat ada kilau bermaksud ada maksud yang tersirat dalam percakapannya.


Jumaat, 18 Januari 2013

2013 - Akal Budi

                            Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

     Sesungguhnya,  tahun 2013 masihi ini memperlihatkan peristiwa perang, bencana alam, bencana kemanusiaan yang tiada kesudahannya. Aspek bahasa, sosial, ekonomi, politik dan agama akan mewarnai tahun 2013 ini. Pastinya yang menjadi tumpuan media ialah kesan dan akibat, konflik serta cerita sensasi. Persoalannya, adakah Wangsa Perkasa hanya mampu memerhati dan menggelengkan kepala ?

     Tahun silih berganti tapi selagi hayat dikandung badan, kehidupan perlu diteruskan. Dalam kehidupan harian pula, kita sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang memerlukan kita membuat keputusan. Banyak pilihan yang ada tetapi kita perlu memilih yang terbaik sahaja. Jadi, ada perkara yang terpaksa dilepaskan. Keputusan kena tepat.

      Pepatah pula ada mengatakan, ' duduk seorang bersempit-sempit, duduk banyak berlapang-lapang.Maksudnya, kalau ingin mendapat keputusan yang baik, bertanyalah kepada orang ramai daripada membuat keputusan sendiri.

Wangsa Perkasa : Terima kasih kepada Dato' Ahmad Husni kerana menyumbang  RM 2.3 juta dalam pembinaan Sekolah Agama Rakyat Kampung Sungai Rokam Ipoh. Tidak lupa juga kepada Dato' Hamidah yang mewakili kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan Bantuan Persekolahan RM 100.00 di SK Sg Rokam, Ipoh. Anak kampung syukur atas bantuan tersebut.




   

Isnin, 14 Januari 2013

2013 - Azam

                    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

      2013 telah memasuki hari kelima belas. Suatu permulaan baru 2013. Melangkah kita ke tahun masihi 2013 dengan harapan dan impian. Tahun 2013 diraikan dengan berkhidmat di sebuah institusi pendidikan yang melangkah ke abad ke-2. Kita tidak tahu apa rancangan Yang Maha Esa untuk kita. Wangsa Perkasa berdoa agar tugasan yang diberikan oleh Yang Maha Esa memberi impak positif kepada Agama, Bangsa dan Tanah air tercinta. Kita hanya boleh berazam.

      Ya. Kita hanya boleh berazam. Azam pula jarang sangat boleh tercapai. Azam yang selalu kita dengar! Berhenti merokok, kerja bersungguh-sungguh, menamatkan zaman bujang, menambah pelaburan atau mungkin untuk kelihatan lebih muda.Percaya pada diri, percaya pada masa depan, 2013 kita tempuhi dengan keazaman.

      Kita boleh berazam untuk kelihatan muda tetapi apabila melangkah tahun, usia semakin tua. Semakin berkuranglah jangka hayat di dunia. Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila umur mencecah 50 tahun, Allah akan meringankan dosa-dosa. Kalau umur mencecah 90 tahun, diampunkan dosa yang terdahulu dan yang akan datang. Jadi, hadapi kedatangan tahun 2013 dengan bersyukur kerana umur dipanjangkan Allah SWT.

 Wangsa Perkasa tahu orang ini azamnya ada udang disebalik batu.

Khamis, 3 Januari 2013

2013 - Aku Datang

      Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Tahun 2012 telah berlalu meninggalkan kenangan pahit dan manisnya. Ada yang berjaya dan ada yang gagal, namun kita harus percaya tentu ada hikmah. Rezeki kita tidak tahu. Ia mungkin ada di tempat lain. Orang kata, inilah kehidupan.

Tahun 2013 memasuki hari ke-4. Ibu bapa pastinya paling sibuk melayan keperluan dan karenah anak-anak ke sekolah. Duit duit mana kau duit. Keadaan berbaris panjang menjadi perkara biasa semasa membeli buku tulis di kedai buku atau koperesi. Usah resah atau merungut kerana ia telah menjadi tradisi.

Dalam kesibukan ibu bapa memenuhi keperluan anak ke sekolah, guru juga bertambah sibuk lagi. P dan P perlu menarik dan berkesan kerana banyak mata yang memandang. Usah bimbang tahulah guru mengurusnya. Gurulah katakan....

Apa apa pun yang berlaku pada 2012, kebiasaan pasti akan berulang pada tahun 2013. Bezanya cuma bentuk, kejadian peristiwa atau kesannya. Apa yang pasti, peperangan akan terus berlaku. Begitu juga dengan bencana alam. Apatah lagi berkenaan manusia dan kemanusiaan...

Inilah kehidupan.

Wangsa Perkasa : Adakah denyutan nadi wangsa didengari..

Selasa, 13 November 2012

Sempurna B - Bajet dan Bandar

               Salam sejahtera ke atas kamu.

     Menurut Umar r.a.: Kekuasaan tidak akan sempurna kecuali jika disertai keadilan. Belanjawan atau bajet yang dibentang oleh  Bendahara (PM) melegakan hati rakyat. Kekuasaan disertai keadilan. Itu yang rakyat mahu iaitu tradisi bela dan bantu rakyat. Kata dikota, janji ditepati. Bicara Bendahara begitu bijaksana, bestari dan budiman. Hanya orang buta saja yang tidak nampak.

      Sesetengah individu hanya tahu bangkang, bantah, boikot atau bicara biadap. Biarlah mereka dengan bayang-bayang.  Mungkin pengalaman Sepanyol dan beberapa negara Eropah lain boleh dijadikan petunjuk. Lihat saja bagaimana rakyat negara Eropah ini menyambut pembentangan bajet dengan siri bantahan. Di Malaysia bajet disambut dengan rasa syukur dan terima kasih. Wajah rakyat biasa ceria dan penuh senyuman, contohnya BR1M 2.0

      Setiap kali bajet, kesannya banyak di bandar. Kita tahu proses perbandaran begitu pesat berlaku. Belia-belia kampung banyak berhijrah ke bandar untuk bekerja. Kesanya, rumah dan banjir menjadi isu yang tiada kesudahan. Contohnya di bandar penulis tinggal rumah teres 22 X 70 sepuluh tahun dulu berharga RM 80 ribu tapi kini berharga  RM 150 - 160 ribu. Ini semua kerja golongan borjuis bilionair. Jika tidak ditangani dengan betul, rakyat biasa ini mungkin akan balas .... PR1MA antara jalan penyelesaiannya. Agihannya pula biar jangan bias.

     Setiap kali bajet juga, barang naik. Harga ikan bawal, bilis, bawang, bayam, bendi dan barang-barang keperluan asas yang lain akan naik.Rakyat biasa sekali lagi merungut sebab terbeban. Walau bagaimanapun jika kita tidak boros, tidak bazir, bijak belanja dan boikot peniaga lintah darat, kenaikan harga barang masih dapat ditampung oleh kenaikan gaji. Malah masih ada lebihan untuk tabungan.

Wangsa Perkasa : Jika kita seorang sahaja, apa yang boleh kita lakukan.


     

Isnin, 22 Oktober 2012

Sempurna - B ( Baitullah dan Baitulmuqaddis )

                       Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu.

     Bismillah. Alhamdulillah, lebih 1.6 juta menyahut lambaian Baitullah. Tidak lama lagi sempurnalah ibadat Haji umat Islam. InsaAllah sama-samalah kita doakan agar  jemaah Haji mendapat Haji yang mabrur. Kita juga janganlah lupa saudara kita  di Baitulmuqaddis sedang berjihad fisabilillah. Semoga mereka diberi kekuatan untuk terus bertahan. Sesungguhnya kemenangan pasti milik kita jua, bilamana dan bilamasa pelbagai bangsa bahu-membahu. Akan muncul akhirnya pejuang bijaksana seperti Salehuddin AlAyubi memacakkan bendera Islam di Bumi Baitulmuqaddis. Benar, masanya akan tiba juga....

Wangsa Perkasa - Bissawab
   

Sabtu, 15 September 2012

Sempurna - A

Selamat sejahtera ke atas kamu.

      Agak lama juga penulis tiada entri baru. Melewati bulan Ramadan hingga penghujung Syawal, banyak asam garam kehidupan yang dilalui. Samada hal peribadi atau hal yang berlaku di sekitar tentu sekali ia direncanakan. Contohnya amalan-amalan. Namun kita hanya merencana..

      Mungkin tidak terlambat untuk kita mengimbas kembali amalan di bulan Ramadan. Alhamdulillah kita telah menyempurnakan amalan-amalan yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan  tersebut. Tetapi hanya kita yang tahu samada amalan-amalan yang dilakukan mencapai kesempurnaan. Harap amalan-amalan tahun ini lebih sempurna berbanding tahun-tahun sebelum.

      Esok, Syawal sampai ke penghujungnya. Esok masih ada rumah terbuka Aidilfitri. Amalan ini  amat baik terutama dalam mengeratkan silaturrahim. Bulan Syawal inilah masa sanak saudara serta sahabat handai berjumpa mungkin setelah bertahun-tahun tidak berjumpa. Penulis tidak berkecuali. Menerima jemputan daripada kawan-kawan sekelas setelah 30 tahun tidak berjumpa begitu mengujakan. Mungkin ada kejutan nanti..

      Sebarkan salam. Sebarkan salam. Kita dianjurkan agar melakukan suatu amalan yang jika diamalkan, timbul rasa kasih dan sayang sesama kita. Di dalam Islam, semuanya bersaudara di bawah payung agama. Sebagai saudara seagama pula, kita wajib mengasihi saudara kita seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri.

      Sabda Rasulullah s.a.w. " Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.) Jika keadaan ini berlaku, kita akan bersatu.

      Esok 16 September. 49 tahun dahulu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia. Sempurna sudah sebuah negara bernama Malaysia.Perdana Menteri Malaysia hari ini menamakan 16 September sebagai Hari Malaysia.

                           Sejahtera Malaysia


Wangsa Perkasa: Wangsa tidak menjadi Perkasa dalam sekelip mata !