" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Rabu, 25 April 2012

Hati kena seronok

   
     Alhamdulillah, syukur dengan izin-Nya jua penulis sekali lagi dipilih untuk ditempatkan di sebuah institusi pendidikan yang lain. Ia sebuah institusi pendidikan yang penuh dengan sejarah dan tradisi kecemerlangan.

      " Bagus sekolah tu, terkenal dan cakap orang putih." ujar ibu penulis. Itulah persepsi ibu penulis terhadap sekolah itu. Institusi ini sememangnya ibu penulis kenal sebab mungkin kedua-duanya hampir seusia. Cuma institusi pendidikan ini lebih 14 tahun berbanding usia ibu penulis yang berumur 86 tahun.

      Pesan ibu lagi, " di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau, mengaum. Pandai-pandailah menyesuaikan diri."

      Penulis hanya tersenyum mendengar kata-kata ibu. Itulah kata-kata perangsang yang disampaikan oleh ibu. Kata bijak pandai setiap orang memerlukan kata-kata perangsang sebagai motivasi. Kata-kata ibu akan tersemat di hati. Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang menelefon, yang memberi perangsang di blog mahupun pelajar-pelajar.
   
      Suatu hari di pasar malam, penulis bertembung dengan bekas guru. Beliau baru sahaja bersara sebagai pensyarah di IPG berdekatan. Kami saling menyapa dan beliau bertanya adakah penulis masih di tempat lama.
      " Saya baru seminggu bertukar tempat bertugas. Pergerakan setara." jawab penulis.

      "Bagus le tu. Sebagai menambah pengalaman sebelum menjadi pengetua." Kata beliau.
      "InsaAllah" Jawab penulis.
   
      " Mad, pesan saya, jangan marah orang depan orang lain. Orang tak suka. Nanti mereka tak seronok bekerja. Kita kena ada keseronokan dalam bekerja." jelas beliau.

      " Ya cikgu. Ingatan cikgu akan saya ingati. Saya mohon diri dulu." Penulis terus berlalu ke tapak pasar malam.

      " Assalamualaikum cikgu. Macam mana tempat baru. Seronok ke ?" Tegur beberapa pelajar. Mereka ini memang sentiasa penulis temui di pasar malam ini.

      " Walaikumsalam. Okay. Kita kena seronok walau di mana kita berada. Positif. Awak jangan lupa untuk belajar dan terus belajar." tegas penulis kepada beberapa pelajar tersebut.

     Peristiwa di atas dapat penulis simpulkan bahawa kita memerlukan kata-kata perangsang demi meningkat motivasi dalam sesuatu perkara. Jika kita bekerja, bertambaah rajinlah kita kelak. Seperkara lagi keseronokan dalam bekerja juga menjadi ramuan dalam berorganisasai. Hal ini sebab soalan yang sering ditanya apabila kita berada di organisasi baru ialah seronok ke....

Cerita hati ; cuba untuk menenangkan hati dan banyakkan bersabar.

Rabu, 11 April 2012

Kisah Hati 5 - Ikhlas di hati

      Guru datang dan pergi. Apatah lagi jika berjawatan. Tetapi tugas guru tetap satu iaitu mengajar. Maka, mengajar, mengajar dan terus mengajar menjadi amalan kita. Jangan jemu untuk mengajar. Pendek kata ikhlas dalam mengajar perlu ada di dalam hati. Begitulah juga penulis. Penulis selalu mengingatkan hati supaya ikhlas dalam mengajar. Pelajar boleh nampak keikhlasan kita sebenarnya. Ada juga orang bertanya penulis macam mana nak lihat ikhlas. Susah juga persoalan ikhlas ini. Penulis ada terbaca ikhlas seperti seekor semut hitam di atas batu hitam di dalam gelap gelita. Ia ada...

      Perkara inilah juga penulis jelaskan buat pertama kalinya apabila mengajar. Selain itu tegas penulis juga setiap pelajar tugas mereka ialah belajar. Oleh itu belajar dan terus belajar sepatutnya menjadi amalan setiap pelajar. Tegas penulis, hanya dengan belajar akan menjamin masa depan. Hanya dengan pendidikanlah kita dapat keluar dari putaran ganas kemiskinan.

     Selain daripada belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, sekolah juga tempat kita belajar aspek-aspek lain. Kita belajar cara beradap. Kita belajar untuk bersatu dalam kepelbagaian. Kita belajar untuk mempunyai semangat. Dalam kontek ini, kita belajar untuk mempunyai semangat Setiarian. Bentuklah ia dan pasti semangat ini akan kekal tersemat di hati.

      Semangat ini asasnya bermula apabila tautan hati antara guru dan pelajar terjalin. Jangan ada tembok pemisah. Jika ada runtuhkan ia seperti runtuhnya Tembok Berlin. Tautan hati antara guru dan pelajar merupakan 'turning point' dalam pemindahan ilmu. Tepuk dada tanyalah hati.

      Kepada Pengetua dan rakan-rakan guru, terima kasih kerana menerima penulis seadanya di institusi ini. Penulis tahu penulis tidaklah sehebat mana. Penulis sedar penulis tidaklah sebagus mana. Tetapi penulis rasa dan yakin bahawa penulis seorang penyayang dan pencinta. Penulis menyayangi dan menyintai hubungan, persekitaran, damai dan ilmu. Kalau boleh penulis mahu mengelak sebarang konflik. Pendek kata kejayaan yang gemilang adalah milik kita bersama.

      Hendak bergurindam, penulis kurang pandai. Walau bagaimanapun izinkan penulis berlagu. Lagu ini lagu yang menaikkan semangat sejak penulis dibangku sekolah hinggalah penulis menjadi pendidik. Semangat itu terus mekar di hati penulis. Lagu yang dimaksudkan bertajuk Seroja.

     Mari menyusun seroja bunga seroja hahahaha
     Hiasan sanggul remaja puteri remaja.

     Rupa yang elok dimanja jangan dimanja hahahaha
     Pujalah ia oh kadar sekadar saja.

     Mengapa kau bermenung oh adik berhati bingung
     Janganlah engkau percaya dengan asrama.

     Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
     Marilah kita bersama memetik bunga.

      Terima kasih. Akhirul kalam,
      Wangsa membaca, wangsa berjaya,
      Wangsa membaca, wangsa perkasa.
   



   

Khamis, 29 Mac 2012

Kisah Hati 4 - Hati hati di Organisasi


      Rela Hati
     
      Besar hati penulis apabila menjadi sebahagian daripada organisasi. Organisasi ini semakin dekat di hati.
Pada mulanya debaran hati tetap ada. Kini, lega hati sebab organisasi semakin mantap dan cemerlang dalam aspek visi dan misi.
Lembut Hati
   
      Rela hati, sepenuh hati, lurus hati, lembut hati, kuat hati, cerah hati, bulat hati dan memadu hati, itulah budaya kerja  yang subur di organisasi. Apabila bekerja, kita bekerjalah dengan suka hati dan bukannya kerja ikut suka bak kata pepatah 'biar badan penat, asalkan hati suka.'

Memadu Hati
     
      Kalau boleh disimpulkan budaya kerja di atas seperti kata pepatah, 'hati gajah sama dilapah; hati kuman sama di cecah.' Kalau bekerja dengan hati rela, kerja yang berat terasa ringan. Kalau bekerja kerana dipaksa, terasa sangat berat iaitu ' berat hati, beratlah tulang.'

Kuat Hati
     
      Yang penting sama ada kita hendak atau tidak hendak. ' Hati hendak semua jadi' yang membawa maksud kalau kita mahu semua dapat dibuat. Jika menyuruh orang yang tidak mahu, banyaklah pula helahnya ibarat kambing panjang janggutnya, hati enggan banyak jawaabnya. Janganlah begitu. Kadang-kadang janganlah diikut kata hati, sebab ' ikut hati mati.'

Bulat Hati
     
      Kerjaya ini berurusan dengan manusia. Cabaran kita memanusiakan manusia. Bukan senang hendak menjaga hati manusia. Tindakan kita adakala menggores hati orang atau menggunting hati orang hingga menjadi buku dalam hati dan orang itu makan hati berulam jantung. Apa yang boleh kita katakan?

Cerah Hati
      
      Oleh itu, penulis selalu mengingatkan hati supaya fikir baik-baik sebelum bertindak ' padang perahu di lautan, padang hati di fikiran. Penulis setuju dengan pepatah ' hati orang yang bodoh di mulutnya, dan lidah orang yang itu di belakang hatinya.Tegasnya, orang yang hatinya tenang selalu dapat menahan diri daripada mencari masalah.

Cerita hati :
                 Biar kain buruk dipakai, asal pandai mengambil hati. Kerjaya ini menuntut penulis mencuri hati orang. Wangsa Perkasa membelah dada untuk melihat hati.


                                   


Sabtu, 3 Mac 2012

Kisah Hati 3

Pengajaran 1

      "Cikgu, hati itu apa." Tanya seorang pelajar.
      " Hati. Hati itu perasaan. " jawab penulis.
     " Cikgu, mungkin hati dia sedang tergores. " sambil menunjuk ke arah seorang lagi pelajar.
      " Kenapa ?" Sambil melihat ke arah pelajar yang dimaksudkan.
      " Bapa dan emak dia sudah bercerai. Samalah seperti Iman Zulaikha dalam novel ini." jawabnya.

Pemerhatian penulis tertumpu kepada pelajar yang dimaksudkan itu. Pelajar ini mungkin sedang makan hati berulam rasa (sangat sedih). Tapi melalui riak wajah, tidak pula menunjukkan debaran hati ( resah dan gelisah). Harap-harap gadis ini kuat hatinya ( cekal ). Kata hati penulis.

      " Siapa boleh jelaskan tema novel Erti Sebuah Pengorbanan karya Zaihanim bt Zainal Abidin ini," tanya penulis kepada pelajar-pelajar.
      " Saya cikgu. " Pelajar yang menjadi perhatian penulis tadi mengangkat tangannya.
     " Ya, sila beri pendapat awak, " pinta penulis.
      " Pada pendapat saya cikgu, novel ini bertemakan kegigihan dan kecekalan hati seorang anak yang menjadi mangsa perceraian kedua-dua orang tuanya dalam menghadapi cabaran. Iman Zulaikha berusaha dengan sabar untuk menyatukan bapa dan ibunya semula. Iman juga tidak mengalah terhadap setiap masalah yang datang.Dia tetap memberikan tumpuan tergadap pelajarannya. Akhirnya dia berjaya. Amacam cikgu," jelas pelajar itu.

      " Bagus." Lega hati penulis. Pelajar ini dapat mengawal hatinya.
      " Dengar semua. Kisah remaja seperti Iman Zulaikha ini boleh dijadikan contoh. Lihat bagaimana dia mengharungi segala cabaran dan rintangan demi  mencapai matlamat dan kejayaan. Itulah erti sebuah pengorbanan kepada dia. Awak pula bagaimana?  Tepuk dada tanya hati." Penulis tutup pengajaran pada hari itu.

Pengajaran 2

      " Cikgu ".
      " Ada apa yang hendak ditanya. Kan saya suruh baca secara senyap dan hayati cerpen ini." kata penulis.
      " Cikgu ni baik hati," kata pelajar yang sama semasa perbincangan novel ' Erti Sebuah Pengorbanan ' dahulu.
      Jawab penulis pula, " semua cikgu baik hati dan layan semua pelajar sama. Tak ada beza".
      " Hari ini cikgu baik hati tapi hati sedih. Sebab wajah cikgu nampak muram. Tak macam selalu ", jelas pelajar itu.

      Penulis terdiam sebentar. Kata-kata pelajar ini seolah-olah menunjukkan bahawa wajah adalah cermin hati. Hal ini juga seperti kata pepatah muka manusia itu sebaik-baik perisai bagi hati. Wajah muram penulis mungkin kesan daripada pembacaan cerpen ' Anak Penggunting Rambut ' yang baru saja penulis habis baca sebelum ke kelas ini. Cerpen ini memang menyentuh hati penulis. Cerpen ini juga penulis minta pelajar-pelajar baca secara senyap dan cuba hayati.

      " Kan saya suruh awak baca secara senyap dan cuba hayatinya ", kata penulis kepada pelajar tadi dan terus berjalan ke pelajar lain.

      Suasana kelas tidak seperti selalu. Keadaan senyap. Kedengaran hanya suara dari kelas sebelah. Soalan yang berlegar dalam fikiran penulis adakah mereka ini sedang menghayati cerpen atau hanya menurut arahan penulis supaya senyap. Melalui tingkah laku, riak wajah dan bahasa badan, penulis jangkakan mereka cuba menghayati cerpen ini.


     Sebelum masuk waktu asar, jenazah Manis dikebumikan.
     Pada petang yang penuh kesayuan itu, aku menggali lubang kecil. Rambut Manis yang kukutip di hamparan  cadar, di celah-celah sikat rambutnya, disebalik sarung bantaalnya, semuanya kutanam. Manis abah ingin membelai rambutmu. Abah tak mahu menggunting rambutmu lagi.
     " Manis sayang akan rambut ni, abah." ujar Manis perlahan.
     "Manis faham sekarang, harga sehelai rambut buat abah, Manis sendiri mula berasa sayang apabila sehelai rambut Manis diterbangkan angin. Manis tak terdaya untuk menyimpan rambut Manis dengan baik, abah. Rambut Manis gugur setiap hari."
      "Manis tak mampu abah..." Ucapan terakhir Manis itu terakam kuat dalam sanubariku.
     Manis, abah sudah terlalu  tua untuk meneruskan kerja menggunting rambut ini. Biarlah abah berhenti di sini. Abah tak mahu memegang gunting lagi. Abah hanya mahu merinduimu, Manis.
     Manis, anak abah, walaupun tak berambut pun, senyumanmu tak berubah. Biarlah kau sentiasa manis begitu. Semoga kau tidak terkilan menjadi  anak kepada penggunting rambut.
     Kenapa aku tidak pernah maklum bahawa Manis menghidap leukemia?
                                                                   
                                               ( petikan cerpen  'Anak Penggunting Rambut' )

      Ketika penulis habis membaca cerpen ini dan ketika keluar dari kelas, hati penulis terkenangkan anak rakan sejawat penulis yang menghidap leukemia. Hati sering berdoa agar dia boleh sembuh dan melalui hari-hari seperti remaja lain.


Cerita Hati
                6.45 am (2.3.2012) Sebaik sahaja  kereta  dihidupkan untuk pergi bekerja, penulis menerima SMS yang tertulis anak rakan sejawat penulis meninggal dunia. Hati penulis tersentak. Dalam perjalanan ke tempat kerja hati penulis teringatkan cerpen Anak Penggunting Rambut. Anak rakan sejawat penulis juga meninggal dunia disebabkan leukemia. Alfatihah... Di tempat kerja juga ada berlaku ketidakpuasan hati. Bolehkah hati yang panas menjadi  sejuk? Caranya mungkin seperti peribahasa berikut iaitu batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Harap-harap ia berjaya.


     ...............................
     Sayang, damailah kau di sana, di sisi Tuhan Yang Esa.
                                                             

Isnin, 20 Februari 2012

Kisah Hati 2


"Perjalanan saya masih jauh". Kata Sham Kamikaze sambil diperhatikan oleh penulis.

      "Tak lama lagi budak sekolah ni mesti belok ke kanan." Kata hati penulis. 
Agakan penulis memang betul kerana selepas hati berkata pelajar sekolah itu terus membelok ke kanan tanpa melihat ke belakang. Peristiwa sebegini memang kerap penulis alami. Selalunya begitulah yang berlaku.

      Hati-hati di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang. Kempen keselamatan jalan raya ini sering didengari. Namun statistik kemalangan terus meningkat. Sekolah juga dikehendaki menyemai keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar. Kesannya, banyak sudah hati yang meratap sedih akibat kehilangan orang yang tersayang.

      Orang dahulu apabila hendak memulakan perjalanan banyak bergantung kepada firasat hati. Rasa tak sedap hati akan menyebabkan suatu perjalanan dibatalkan. Apabila tergerak hati hendak melakukan perjalannan  terutamanya suatu perkara yang baik, eloklah diteruskan perjalanan tadi. Lihat saja perjalanan Sham Kamekazi. Kesempatan mengundang beliau dalam sesi motivasi yang lepas sedikit sebanyak dapat mengajar pelajar erti sebuah perjalanan. 

      " Perjalanan saya masih jauh. Pengalaman hidup merubah saya. Dengan sedikit pengalaman, banyak pengajaran ". Kata Sham Kamekazi.

     Kata Sham Kamekazi lagi " Suatu hari hati  saya berdetik untuk memulakan jalan-jalan cari masjid. Bersama seorang sahabat, kami terus bergerak ke utara. Di Ipoh inilah iaitu di Masjid Negeri kami berhenti untuk bersembahyang subuh". 

      Cerita beliau menyedarkan kita bahawa apabila hati telah terbuka untuk menjadi lebih baik, bersyukurlah ke hadrat Ilahi sebab kita telah terpilih. Jika hati  keras seperti batu malah lebih keras lagi, maka mungkin tiada lagi petunjuk daripada Ilahi. Mohon dijauhkan perkara tersebut.

      Akhirul kalam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya di dalam badan seseorang manusia itu , ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badannya, jika ia buruk maka buruklah seluruh badannya, ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat  Bukhari dan Muslim) Disimpulkan bahawa hati sumber kebaikan dan keburukan seseorang.

Cerita hati.

Dalam banyak hati, hati kita mestilah lebih kepada Nabi Muhammad SAW. Itulah antara isi ceramah yang penulis hadiri sempena Maulidur Rasul. Allahumma solli 'Ala Muhammad wa 'ali Muhammad wa baarik 'ala Ibrahim wa 'ala 'Ali Ibrahim, innaka hamidun majid.


                                   




Isnin, 13 Februari 2012

Kisah Hati 1

 " Hati baik. Kolesterol pun menunjukkan penurunan berbanding bulan sembilan. Bagus" kata doktor.
"Terima kasih." Balas penulis sambil tersenyum.
"Selain makan ubat, apa yang encik buat untuk kawal kolesterol? Tanya doktor lagi.
"Makan oat tiap-tiap pagi, berjalan 10000 langkah, kawal makan dan makan epal hijau." jawab penulis.
Sambil merenung penulis dan membelik kad laporan ujian darah, doktor membalas " bagus. Boleh teruskan. Kolesterol tinggi sikit. Teruskan makan ubat tapi dos saya kurangkan. Hujung tahun buat ujian darah semula. Ok, boleh ambil ubat di farmasi." kata doktor.
" Terima kasih doktor." Hati penulis lega sambil menuju ke bahagian farmasi.

      Sambil menunggu nombor dipanggil, hati penulis teringatkan Program Rapat 1Malaysia Warga Pendidik Perak yang diadakan pada khamis semalam di Dewan Banquet SUK.Hati tertarik akan isi ceramah yang disampaikan oleh En Yahya b Abdullah dari JASA. Fokus ceramah beliau berkaitan pencapaaian dua tahun Gagasan IMalaysia. Antara lain beliau berkata jika sebelum ini kemakmuran negara kurang menyentuh hati rakyat tapi melalui Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, kemakmuran negara berjaya menyentuh hati nurani rakyat. Contohnya BR1M, KR1M dan sebagainya. Penulis bersetuju apa yang dinyatakan.

     Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Dato' Zambri Menteri Besar Perak dalam satu lagi program yang turut dihadiri penulis iaitu Program Tunai Janji. Kerajaan Negeri Perak turut menyampaikan bantuan kewangan terus kepada kumpulan sasaran seperti Kelab Guru, RELA dan beberapa golongan lain. Penulis masih ingat akan kata-kata Dato' Zambri yang ingin menyentuh hati rakyat negeri Perak. Hati penulis tersentuh dengan kata-katanya.

     Itulah hati. Hati-hati di jalan raya. Anda mampu mengubahnya. Hal inipun berkaitan dengan hati juga. Tapi hati penulis terkenangkan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim tentang seketul daging iaitu hati.
0427. Itu nombor penulis. Ubat diambil dan penulis meninggalkan Pusat Kesihatan Greentown lalu menuju ke gerai di hadapan Greentown Mall pekena mee goreng mamak. Namun kisah hati ada lagi....

Kisah Hati :
      2 kisah hati di atas ada kaitan dengan peribahasa iaitu hati gajah sama dilapah; hati kuman sama dicecah yang bermaksud banyak sama banyak, sedikit sama dikongsi. Moga Wangsa mempunyai Hati Luhur. Nanti penulis menulis kisah hati Sham Kamikaze pula.

Isnin, 30 Januari 2012

Kaki 3 dan Dia


meneliti borang opsyen

      Antara SSM dan SBPA, air kakinya tidak sama.Harapan penjawat awam terhadap SBPA amat tinggi terutama untuk meningkatkan taraf hidup dan perubahan skim ini diharapkan tidak seperti kaki untut dipakaikan gelang. Penjawat awam menyambut baik usaha kerajaan menyemak semula SBPA. Kelak, semakan semula SBPA pasti dapat memuaskan hati semua pihak.Apabila timbul rasa ketidakpuasan hati dikuatiri akan bertambah banyak kaki lawan, kaki menyumpat, kaki belit, kaki gaduh dan kaki bangkang. Kepada mereka ini, ingatlah pesan bestari; berjalan peliharakan kaki. Hasil semakan  SBPA nanti, akan lahirlah penjawat awam yang cepat kaki dan bukannya berat kaki. Penulis yakin keceriaan wajah akan jelas terpancar tiga bulan lagi.

Guru turut bersyukur dan berterima kasih atas pemberian
   
       Sejarah dan pengalaman lepas menyedarkan kita bahawa untuk berjaya sangat sukar, untuk gagal sangat mudah bak kata pepatah mendaki bukit berkaki dua, menuruninya berkaki seribu.Kredit sepatutnya diberi kepada kerajaan kerana telah berjaya mengharungi detik sukar dan berjaya membina tamadun bangsa. Walaupun melalui detik sukar , berkat sabar dan ikhlas  'telaga di kaki bukit' telah ditemui. Syukur dan terima kasih kerana jiwa rakyat difahami dan diselami melalui pemberian 'telaga' (rezeki). Antaranya seperti bonus sebulan gaji, RM 100.00 untuk pelajar sekolah, BRIM dan terbaru SARA 1Malaysia. Ibu penulis turut menerima BRIM dan hasrat beliau untuk ke klinik pakar turut tercapai.

      Gagasan atau idea PM ini sepatutnya dipuji dan disokong kerana ia mampu mengurangkan beban hidup rakyat yang rata-rata berpendapatan rendah. Hal ini demikian kerana kebanyakan rakyat berselimut kain cukin; ditutup kepala kaki terbuka, ditutup kaki kepala terdedah.Dalam banyak perkara yang telah dilakukan masih ada umat bangsa ibarat meninggalkan kura-kura di kaki, mengejar burung terbang.Kelak nanti tidak ada apa yang tinggal untuk diwariskan.

      Golongan ini asyik membicarakan rumput di halaman rumah orang, padahal di halaman sendiri rumput sampai ke kaki tangga.Dalam aspek lain, langit menimpa kepala, bumi memegang kaki. Terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahnya.Mencium tapak kaki ( minta ampun) pengubatnya.

     Akhirulkalam, punyalah baik orang kita hingga dikatakan kita terbuka, bersederhana dan bertoleransi. Wangsa Perkasa apabila buat baik berpada-pada kerana apabila diberi betis, mungkin ada yang berkata paha pun hak mereka. Jika itu terjadi ' apa nak dikata '


Cerita kaki.
                  Penulis berpeluang menghadiri Program Tunai Janji MB Perak pada 29. 1. 2012. Melalui penceritaan beliau, penulis dapat rasakan 'titik sentuhan' MB Perak ini. Hati beliau sememangnya ikhlas.
Ingin sekali penulis menulis tentang hati.