" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Selasa, 9 Ogos 2011

Tentang Wang


                                                 Blok pentadbiran tempat penulis bertugas.
     
      Dengan adanya wang, berdiri megah institusi pendidikan tempat penulis bertugas.Jika diberi wang, banyak perkara yang boleh dilaksanakan demi kecemerlangan institusi pendidikan ini.Semestinya banyak permintaan yang dapat dipenuhi. Hakikatnya, wang yang diperuntukkan adalah terhad. Wang juga tidak boleh sewenang-wenang diberi hingga berlebihan. Hal ini dikuatiri nanti wang itu tidak ada nilainya seperti wang cap pisang zaman Jepun dahulu. Oleh itu kita dituntut berbelanja secara berhemah. Berbelanja mengikut prioriti dan hal ini tentunya melibatkan ' kos melepas'.

      Wang juga boleh digunakan untuk keamanan,  kedamaian dan membantu orang lain.Tetapi pemberian itu biarlah ikhlas Begitulah kata Tok Wan, tetamu jemputan yang dijemput oleh cikgu tadika tempat Upin dan Ipin belajar. Siri ini penulis tonton pada hari sabtu 6 ogos 2011 jam 6.45 petang. Menarik sekali kata-kata Tok Wan. Tok Wan memberi contoh duit 10 sen jika dikumpulkan satu kelas dan kemudian satu kampung akan menjadi banyak. Diselitkan juga peribahasa 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' , 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' dan 'tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima'

      Kata-kata Tok Wan itu memberi idea kepada Upin dan Ipin untuk mengutip derma bagi meringankan beban sahabat mereka Ijat yang baru sahaja dilanda musibah rumah terbakar.Kesungguhan mereka berdua yang mengutip derma dalam keadaan hujan lebat mengakibatkan mereka demam. Melihat kegigihan Upin dan Ipin sehingga jatuh sakit, rakan-rakan yang lain turut membantu. Akhir cerita, Ijat yang datang ke tadika tanpa uniform telah diberi sumbangan tersebut beserta baju uniform.

      Siri Upin dan Ipin ini mengingatkan penulis tentang musibah rumah terbakar yang menimpa seorang pelajar. Penulis merakamkan rasa simpati kepada keluarga pelajar tersebut dan berharap mereka tabah hadapi ujian ini. Atas dasar keprihatinan warga institusi, satu kutipan derma kilat telah dijalankan pada hari Jumaat lalu (5.8.2011). Walaupun hasil kutipan tidak seberapa, tetapi semangat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing sememangnya patut diteladani. Penulis melihat atas semangat 1 Malaysia, pelajar-pelajar tanpa mengira kaum turut menghulurkan bantuan. Perpaduan sebeginilah yang diimpikan oleh negara sejak dahulu, kini dan selamanya. Penulis kuatir semangat perpaduan yang disemai ini akan cuba diganggu-gugat apabila mereka dewasa kelak.
   
                                                       Siap sedia menerima sumbangan
   
       Kerana wang juga kita boleh berbalah dan bersengketa. Peristiwa lalu mengajar kita bahawa agihan wang yang tidak seimbang turut menumpahkan darah ke bumi bertuah ini.Tongkat wang yang masih diperlukan turut dipertikaikan atas alasan kita perlu bermain di atas padang yang sama rata.Wang 20 peratus yang baru dicapai setelah lebih 40 tahun turut dicemburui. Hakikatnya, 30 peratus yang sepatutnya dipegang. generasi Y ketika ini perlu fahami hakikat bahawa inilah perjuangan tersirat mereka. Wang inilah yang akan mengekalkan keharmonian, keamanan dan kedamaian bumi bertuah ini.

                                                          Bersatu dalam kepelbagaian
   
      Akhirul kalam, penulis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas wang setengah bulan gaji dan minimum RM 500.00 yang diumumkan.Perbelanjaan wang RM 2 bilion itu akan mendatangkan pendapatan RM 5 bilion  hasil kesan  pengganda ekonomi.Wang tersebut akan mengalir dalam aliran pusingan pendapatan dan seterusnya akan meningkatkan pendapatan negara. Kesannya, negara akan makmur. aman dan harmoni dalam kepelbagaian. Apa yang perlu dicari cuma persamaan dalam kepelbagaian. Untuk menjadi Wangsa Perkasa, kita perlu menguasai Wang dan Sa.. Sa ini jangan juga kita terlepas...

Rabu, 3 Ogos 2011

Tentang Peperiksaan

                        ' Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak menjawab dengan cemerlang '
                                   ( Sessi Bersama Pengetua dengan calon PMR pada 2.8.2011 )

      Permulaan puasa ini memang meletihkan terutama bagi anak-anak yang baru belajar berpuasa. Namun anak-anak penulis sejak dari umur 5 tahun lagi sudah mula berpuasa dan tanpa gagal melaksaanakan dengan bersemangat. Apabila berada di sekolah pastinya badan kelihatan letih dan lesu. Begitu juga murid-murid di institusi pendidikan tempat penulis bertugas. Jika sebelum ini pelajar kelihatan lincah dan bertenaga, tapi hari pertama dan kedua puasa wajah mereka kelihatan letih dan lesu. Hal ini jika dibiarkan boleh mengganggu Pembelajaran dan Pengajaran, apatah lagi peperiksaan percubaan PMR dan ujian selaras 2 akan diadakan  pada 3 Ogos 2011 iaitu hari ke-3 puasa.
                                       Sebahagian daripada murid tingkatan 3 sedang mendengar
                               motivasi yang disampaikan oleh Pengetua dan taklimat peperiksaan.

      Antara intipati ucapan Pengetua ialah :-
           - Semua pelajar perlu memikirkan cemerlang.
           - Persiapan dan usaha mesti berada di tahap A
           - Para pelajar mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal. 
              Contohnya puasa bukan alasan untuk kelihatan letih.
           - Tidak ada orang lain yang boleh bantu kecuali diri sendiri.
           - Kejayaan ada bersama-sama orang yang berusaha.

  
                                      InsaAllah kejayaan ada bersama-sama orang yang berusaha.
                                                        Selamat menduduki peperiksaan.
     
Sebagai tambahan daripada penulis
                                                                Doa menduduki ujian
                                             Ya Allah, bukalah kebijaksanaan-Mu kepadaku,
                                                       limpahlah rahmat-Mu kepadaku, dan
                                                         ingatkanlah aku apa yang aku lupa,
                                            wahai Zat yang memiliki keagungan dan kemurahan.

                                                          Petua Untuk Menghadapi Ujian
         - Jangan tinggal solat dan berdoalah dengan seikhlas hati kepada Allah SWT.
         - Tidur yang cukup.
         - Bersarapan atau makan secukupnya.
         - Melangkah dengan yakin dan tiba awal ke sekolah.
         - Bersihkan hati dari sifat-sifat buruk.
         - Minta restu dan doa daripada ibu bapa.
         - Mulakan dengan Bismillah dan bertawakallah.

      Harapan penulis supaya semua warga institusi pendidikan tempat penulis bertugas telah sedia ada ' sense of urgency ' demi mencapai misi dan visi yang telah sama-sama kita kongsi. Selain daripada kecemerlangan yang kita harapkan, mereka inilah juga pewaris generasi yang akan mencorakkan masa depan negara. Apabila penulis menulis, diharapkan suatu kesedaran untuk melihat bangsanya bersatu dan berjaya akan terlahir..

Selasa, 2 Ogos 2011

Tentang Ramadan


      Ramadan datang lagi. Penghulu segala bulan dan dipenuhi dengan pelbagai  keberkatan. Seharusnya bulan Ramadan ini disambut dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah, di bumi bertuah ini bulan Ramadan disambut dalam suasana kondusif dan harmoni sekali.

      Sempena kedatangan bulan Ramadan, institusi pendidikan tempat penulis bertugas telah mengadakan majlis bacaan yasin dan kuiz Ramadan pada  29 Julai 2011 bersamaan 27 Saaban. Aktiviti pendidikan moral pula dikhususkan untuk  murid-murid Cina dan India.


                                          Murid-muird telah diagihkan dengan air 'yasin'
                                      

      Selain itu, untuk mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan dalam kalangan warga institusi, nasi lemak telah diagihkan kepada semua warga institusi tanpa mengira agama.

                                        Semua murid menikmati nasi lemak yang telah disediakan

      Beberapa program turut dirancang dalam bulan Ramadan ini antaranya tazkirah, kuiz, ceramah, berbuka puasa dan khatam al-Quran. Semoga aktiviti ini dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan tahun ini. InsaAllah.

      Program ini amat bertepatan sekali dengan saranan Perdana Menteri yang berkata kedatangan Ramadan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti. Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

      Akhirnya, puasa itu ibadat, bukan adat, semua pancaindera mestilah diikat, barulah berpahala dan berkat, jika tidak cuma lapar dan penat, demikian menurut ustaz. Penulis berharap agar kita bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan hubungan silaturahim dan perpaduan dikongsi serta dikecapi bersama demi agama, bangsa dan negara. Jika ini tercapai nescaya bangsa ini akan gagah perkasa dan melangkah waja di persada.

Sabtu, 30 Julai 2011

Tentang Perpaduan Kaum

      Kempen Kibarkan Jalur Gemilang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan bertemakan ' Tranformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera ', antaranya bertujuan untuk memupuk perpaduan kaum. Pemupukan perpaduan kaum sering dikaitkan dengan peranan institusi pendidikan untuk merealisasikannya. Dalam erti kata lain perpaduan kaum patut  dipasak dengan kukuh disanubari murid-murid.

      Sebagaimana perpaduan kaum dan keharmonian  kaum sentiasa menjadi agenda utama pemimpin negara, begitu jugalah institusi pendidikan tempat penulis bertugas. Perkara utama yang difkirkan oleh pentadbir adalah dengan memastikan bahawa aspek perpaduan kaum diambil kira dalam apa-apa juga kegiatan yang dilaksanakan.

      Perkhemahan  Perdana Unit Berunifom yang diadakan di Kem D' Lereng Ulu Chepor Ipoh pada 15 hingga 17 Julai 2011 berjaya memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid. Kegiatan yang berbentuk interaksi antara kaum berjaya menyuburkan semangat integrasi dan mengikis jurang perbezaan kaum. Apabila penulis bertanya komen mereka, responden yang terdiri daripada murid pelbagai kaum banyak yang berkata 'bagus' dan 'kami semua 1Malaysia'.

      Contoh lain ialah pendekatan mencampurkan tempat duduk murid pelbagai kaum di dalam kelas. Selain daripada dapat mengawal perbuatan membuat bising, cara ini juga dapat memupuk persahabatan dengan rakan sebaya pelbagai kaum, budaya dan agama. Pengalaman penulis di dalam kelas yang mempraktikkan amalan ini memang menarik sekali. Apabila ditanya mengapa berkedudukan sebegini, mereka terus menjawab 1Malaysia.Apabila penulis terus bertanya berkaitan hobi, makanan kegemaran, tempat tinggal dan lain-lain tentang rakan sebelah,  mereka tergamam kerana masih belum sampai ke peringkat itu.

      Modul Perpaduan Kaum juga turut disediakan dalam sesi bersama Pengetua/ Pentadbir. Sesi Bersama Pengetua/Pentadbir ini merupakan medan untuk Pengetua/Pentadbir berjumpa dengan murid membincangkan prestasi akademik dan sahsiah murid. Setiap sesi menggunakan modul yang ditetapkan. Modul Perpaduan Kaum yang disediakan ini, akan meningkatkan pemahaman murid tentang sekolah sebagai tapak pemupukan perpaduan kaum.

      Mengurus sebuah institusi pendidikan yang mempunyai murid pelbagai kaum dan agama bukan perkara mudah. Bukannya semudah menyebut a, b, c atau d. Bukannya mudah untuk sebuah institusi pendidikan memikul tanggungjawab melahirkan generasi yang bertimbang rasa, bertolak ansur dan mengeratkan persefahaman antara kaum. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi. Walau bagaimanapun hasrat Perdana Menteri supaya sedia berubah daripada konsep toleransi kepada penerimaan terhadap perbezaan dan kekurangan yang wujud antara kaum akan disambut oleh institusi pendidikan kerana bak kata pepatah 'melentur buluh biarkan dari rebungnya'.

      Sejak beberapa tahun ini, cabaran yang penulis dapat rasakan ialah pasak perpaduan telah mula longgar dan jika tersilap langkah akan mudah dicabut oleh sesiapa yang tidak pedulikan perpaduan .Selain itu, dalam kita menginginkan perpaduan kaum terbentuk, jangan lupa kaum sendiri juga telah mula tidak berpadu. Bagi penulis, apabila menulis diharapkan suatu kesedaran untuk melihat bangsanya bersatu dan berjaya akan terhasil...

   

Jumaat, 22 Julai 2011

Tentang Pokok



       Tanya sama pokok apa sebab goyang
       Nanti jawab pokok angin yang goncang

      Lagu tentang pokok ini yang telah diberi nafas baru oleh kumpulan MUH ini telah melonjakkan lagi populariti mereka. Baru pertama kali dicalonkan dalam Juara Lagu, terus menjuarai carta. Memang hebat lagu mereka ini, atau yang hebat mungkin sebab tajuknya Pokok.

      Video klip ini menarik perhatian penulis kerana ia dihasilkan sendiri oleh anak penulis. Begitu bersungguh-sungguh sekali dia menghasilkannya.Tahniah daripada penulis. Teruskan dalam penghasilan karya yang berilmu.

      Ada pendapat mengatakan bahawa kita boleh menyamakan remaja atau belia atau istilah sekarang iaitu generasi Y sebagai pokok.  Betullah orang kata Generasi Y menjadikan kecanggihan teknologi maklumat sebagai sumber maklumat, ilmu dan hiburan. Betul juga orang kata Generasi Y sudah melupai sejarah budaya dan tradisi sehingga dilihat rapuh atau hilang jati diri, sehingga menganggap warisan daripada orang sebelum sebagai ketinggalan zaman. Kita boleh bayangkan sikap dan tingkah laku generasi Y ini jika mereka berada dalam organisasi atau hidup dalam bernegara. Generasi muda hari ini merupakan gambaran keadaan akan datang. Oleh itu, diharapkan kita boleh mempengaruhi hala tuju, rupa dan keadaan  pokok tersebut.

      Pencinta alam menjadikan pokok sebagai kempen alam sekitar. Pokok dilihat sebagai kelangsungan kehidupan kerana fungsinya sebagai membekal oksigen kepada manusia. Setiap hari beratus pokok ditebang untuk tujuan komersial. Amat malang sekali kerana pokok yang ditebang tidak pula diganti.

      Ada pula sahabat lain menyamakan pokok ini dengan kasih sayang. Untuk melihat pokok membesar dengan sempurna, ia perlu dijaga, dibajai, disirami pada setiap masa.Akhirnya pokok tadi akan membesar dan mengeluarkan hasil. Begitulah juga kasih sayang.

     Ada pula sahabat mengaitkan pokok dengan organisasi. Seperti pokok yang terdiri daripada akar, batang, ranting dan daun, begitu jugalah organisasi yang terdiri daripada beberapa sub-sistem. Masing-masing ada peranan dan perlu melaksanakan peranan tersebut dengan cemerlang. Jika ada subsistem yang gagal berfungsi, maka akan kurang berkesanlah sistem tadi. Malah ada organisasi yang runtuh kerana subsistem  menjadi duri dalam daging. Pokok yang tegak akan tumbang dek kerana anai-anai. Begitulah iklan yang penulis lihat di kaca tv. Pokok juga akan goyang jika ada angin yang goncang.

      Pokok adalah sebahagian daripada kehidupan. Jika tidak masakan orang tua dahulu mengambilnya sebagai pepatah ,bidalan atau perumpamaan. Disini penulis kongsi sebahagiannya:-
      1. Jika tidak kerana angin, pohon kayu mahukah bergoyang.
      2. Ada angin, ada pokoknya.
      3. Ibarat pokok yang berbuah sahaja yang dibaling orang.
      4. Daun mengenalkan pohonnya.
      5. Baru bertunas sudah dipetik, lama-lama matilah pokok.
      6. Bagaimana pohon tiada akan tumbang dipanah halilintar, sebab baluhan kulit ada dibatangnya.
      7. Jikalau sepohon kayu banyak akarnya lagi teguh, apalah ditakutkan ribut.

      Kesimpulannya, bicara tentang pokok sahaja memperlihatkan pelbagai tafsiran yang berbeza-beza. Pokok dilambangkan sebagai golongan muda, kasih sayang, organisasi mahupun negara dan lain-lain. Masing-masing memberikan pendapat, komen atau persepsi bergantung kepada mood dan komitmen individu.Untuk mengurus persepsi juga semakin sukar kerana penampilan medium baru membolehkan yang benar dimanipulasi dan yang salah boleh diubah mempengaruhi minda. Akhirnya, perkembangan semasa tanah air memperlihatkan telah berlaku saingan sengit persepsi. Masing-masing cuba mengurus persepsi dengan kadar segera kerana siapa cepat dialah yang dapat mengubah kepercayaan. Penulis tidak mahu 'menang sorak kampung tergadai' ; 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'. Sehingga kini penulis masih mencari maksud ' campak satu batu bayang pun hilang'.
 

Sabtu, 16 Julai 2011

Tentang Rundingan atau Dialog

     Apabila dua pihak berbeza pendapat, idea atau tafsiran, maka akan wujudlah konflik di situ. Masing-masing akan memberi alasan mahupun pendapat demi mengiyakan perkara yang dikatakan.Jika dibiarkan tanpa ditangani, dikuatiri akan menjadi barah kelak.Oleh itu rundingan atau dialog antara jalan penyelesaiannya.

      Apabila menulis tentang dialog atau rundingan, penulis teringatkan program ceramah Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh ustaz Haji Yeop Saidin b Mohd Yamin pada 29. 6. 2011 yang lalu. Isi ceramah beliau memfokus kepada perintah ibadat sembahyang. Ibadat sembahyang yang asalnya sebanyak 50 waktu sehari semalam telah dikurangkan menjadi sebanyak lima kali sehari semalam. Hal ini demikian disebabkan oleh proses rayuan Nabi Muhammad SAW telah diterima oleh Allah SWT.

      Peristiwa ini memberikan gambaran kepada penulis bahawa, walaupun sembahyang merupakan perintah Allah SWT, tapi ia boleh dirundingkan lagi sehingga  persetujuan  dicapai dan selepas itu wajib dipatuhi.Cuma  perintah supaya mengerjakan sembahyang tidak boleh dirundingkan. Peristiwa ini boleh diambil contoh dalam amalan rundingan atau dialog.
      
      Kini zaman telah berubah, kecerdasan intelektual dan ledakan maklumat yang semakin meningkat menuntut kebolehan berunding dan dialog. Budaya sekarang bukan bersifat memaksa tetapi budaya menghormati orang lain melaui proses rundingan komunikasi. Dalam konteks organisasi, jika ada staf  melihat terdapat kelemahan dalam organisasi, maka berusahalah berunding atau berdialog mencari jalan penyelesaian secara berhemah. Budaya cakap-cakap belakang mahupun protes tugas mohon disampingkan kerana ia akan hanya mendatangkan mudarat kepada organisasi.

      Kesimpulanya, kita diberi keupayaan berkomunikasi tentang  sesuatu yang menjadi bahan konflik. Antara dua pihak boleh melakukan tawar menawar sehingga memperolehi satu titik persefahaman yang akhirnya menjadi keputusan bersama. Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju dan saling menghormatinya. Perkembangan semasa negara yang semakin bergolak memerlukan orang tengah untuk mengepalai proses rundingan atau dialog. Persoalannya siapa? Jika berlaku Wangsa Perkasa akan melangkah Waja ke hadapan...... InsaAllah.

Khamis, 7 Julai 2011

Muafakat dan Suasana Kondusif

      Jika ditolak hari sabtu dan ahad, masa yang dihabiskan di tempat kerja hampir separuh hari. Oleh itu pastinya kita menginginkan  suasana selesa, tenang dan gembira. Jika mahu keselesaan , kita boleh sediakan ruang pejabat yang luas, perabot mencukupi dan peralatan canggih. Namun penulis berpendapat, jika kita mahu keseronokan dan kepuasan bekerja, kita perlu mengutamakan muafakat. Muafakat itu sendiri mempunyai pelbagai nilai diri pekerja seperti bertolak ansur, berfikiran positif, baik prasangka dan saling menghormati.

     Penulis juga berpendapat keselesaan dan keseronokan bekerja mampu mewujudkan suasana bekerja  kondusif yang menjamin kualiti perkhidmatan da pengurusan dalam organisasi. Penulis ingin mengajak sahabat-sahabat membayangkan jika kita melangkah masuk ke tempat kerja, melihat wajah ceria rakan, mesra dengan tutur kata dan ucapan salam, saling bertanya khabar, bertukar pandangan dan mudah membantu. Sudah tentu ia menyuntik semangat bekerja sehingga waktu yang panjang bagai tidak terasa. Berbanding apabila melangkah masuk melhat wajah masam, sinis dan tutur kata menyakitkan hati.

      Suasana bekerja yang didukung oleh nilai, sikap dan hubungan baik mampu menatijahkan kerja secara bermuafakat. Pepatah menyebut, 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.' Muafakat adalah imej baik bagi pengurusan organisasi. Ia membuka peluang kepada bekerja dengan bermotivasi, keseronokan dan kepuasan yang dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja. Justeru bagi menghasilkan muafakat kerja, mulakan dengan memupuk nilai itu dalam diri kita.
     
      Kesimpulannya, bercita-citalah menjadi individu yang mencetuskan kegembiraan dan keselesaan kepada rakan selain berusaha untuk tidak menimbulkan masalah dalam perhubungan serta persekitaran kerja. Itulah yang diharapkan oleh penulis daripada sahabat-sahabat sekalian. Sekian....