" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Sabtu, 20 April 2013

Pilihan ; 13 ?

                Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Atas Kamu.

      Membuat pilihan bukan mudah. Tidaklah semudah menyebut 1,2 dan 3. Bagi sesetengah individu, untuk memilih nombor pendaftaran kereta barupun ada pantang larangnya. Antara angka yang ingin dielakkan ialah angka 13. Kalau diperhatikan, nombor rumahpun angka 13 tiada. Di taman perumahan penulis selepas nombor 11 adalah 15. Di hotel pula, selepas aras 12 ialah aras 12A dan 14. Maknanya nombor 13 bukanlah pilihan.

     Selain itu, siri drama hanya setakat 13 semusim. Penulis masih ingat juga, dahulu juara carta lagu hanya setakat 13 minggu. Minggu berikutnya, lagu tersebut akan berada di tempat ke-2. Jelaslah angka 13 mempunyai impaknya yang tersendiri. Filem 'Friday 13' memberi impak triller kepada penonton hingga ada yang diserang sakit jantung. Peristiwa '13 Mei' pula menguji perpaduan kaum dalam kalangan kita.

      Tahun 2013 juga menarik untuk dikatakan. Penulis melihat kalendar kuda jelas menunjukkan 2013 bersama gambar ular. Tahun 2013 ialah tahun ular bagi masyarakat Cina. Kata sesetengah orang, hati-hati pada tahun 2013 ini. Hal ini demikian kerana akan berlaku perkara belit membelit seperti sifat ular. Pepatah Melayu juga ada memperkatakan hal berkaitan ular, antaranya ular berlingkar di gulung tikar yang membawa maksud, orang jahat menyamar dalam kumpulan orang-orang baik. Sebenarnya tidak ada sial majal berkaitan dengan sifat binatang ini. Yang pasti, hendaklah kita lari daripada pesakit kusta.

      Setelah 4 bulan berada dalam tahun 2013 ini, perkara belit membelit ini seperti menjadi kebiasaan pula. Kalau kita membaca surat khabar, banyak perkara yang mengelirukan terutama dalam konsisten apabila bercakap. Memang ada yang berbelit-belit macam ular. Apatah lagi ketika ini bahang PRU 13 semakin hampir. 15 hari lagi, lebih 13 juta pengundi akan mengundi dalam PRU 13. Maka banyak spekulasi di sebarkan. Bukan kerana apa. Ini semua kerana persepsi. Politik ialah persepsi dan ia juga merupakan seni. Orang kata apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar, minda akan percaya. Oleh itu, apa yang boleh dikatakan.  Ular bukan, ikan pun bukan ( belum dapat dipastikan buruk baiknya.)

      Tahniah kepada individu yang terpilih. Sungguh meriah melihat gelagat masyarakat semasa proses penamaan calon. Masing-masing menyatakan merekalah calon yang paling layak untuk mewakili penduduk setempat.Yang mereka tidak tahu adalah lagi besar pangkat seseorang, lagi besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Mereka akan dipersoalkan kelak. Jika dahulu orang menolak-nolak jawatan, tapi kini jawatan tersebut menjadi rebutan. Disarankan masa berkempen kelak, jadilah orang budiman dan mulia seperti ular menyusur akar. Ular biar mati, tanah jangan lekuk, kayu jangan patah yang bermaksud, selesailah masalah dengan cara bijaksana. Jelaslah, untung nasib calon bergantung kepada pengundi, untung sabut timbul; untung batu tenggelam.

     
Wangsa Perkasa : Seperti bangsa lain di muka bumi ini, Wangsa Melayu juga banagsa yang Allah ciptakan. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 antara lain meminta kita berkenal-kenalan antara satu sama lain. Wangsa Perkasa tetap konklusif dan konsisten.


Khamis, 11 April 2013

Pilihan : Sabah dan Teori Konspirasi

      Sabah, negeri di bawah bayu. Seindah namanaya, begitulah juga sumber alamnya. Selain flora dan fauna yang masih belum diterokai, begitu juga hasil perut buminya. Dalam aspek lain pula, Sabah dikatakan sebagai simpanan tetap jangka panjang. Menguasai dan mempengaruhi Sabah menjadikan satu kelebihan.

      Alhamdulillah, keamanan dan kestabilan politik dinikmati bersama dan hakikat ini jarang ditemui di negara-negara lain. Kerajaan secara konsisten terus mendukung dan mempertahankan konstitusi yang dipersetujui bersama. Tegasnya, atas prinsip kestabilan politik, ekonomi mahupun sosial akan menjamin keamanan dan kemakmuran yang dikecapi.

      Konsep kestabilan inilh yang dicemburui oleh sesetengah pihak. Maka keadaan ketidakstabilan diraancang sebegitu rupa demi mencetuskan huru-hara dalam negara dek kerana sikap saling mencurigai antara kaum dan seterusnya akan mewujudkan ancaman dalaman. Ancaman dalaman yang utama ialah isu perpaduan. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi bukti bahawa perpaduan kaum amat penting bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara.

      Negara juga terdedah dengan ancaman luaran. Konflik bersenjata antara 2 buah negara boleh berlaku berpunca daripada perbezaan ideologi, perbalahan politik dan persaingan merebut kuasa. Konfrantasi dengan negara Indonesia merupakan contoh konflik bersenjata 50 tahun dahulu. Kini, ancaman bersenjata berlaku lagi di Lahad Datu, Sabah. Ancaman luar datang pula dari pengganas Suluk Filipina. Sekali lagi, semasa konflik berlaku kerajaan Malaysia secara konsisten tidak mengabaikan batas atau had-had konflik yang mesti dipatuhi.

      Persoalannya, adakah ada unsur subversif disebalik isu perpaduan kaum dan peristiwa pencerobohan pengganas Suluk ini? Kenyataan kontroversi seorang warganegara mencetuskan kemarahan banyak pihak. Beliau juga ada menyebut bahawa peristiwa pencerobohan ini merupakan satu konspirasi. Masing-masing menuding jari dan media menyiarkannya ( ada teori konspirasi ). Sehingga hari ini, tiada bukti yang jelas siapa konspirator. Mungkinkah benar, teori konspirasi jika tidak dapat dibuktikan, ia sememangnya teori yang bagus.

Wangsa Perkasa : Lagu Tanah Pusaka membangkit semangat. Antara liriknya
                          Musuh melanda kugempur
                          Sungguh rela kugugur kerana
                          Kau Tanah Pusaka
                          Biar putih tulang jangan putih mata.

                          Yang kusut berjaya diselesaikan
                          Yang keruh berjaya dijernihkan

Isnin, 1 April 2013

Pilihan - Sabah :Misi Mencari

      Bulan Mac ini, kisah berkaitan Sabah setiap hari diperkatakan di media cetak atau elektronik. Terima kasih kepada Selagi ada gula atas cerita dalam komen entri Pilihan : Sabah ; Penempatan. Perkongsian cerita menambahkan lagi kisah-kisah kehidupan. Bagi penulis, apabila kisah-kisah berkaitan Sabah diketengahkan nescaya nostalgia lama akan mengetuk pintu minda. Apapun kepada wira-wira Bangsa Perkasa , teruskan misi mencari. Nyahkan mereka dari bumi Sabah Malaysia bumi berdaulat.

      " Cikgu Mad, ini ada senarai nama pelajar baru tingkatan satu sekolah kita.Tugas cikgu Mad adalah mencari pelajar baru ini untuk ditawarkan bersekolah di Asrama Penuh Lahad Datu ini. Nanti John akan bawa naik trooper sekolah". Kata Pengetua.

      Semasa penulis sampai di Sekolah Berasrama Penuh Lahad Datu pada tahun 1990, sekolah ini baru 2 tahun dibuka. Umum belum tahu lagi kewujudan sekolah ini. Oleh sebab itu sekolah perlu mencari pelajar yang di senaraikan oleh JPN untuk ditawarkan penempatan. Rata-rata pelajarnya hanya mendapat 3 A dalam UPSR. Tambahan pula, kekurangan kemudahan asas iaitu air sedikit menjejaskan keselesaan murid. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa murid menarik keluar anak mereka daripada sekolah. Kekurangan ini menambahkan cabaran berkhidmat dan menuntut ilmu di sini. Penulis tidak mengeluh kerana pujangga ada mengatakan " jangan mengeluh hanya kerana tidak mempunyai kasut sebelum melihat orang yang tidak mempunyai kaki"

                                                          Muda-muda belaka

      Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Tawau dan Semporna. Tugas penulis adalah pergi ke sekolah yang disenaraikan di setiap bandar tadi. Kemudian berjumpa dengan guru bimbingan kaunseling supaya dapat memujuk pelajar untuk menyambung persekolahan di SBP Lahad Datu. Dalam minda penulis berasa sedikit kelainan sebab perkara mencari pelajar ini tidak berlaku di Semenanjung. Walau bagaimanapun demi anak bangsa, penulis pikul tugas ini. Perkara ini adalah pengalaman. Orang kata pengalaman ialah guru yang terbaik. Sebagai guru baru, banyak benda yang perlu kita belajar. Semakin banyak kita belajar, semakin insaflah kita betapa sedikitnya yang kita ketahui. Walau bagaimanapun, tanpa kebijaksanaan, orang tidak dapat belajar apa-apa.

     Tegasnya, ayat pertama penulis ucapkan kepada pelajar tingkatan enam semasa hari pertama memasuki kelas " Yang penting bukan dari mana saya datang, tetapi ke mana kita akan pergi."

Wangsa Perkasa: Kata orang guru umpama lampu. Memetik kata Al-Kindi, jangan diikut perangai lampu, menerangi orang lain tetapi dirinya sendiri terbakar. Sebaliknya contohilah perangai bulan, setiap kali bertentangan dengan matahari, bulan akan mendapat cahaya baharu.