" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Ahad, 24 Jun 2012

Seronok Kerja 4 - Biar Putih Tulang ..


      Analogi yang ditulis oleh SelagiAdaGula dalam ruangan komen di entri Seronok Kerja 3 menarik perhatian penulis. Analogi yang diberi dalam maksudnya. Penulis mengambil masa yang agak lama untuk memahami maksud tersurat dan tersirat analogi tersebut.

      Analogi yang ditulis berkaitan pelajar dan matematik. Sudut pandangan penulis,  matematik tiada cacat celanya. Hala tujunya amat jelas. Bahasa matematik membantu visi tercapai. Tertib dan aturan disusun supaya ia mudah difahami. Langkah demi langkah jelas maksudnya. Jawapannya objektif. Matematik selalu menjadi simbol kemenangan. Dalam demokrasi, matematik sangat penting kerana ia menjadi angka penentu. Apa yang diperlukan cuma untuk memahami. Cubalah untuk memahaminya. Tentu sahaja kita akan seronok bersamanya. Mana tahu ia mungkin akan mengagumkan.

      Penulis setuju bahawa matematik telah disetkan dengan sebegitu rupa. Dari sudut pandangan psikologi apabila kita telah setkan suatu perkara itu pesimis, maka pesimislah jadinya. Pelajar tadi perlu direset kembali mindanya ke arah optimis. Dalam hal matematik, katakan bahawa matematik itu seronok untuk difahami.Maka, mudahlah ia untuk difahami.

     Kalaupun pelajar tadi boleh ditukar atau berpindah ke sekolah lain, matematik tetap ada. Kenapa? Matematik adalah mata pelajaran teras. Hendak atau tidak, ia perlu dipelajari dan difahami. Kitalah yang mesti memulakan langkah memahami matematik.

     Begitulah sedikit ulasan penulis terhadap komen SelagiAdaGula. Penulis percaya SelagiAdaGula seorang yang mempunyai semangat 3K iaitu kepintaran, kecekapan dan ketangkasan. Semangat itulah yang penulis hormati dan ingin bersama memiliki. Penulis teringat lagu ' Biar putih tulang, jangan putih mata ' nyanyian kumpulan Dinamik. Antara lirik yang menarik perhatian ....

      ......Patah pujangga biar putih tulang, jangan putih mata dan kecewa.
            Biarpun hilang ke manapun jua
            Namun semangatku
            Tetap bersamamu .....


Wangsa Perkasa : Kini, di tempat baru penulis bertugas, rakan sejawat ialah guru matematik masa bersekolah dulu. Walaupun matematik tak bagus mana, penulis tidak salahkan matematik. Masih cuba untuk terus memahaminya.

Isnin, 18 Jun 2012

Seronok Kerja 3

      Betul juga apa yang diulas oleh SelagiAdaGula iaitu ada manusia yang tak seronok melihat orang lain seronok bekerja di ruangan komen tajuk Seronok Kerja 2. Melalui pengamatan penulis yang menghadiri kursus, mesyuarat, pembacaan atau perbualan dengan ketua jabatan mengiyakan bahawa dalam setiap organisasi memang terdapat orang jenis ini. Ada saja yang tak kena.

      Perkara ini bolehlah dianggap kudis dalam organisasi. Jika tidak ditangani mungkin ia boleh menjadi barah kepada organisasi, yang akan merencatkan proses kecemerlangan. Banyak cadangan untuk mengatasi masalah ini dan ada kalanya ia sesuai mengikut konteks. Perkara ini selalunya berlaku antaranya akibat individu itu lama berkhidmat di sesebuah organisasi. Contohnya jika di institusi pendidikan seperti sekolah banyak dikatakan akan wujud 'sekolah dalam sekolah'.Mungkin suasana baru atau tempat baru dapat mengubah perspektif individu berkenaan. Hal ini selalunya berkait dengan sikap. Justeru, cubalah mulakan dengan memupuk nilai  dan sikap keseronokan bekerja dalam diri terlebih dahulu.

     Macam mana hendak benar-benar merasai keseronokan bekerja ? Ada pakar menyatakan keseronokan bekerja akan dirasaai apabila mengalami kejemukan, kesusahan, kepenatan, rungutan dan sebagainya.Tapi perkara ini berjaya diatasi. Selain itu, berusaha untuk mencapainya.

      Syukur. Bersyukur dengan kerja. Beruntung dengan kerja yang dimiliki mampu menyuburkan rasa syukur. Kalau dapat dibayangkan kesusahan membanting tulang, memerah otak dan keringat tentu sahaja kita akan seronok bekerja, apatah lagi titik peluh yang keluar adalah halal.

     Setakat ini adakah anda gembira? Cubalah untuk bergembira dan menggembirakan orang lain. Nescaya kerjapun jadi seronok.Macam mana hendak gembirakan orang lain. Bukannya susah; imbuhan, ganjaran dan penghargaan. Boleh juga dicuba 3 S ( Senyum, Sapa dan Sopan ).Selain itu, hormat-menghormati sesama rakan dan ketua jabatan. Jangan lupa berkongsi rezeki dengan keluarga dan masyarakat yang akan menimbulkan perasaan kepuasan diri sendiri.

      Akhir sekali doa. Berdoa dan terus berdoa.....

Wangsa Perkasa : Berdoa ketika dalam kesenangan atau kelapangan.

Jumaat, 8 Jun 2012

Seronok Kerja 2


      Seronok kerja? Seronok. Bolehlah. Ok. Hakikatnya, ia tidaklah semudah menyebut a, b, c atau d. Memang betul orang kata nadi kecemerlangan dalam organisasi adalah seronok kerja. Ada juga orang kata seseorang itu tidak selama-lamanya seronok kerja.

      Namapun manusia, pelbagai perasaan seperti malas, bosan, jemu dan segan menjadi lumrah perilaku manusia. Ataupun, sebab kesesakan lalulintas, perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan pentadbiran, suami di Kelantan manakala isteri di Johor, menghabiskan setengah usia dalam organisasi dan macam-macam lagi.

      Macam-macam lagi seperti tempat kerja tidak kondusif, gelap, sesak, sempit, berkongsi tempat duduk dan kualiti peredaran udara yang tidak baik, antara penyebab kita tidak seronok kerja. Perkara ini
sekaligus akan menjejaskan prestasi dan produktiviti.

      Hal ini lama kelamaan akan menimbulkan rungutan, aduan dan perselisihan mahupun konflik atau sikap menentang. Walaupun ia sebagai asam garam di tempat kerja, jika tidak ditangani secara berkesan kecemerlangan organisasi akan terjejas.

      Jadi, kita kena seronok kerja. Seronok kerja. Seronok kerja. Persoalannya, macam mana kita nak seronok kerja?

Wangsa Perkasa : masih ingat lagi seronok kerja sebagai satu nilai dalam tonggak 12.