" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 27 Jun 2011

Salam Sahabat. Bejabat Tangan Kita.




 Alhamdulillah, hasrat penulis untuk membudayakan salam dan berjabat tangan antara guru dan murid menampakkan hasil. Hal ini penulis katakan kerana ia berlaku pada diri penulis sendiri. Jika dahulu tidak ada murid yang bersalam dengan penulis semasa berselisih, keadaan telah berubah. Siap cium tangan lagi. Tidak kisah jika ia hanya lakunan, tapi perkara yang baik jika dilakukan berterusan kelak akan menjadi budaya. Aktiviti salam dan cium tangan memang penulis terapkan semasa penulis di dalam kelas. Wajib salam dan cium tangan jika murid lewat masuk ke kelas.
      Dalam kalangan guru lelaki penulis perhatikan budaya salam dan berjabat tangan ini menjadi kelaziman mereka. Sejak hari pertama penulis melapurkan diri di instutusi pendidikan ini sehinggalah sekarang, budaya salam terus kekal menjadi budaya guru lelaki terutamanya apabila berjumpa buat kali pertama pada waktu pagi di tapak perhimpunan. Justeru, membudayakan salam dan berjabat tangan  memberi nilai tambah kepada diri serta sahabat.
      Seseorang yang melakukannya tidak rugi kerana ia seolah-olah ucapan selamat, pembuka dan penutup bicara. Selain itu, ia juga sebagai ucapan kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan. Apatah lagi jika salam dan berjabat tangan dimulakan dengan ucapan salam, pastinya ia memberi impak yang positif seperti mengeratkan silaturahim.
      Hubungan baik  warga organisasi antara penentu keselesaan  bekerja. Melalui ucapan salam dan berjabat tangan, hati bersedia berbicara dan mampu mengikis penyakit hati seperti benci, prasangka dan hasad di samping memancarkan keselesaan rasa selain mendapat pahala.
      Sangat menarik jika ucapan salam dan berjabat tangan  ini dihalusi supaya menjadi mudah dibudayakan dalam kehidupan termasuk dalam organisasi. Oleh itu jadikan lidah sebagai modal perkhidmatan dan pengukuh silarurahim supaya keuntungan dunia dan akhirat dapat diraih melalui keunikan anugerah ucapan salam dan berjabat tangan.

Sekian...

Selasa, 21 Jun 2011

Kerjasama dan Perpaduan

      Selama penulis menjejak langkah di institusi ini, penulis menyeru sahabat-sahabat dan rakan sejawat supaya tidak mengabaikan kejayaan yang telah dicapai bahkan menghargai segala yang diperolehi dan melipatgandakan usaha untuk meningkatkannya.
      Dalam konteks ini kerjasama dan perpaduan berkait rapat antara kedua-duanya bagaikan aur dengan tebing. Bagi penulis, keharmonian amat penting dalam menjayakan Misi danVisi Institusi.
      Kerjasama merupakan salah satu unsur terpenting untuk mencapai perpaduan. Nilai kerjasama hendaklah dipraktikkan di institusi apatah lagi Institusi Pelajaran. Peribahasa yang menyatakan berat sama dipikul ringan sama dijinjing hendaklah dijadikan pedoman. Kerjasama dalam kalangan kita seperti yang terungkap dalam peribahasa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni sewajarnya dipraktikkan.
      Kerjasama perlu digerakkan sepanjang kita bertugas dan berjuang bersama-sama untuk mengekalkan perpaduan demi keharmonian institusi seperti peribahasa bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

      Sekian daripada penulis dan sama -sama kita renungkan...

Ahad, 19 Jun 2011

Sempena Hari Bapa - 19 Jun 2011. 3 Catatanku.

Akulah Awan itu 1
Masih aku ingat telatah serta gelak ketawa ketika mereka kecil.
Anakku sudah melangkah ke alam yang lebih mencabar.
Namun, masa depan mereka masih menjadi keutamaanku.

Akulah Awan itu 2.

Acap kali aku dambakan awan itu memayungi dan melimpahkan kasih.
Namun, sedari kecil awan itu sudah pergi.
Kini, akulah awan itu kepada anak-anak aku.

Titip rindu buat ayah...Ayah, walaupun sejak kecil ayah pergi, kasih ayah tetap dirasai.Ayah dalam hening sepi, aku rindu ...ayah.

Sabtu, 11 Jun 2011

Selamat Menyambut Hari Ibu - 8 May

      Pada bulan May, banyak sambutan diadakan. Antaranya Hari Ibu pada 8 May. Penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu. Penulis mengabadikan Sambutan Hari Ibu ini kepada 3 bahagian iaitu:-

      1. Untuk Isteri penulis yang amat dicintai. Terimakasih kerana telah mendidik putra dan puteri pewaris
          Wangsa Perkasa. Penulis berjanji akan selalu menjaga dan menyintaimu.

      2. Untuk semua wanita seluruh dunia. Anda adalah inspirasi kerana tangan yang menhayun buaian akan
          menggoncang dunia.

     3. Untuk Ibu penulis yang amat dicintai. Pahit maung 86 tahun belum cukup dibalas berbanding kasih sayang
         yang dicurahkan.

Untuk Isteriku, juga seorang Ibu yang lebih banyak mendidik Wangsa, Perkasa, Ainun, Pesona. Aku Janji akan selalu menjaga dan menyintaimu.

Sempena Hari Ibu. Untuk Semua Wanita Bergelar Ibu, Anda adalah Inspirasi. Tangan Yang Menghayun Buaian Akan Menggoncang Dunia. Ceria Selalu.

2 Buah Lagu Tentang Ibu Terlalu Istimewa Buatku. Ia Menguatkan Semangat.

      Ayah pergi tinggallah kau seorang diri
      Perginya ia takkan kembali lagi
      Apalah yang dapat kita lakukan
      Semuanya itu kuasa Allah

     Sudahlah Ibu, jangan menangis lagi
     Yang pergi itu tetapkan pergi
      Memang suratan dia pergi dulu

     Berdoalah kehadrat Ilahi
     Semoga rohnya selalu direstui..

Ibu. Kau Terlalu Istimewa

Ibu. Ini Sumpah Anakmu

      Akan Aku bela nasib kita
      Inilah sumpah anakmu
      Dari itu hentikan tangisan
      Pandanglah masa depan
      Betapa aku cinta padamu
      Pelukanmu menguatkan semangatku

Lagu Buat Ibu

Jumaat, 10 Jun 2011

Mimpi Adalah Kunci Untuk Menakluk Dunia. Pendidikan adalah segalanya.

16 Mei. Selamat Hari Guru - Guru Sejati

      Guru sejati senyum mesra,
      Sentiasa menggunakan budi bicara.
                   Guru sejati guru berkualiti,
                    Gigih mengajar sepenuh hati.
                               Tidak mudah berkata tidak,
                                Sentiasa berusaha terus bertindak.
      Jika menghadapi sebarang masalah,
      Guru sejati tidak pernah mengalah.
                    Guru sejati umpama lebah,
                    Menebar ilmu sabar tabah.
                               Membina, membentuk insan berakhlak,
                               Gigih membimbing tidak pernah jelak.
      Guru sejati berbudi bahasa,
      Berkhidmat demi nusa dan bangsa.
                                                                 Mas Adeki

22 April Kita Menyambut Hari Bumi. Wangsaku Selamatkan Bumi Kita.

Budaya Apa Ya ? Budaya Ilmu dan Budaya Penyayang

       Bulan April  2011 genap setahun  penulis berada di institusi pendidikan yang baru. Selama setahun ini banyak pengalaman baru yang dapat dipelajari. Antara yang menarik perhatian penulis sudah semestinya pengalaman berinteraksi dengan pentadbir dan staf baru. Selama setahun ini, antara soalan yang sering ditanya oleh sahabat-sahabat  adalah tentang budaya yang ingin diwujudkan di institusi baru ini. Budaya apa ya?
      Hasil pemerhatian penulis melalui borang pemantauan yang diterima, budaya yang ingin dilihat di institusi pendidikan ialah Budaya Ilmu dan Budaya Penyayang.
      Dalam membina Budaya Ilmu, membaca adalah kuncinya. Penulis terbaca kata hikmah berikut iaitu :-            

" Membaca menjadikan diri anda sebagai seorang lelaki, menghadiri persidangan sebagai persediaan menjadi lelaki yang sebenar dan menulis menjadikan anda lelaki sejati."


      Sebagai renungan juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya ( meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat." - Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

      Dalam pembinaan Budaya Ilmu, penulis ingin sertakan Gurindam berikut :-

      Jika anda jadi pelajar, jangan malas hendak belajar.
            Jika anda menuntut ilmu, jangan sekali berasa jemu.
                   Jika belajar tidak jemu, banyak ilmu akan ditemu.
                         Jika rajin membaca buku, otak cerdas tidak beku.
                                Banyak membaca fikiran kaya, rajin berusaha pasti berjaya.
                                      Berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan suka tangguh-tangguh.
                                            Sudah tahu belajar lagi, banyak untung tiada rugi.

      Dalam konteks organisasi tempat penulis bertugas, Program Nilam yang dilancarkan pada 14 Februari 2011 dan Bulan Akademik sepanjang bulan April merupakan antara langkah yang dapat membudayakan ilmu di organisasi. Selain itu, Program Pusat sumber yang akan dilaksanakan, dapat memberi nilai tambah kepada pembinaan Budaya Ilmu.
      Kesimpulannya, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Membaca Memberi Pengetahuan. Pengetahuan diikaitkan dengan Kuasa. Ilmulah yang menentukan watak dan pembangunan insan. Manusia dikenal dengan nilai ilmu yang ada padanya. Malah ilmulah yang menentukan martabat dan wibawa diri seseorang. Ilmu jugalah yang mencirikan sesuatu tamadun manusia dan tamadun sesuatu bangsa. Wangsa Berilmu, Wangsa Perkasa.


     

Budaya Penyayang

      Kebelakangan ini, institusi pendidikan sering ditekankan agar menerapkan "Budaya Penyayang." Penulis merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat menggariskan maksud penyayang ialah orang yang kasih akan yang lain, pengasih, pecinta dan besifat belas kasihan. Oleh itu, konsep Institusi Penyayang bolehlah ditakrifkan sebagai institusi yang dapat menyemai dan menanam ciri-ciri kasih dan sayang antara guru dengan murid, murid dengan murid serta antara warga sekolah dengan ibu bapa bagi menuju ke arah pendidikan dan masyarakat yang berkualiti.  
      Dalam menjelaskan konsep Budaya Penyayang di Institusi Pendidikan penulis melihat kepada peranan Ketua guru, guru-guru dan Ibu bapa serta program-program Budaya Penayang yang dilaksanakan. Antara program-program yang boleh dan telah dilakukan  :-
                                    1. Program Sekolah Selamat
                                    2. Sekolah Dalam Taman
                                    3. Program Amalan Berbudi Bahasa
                                    4. Program Kokurikulum
                                    5. Program Sesi Bersama Pentadbir

      Kesimpulan, kesan daripada pelaksanaan program ini akan mewujudkan sekolah yang kondusif untuk Pembelajaran dan Pengajaran dan hasrat untuk melihat Wangsa yang Perkasa pasti menjadi realiti. InsaAllah.