" Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera". - Wasiat Raja-raja Melayu

Isnin, 28 Mac 2011

5 S : Amalkannya, Kita Wangsa Perkasa

      Suatu hari pada 9.3.2011 organisasi tenpat penulis bertugas menganjurkan lawatan penanda aras ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.Penulis amat berterima kasih En Asri b Saad selaku koordinator kerana sudi menerima kunjungan rombongan kami serta memberi layanan mesra. Penulis difahamkan bahawa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah diberi Pensijilan 5 S oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan pemilihan Pejabat SUK Perak ini sebagai penandaaras amat tepat. Apatah lagi organisasi tempat penulis bertugas sedang berusaha mencapai Visi iaitu Cemerlang Pengurusan 2012.
      Amalan 5 S ialah kaedah atau alat pengurusan yang boleh mewujudkan persekitaran di tempat kerja berkualiti yang selesa, kemas dan selamat di dalam organisasi dan menentukan kepatuhan kepada piawaian serta dapat memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan. Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang diringkaskan menjadi 5 S. Dalam Bahasa Melayu memberi maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Amalan 5S merupakan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau ' Kaizen ' dalam Bahasa Jepun.
      Lawatan yang bermula jam 3.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang telah membuka peluang dan harapan baru kepada penulis untuk melihat organisasi tempat penulis bertugas terus melaksanakan penambaikan agar Visi ; Cemerlang Pengurusan 2012 dapat dicapai. Dalam konteks wangsa/bangsa, amalan 5 S ini boleh menyedarkan kita agar sentiasa berfikir ke arah penyatuan ummah kerana bangsa yang bersatu akan membentuk Wangsa/bangsa Perkasa.

Sabtu, 26 Mac 2011

Kuala Lumpur, Ikatan Kekeluargaan dan Hospital Kuala Lumpur

      Suatu hari pada 7.3.2011, adik ipar penulis yang berada di pusat pemulihan orang kurang upaya penglihatan  di serang epilepsi. Adik ipar penulis hilang penglihatan apabila berlaku pendarahan pada retina mata beliau. Sudah hampir 3 tahun dia menjadi buta. Apabila mendapat berita tersebut, penulis bersama isteri serta dua anak perempuan telah bergegas ke Kuala Lumpur.
      Sebut sahaja Kuala Lumpur, ia akan merisaukan penulis sebab rangkaian jalan rayanya yang bersimpang siur akan menyebabkan penulis sesat. Lagu Kumpulan Kembara Sesat di Kuala Lumpur terdengar-dengar di minda.  Belakangan ini, semakin kerap penulis perlu ke Kuala Lumpur samada berkursus/ mesyuarat atau hanya sekadar berjalan-jalan. Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur benda pertama yang penulis capai adalah peta Kuala Lumpur. Sempat juga penulis melihat lokasi Hospital Kuala Lumpur.Jalan yang berlegar di fikiran penulis adalah Jalan Raja Laut. Jalan ini yang penulis biasa.
      Apabila berada di Sungai Buluh, penulis minta isteri supaya menghubungi adik ipar. Zam, adik ipar penulis memang mahir selok-belok jalan di Kuala Lumpur ini. Sebut sahaja jalan, hotel, jejambat, simpang, lampu isyarat , semua dia tahu. Dialah talian hayat apabila perlu ke Kala Lumpur.Dia minta penulis melalui PWTC dan terus ke bulatan Jalan Pahang.Siap beritahu berapa jejambat yang perlu dilalui. Dia memang handal. Penulis selamat sampai ke Hospital Kuala Lumpur tanpa sebarang masalah atau tidak sesat di Kuala Lumpur.
      Hospital Kuala Lumpur merupakan sebuah bangunan lama, sesak dengan kereta dan jalannya agak sempit.Memang payah hendak dapatkan parkir di HKL. Penulis sekeluarga terus ke unit rawatan rapi (ICU) kerana adik ipar penulis ditahan di sana.Walaupun sampai pada pukul 4.00 petang tetapi masih perlu tunggu sehingga waktu melawat pada pukul 4.30 petang, barulah kami dibenarkan untuk melawat. Itupun cuma 2 orang sahaja. Sementara menunggu di luar bilik ICU, seketika keadaan menimbulkan tandatanya penulis kerana kelihatan Ketua Polis Negara dengan beberapa pegawai polis pantas masuk ke ICU. Kami yang menunggu di luar dikejutkan dengan bunyi perkataan yang kuat iaitu " beri laluan " "beri laluan". Dalam fikiran penulis terlintas mungkin sesuatu perkara telah berlaku sehingga Ketua Polis Negara turun ke ICU.
      Tibalah giliran penulis melawat adik ipar yang diserang epilepsi. Penulis melihat mukanya sembab, mungkin kerana kesan jatuh. Penulis melihat kemudahan di bilik ICU lengkap serba serbi. Dengan kelengkapan yang dikawal komputer, pasti pesakit akan sentiasa dipantau rapi. Adik ipar penulis berkata, walaupun hospital ini nampak lama tetapi ia dilengkapi dengan peralatan yang canggih.
      Seperkara lagi, penulis melihat ikatan kekeluargaan sebelah isteri penulis amat rapat sekali. Sepupu isteri penulis yang kebetulan seorang jururawat di HKL telah menolak untuk pergi berkursus walaupun telah berada di atas bas untuk berangkat. Begitu juga dengan adik beradik yang lain yang begitu prihatin sekali dengan kesihatan adik bongsu mereka. Semenjak kematian ayah dan ibu  mereka,  ikatan kekeluargaan semakin kukuh terjalin. Begitu juga dengan sepupu mereka yang bergegas datang dari Melaka.

      Kesimpulannya, cerita ini memberi pengajaran kepada penulis iaitu jika suatu pekerjaan perlu dilakukan, ia perlukan perancngan yang rapi dan jangan lupa untuk bertanya. Kita juga tidak boleh menilai sesuatu itu hanya dengan tanggapan pertama. Ikatan kekeluargaan yang kukuh dan utuh akan memberi kekuatan dalaman yang tidak boleh digambarkan. Perkara-perkara yang disebutkan di atas boleh dijadikan ukuran untuk menjadi wangsa perkasa. Sekian. Jumpa lagi dicerita berikutnya.
     
     
     
     
 

Khamis, 17 Mac 2011

Mulanya di sini; ICT, Ilmu dan Keperkasaan Wangsa

         Suatu hari pada 26.2.2011 penulis telah menghadiri kursus ICT-blog. Sejak itu, buat pertama kalinya penulis telah membuka blog sendiri dan juga akaun facebook. Maka bermulalah minat penulis untuk terus meneroka blog dan facebook. Fikiran penulis terus memikirkan apakah fokus utama yang ingin dikongsi bersama. Kesedaran untuk melihat bangsa yang perkasa di tanah tumpahnya darah sering bermain-main diminda penulis sejak di bangku sekolah lagi. Oleh itu blog ini penulis namakan sebagai Wangsa Perkasa.
        Sejak kebelakangan ini, ICT merupakan media pilihan untuk memperoleh ilmu.Untuk menjadi Wangsa/bangsa Perkasa dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan, ilmu perlulah penuh di dada barulah lautan luas boleh diterokai. Penulis teringat Syair Kelebihan Ilmu karya Pendeta Za'ba ; Ilmu itulah gemala sakti, sinarnya cerah, cahaya sejati,asal puncanya, lamun didapati, sukar bercerai, sehingga mati.Syair inilah juga yang sering penulis lagukan kepada khalayak.
        Oleh itu, keperkasaan wangsa boleh ditingkatkan apabila kita menguasai ICT kerana ilmu hanya di hujung jari agar kita tidak mudah diperkotak-katikkan.

Rabu, 16 Mac 2011

Maksud Wangsa Perkasa

Wangsa membawa maksud bangsa. Manakala Perkasa membawa maksud gagah, berkuasa, hebat dan kuat.Apabila 2 perkataan ini disatukan, ia akan menjadi Wangsa Perkasa yang membawa maksud bangsa yang gagah, berkuasa, hebat dan kuat. Aspek yang perlu semestinya politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.Adalah menjadi hasrat penulis blog ini untuk melihat bangsanya  menjadi bangsa yang perkasa.